Friday 14 September 2012

DANUM PASTI MEMUKAU PUTERA WILLIAM




KOTA KINABALU : Keunikan Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum (DVCA) yang memiliki ekosistem bertaraf dunia dan menjadi tempat kediaman kira-kira 125 spesies mamalia, lebih 300 unggas, 72 reptilia dan 56 amfibia, merupakan suatu keajaiban alam yang patut dihayati oleh setiap orang.

Terletak di bahagian tenggara Sabah, yang juga dikenali sebagai Negeri Di Bawah Bayu, DVCA, yang meliputi kawasan seluas 43,800 hektar, adalah antara segelintir kawasan hutan dipterokarpa tanah rendah belum terusik, yang masih wujud di dunia ketika ini.

DVCA, hutan simpan kelas 1 (perlindungan) di negeri ini, yang mempunyai lebih 200 spesis pokok bagi setiap hektar, juga adalah antara hutan hujan tertua dan paling kaya di dunia.

"Keindahan Lembah Danum terletak pada jaringan tumbuh-tumbuhan yang memenuhi hutan hujan yang amat kaya dengan keasliannya ini," kata pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Seri Tengku Zainal Adlin.

Beliau berkata DVCA adalah antara tiga pusat penyelidikan hutan hujan utama di dunia, yang usianya lebih tua daripada hutan hujan Amazon iaitu kira-kira 60 juta tahun.

Hutan luas yang mempunyai pohon setinggi lebih 60m ini, menyediakan tempat perlindungan yang amat diperlukan oleh hidupan liar Sabah seperti Orang Utan, badak Sumatra, monyet Proboscis, gajah Borneo dan pelbagai jenis unggas, yang amat teruk diancam bahaya kepupusan.

"Tarikan utama kawasan ini sudah tentulah hutan dipterokarpa tanah rendahnya yang masih belum terusik. Sebab itulah Duke dan Duchess Cambridge akan melawat tempat ini hujung minggu ini untuk meninjau sendiri keindahan Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum. Sesungguhnya, ini suatu penghormatan bagi Sabah," katanya kepada Bernama di sini.

Putera William dan Kate Middleton dijadual meninjau Program Penyelidikan Hutan Hujan Asia Tenggara(SEARRP), Royal Society di Lembah Danum Sabtu ini.

Tengku Zainal berkata Lembah Danum juga merupakan sebuah pusat penyelidikan lanjutan penting, yang setakat ini selesai menjalankan lebih 300 projek kajian/penyelidikan. (Bernama)

No comments:

Post a Comment