Thursday 25 October 2012

JUMLAH PELABURAN SDC CECAH RM114.05 BILION






KOTA KINABALU: Jumlah pelaburan terkumpul sebenar di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) mencecah RM114.045 bilion bagi tempoh 2008 hingga 30 September tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Musa, yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata jumlah itu termasuk kerajaan dan swasta sebanyak RM77.51 bilion bagi 31 projek permulaan (EPP) dalam sektor pertanian, perkilangan dan logistik, tenaga petroleum dan gas, kelapa sawit, pelancongan, infrastruktur, pendidikan dan Greater Kota Kinabalu.

“Daripada jumlah terkumpul RM114.05 bilion ini, 12.7 peratus atau RM14.48 bilion adalah pelaburan yang telah dibelanjakan setakat 30 September 2012,” katanya ketika menjawab soalan Abdul Mijul Unaini (Umno-Banggi).

Beliau berkata kestabilan politik serta perpaduan rakyat berbilang kaum merupakan faktor penting yang memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri ini.

“Dasar-dasar kerajaan yang prihatin, mesra pelabur dan sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelabur asing serta kewujudan modal insan yang berpendidikan, muda dan mudah dilatih menjadi faktor penting yang menarik pelaburan asing ke Sabah.

Di samping itu, kedudukan negeri Sabah yang strategik dan terletak dalam lingkungan hanya dua hingga tiga jam perjalanan melalui udara ke bandar-bandar utama di Asia seperti Tokyo, Seoul, Taipei, Osaka, Hong Kong, Macau, Singapura, Bandar Seri Begawan, Manila dan Jakarta turut menjadi daya tarikan kepada pelabur asing,” katanya.

Beliau berkata Kota Kinabalu mempunyai rangkaian penerbangan terus ke kebanyakan bandar besar ini memudahkan pelabur mengunjungi negeri di Bawah Bayu ini selain kekayaan sumber asli seperti minyak mentah, gas asli, kelapa sawit dan getah.

Musa berkata kemudahan infrastruktur asas yang baik serta pembangunan estet perindustrian seperti Kelompok Industri Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu, POIC Sandakan dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang lengkap menyediakan persekitaran yang kondusif kepada pelabur asing.

Bagi mengekalkan momentum pelaburan di Sabah, katanya, usaha-usaha menyediakan rangkaian perhubungan yang lebih meluas melalui pembinaan infrastruktur asas seperti jalan raya, pelaburan dan pengangkutan selain membangunkan perkhidmatan sektor telekomunikasi termasuk kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia.

Katanya, kerajaan negeri juga akan meneruskan siri promosi pelaburan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelabur ke Sabah termasuk meningkatkan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan agensi-agensi pusat yang lain.

Berhubung dengan ternakan udang kara di Perairan Pulau Timbun Mata, Semporna di bawah Projek Taman Bersepadu Akuakultur Udang Kara, katanya perusahaan itu melibatkan cadangan pelaburan RM2 bilion dan dijangka menjana 20,000 peluang pekerjaan dan dijangka membangunkan 18,000 sangkar udang kara melibatkan kawasan seluas 6,000 hektar.

Kemasukan pelabur

Musa turut menyeru semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang terlibat dalam pengurusan pelabur agar terus bekerjasama rapat dan memudah cara kemasukan pelabur ke Sabah.

“Kejayaan kita hari ini tidak datang bergolek begitu sahaja sebaliknya merupakan hasil daya usaha yang bersungguh-sungguh serta komitmen yang mantap pemimpin Barisan Nasional (BN) dan seluruh jentera pentadbiran kerajaan peringkat negeri dan persekutuan serta komitmen para pelabur.

Oleh itu, katanya bagi mengekalkan momentum pelaburan yang pesat dan meningkat pada masa kini, rakyat harus membuat pilihan tepat dan memastikan kerajaan BN meneruskan agenda pembangunan ekonomi yang lebih cemerlang pada masa depan.

Terdahulu, Musa berkata Sabah menerima jumlah pelaburan asing dalam sektor perkilangan bernilai RM9.2 bilion dari Hong Kong, India, Singapura dan Korea Selatan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-sembilan (RMK9).

Beliau berkata, pada suku tahun pertama tahun ini, Sabah menerima pelaburan RM10.2 bilion manakala nilai pelaburan dalam pelbagai sektor yang dicatatkan sepanjang tahun lepas mencecah RM13.7 bilion.

“Pelaburan asing di Sabah dalam tempoh RMK9 sehingga suku pertama tahun ini telah menjana 20,211 peluang pekerjaan. Sebanyak 57 peratus atau 11,421 daripada jumlah peluang pekerjaan ini disumbangkan oleh sektor perkilangan, 43 peratus atau 8,768 pekerjaan daripada sektor perkhidmatan dan baki selebihnya dalamn sektor utama perlombongan dan pertanian,” katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment