KOTA KINABALU : Keunikan
Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum (DVCA) yang memiliki ekosistem bertaraf dunia
dan menjadi tempat kediaman kira-kira 125 spesies mamalia, lebih 300 unggas, 72
reptilia dan 56 amfibia, merupakan suatu keajaiban alam yang patut dihayati
oleh setiap orang.
Terletak di bahagian
tenggara Sabah, yang juga dikenali sebagai Negeri Di Bawah Bayu, DVCA, yang
meliputi kawasan seluas 43,800 hektar, adalah antara segelintir kawasan hutan
dipterokarpa tanah rendah belum terusik, yang masih wujud di dunia ketika ini.
DVCA, hutan simpan kelas 1
(perlindungan) di negeri ini, yang mempunyai lebih 200 spesis pokok bagi setiap
hektar, juga adalah antara hutan hujan tertua dan paling kaya di dunia.
"Keindahan Lembah Danum
terletak pada jaringan tumbuh-tumbuhan yang memenuhi hutan hujan yang amat kaya
dengan keasliannya ini," kata pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk
Seri Tengku Zainal Adlin.
Beliau berkata DVCA adalah
antara tiga pusat penyelidikan hutan hujan utama di dunia, yang usianya lebih
tua daripada hutan hujan Amazon iaitu kira-kira 60 juta tahun.
Hutan luas yang mempunyai
pohon setinggi lebih 60m ini, menyediakan tempat perlindungan yang amat diperlukan
oleh hidupan liar Sabah seperti Orang Utan, badak Sumatra, monyet Proboscis,
gajah Borneo dan pelbagai jenis unggas, yang amat teruk diancam bahaya
kepupusan.
"Tarikan utama kawasan
ini sudah tentulah hutan dipterokarpa tanah rendahnya yang masih belum terusik.
Sebab itulah Duke dan Duchess Cambridge akan melawat tempat ini hujung minggu
ini untuk meninjau sendiri keindahan Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum.
Sesungguhnya, ini suatu penghormatan bagi Sabah," katanya kepada Bernama
di sini.
Putera William dan Kate
Middleton dijadual meninjau Program Penyelidikan Hutan Hujan Asia
Tenggara(SEARRP), Royal Society di Lembah Danum Sabtu ini.
Tengku Zainal berkata Lembah
Danum juga merupakan sebuah pusat penyelidikan lanjutan penting, yang setakat
ini selesai menjalankan lebih 300 projek kajian/penyelidikan. (Bernama)
No comments:
Post a Comment