KOTA KINABALU: Kepimpinan di
bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang dinamik merupakan antara rahsia
kejayaan Sabah mendapat pengiktirafan cemerlang iaitu Sijil Tanpa Teguran
selama 12 tahun berturut-turut sejak tahun 2000 menerusi Laporan Audit Negara.
Menurut Pembantu Menteri
Kewangan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Tintingan, kejayaan tersebut juga tidak akan
tercapai tanpa adanya visi dan keupayaan dari segi pemikiran yang bernas dan tindakan
susulan untuk mencapai sebuah negeri yang maju jaya, aman makmur dan sejahtera.
“Syabas dan tahniah
diucapkan kepada Datuk Seri Musa Aman yang juga selaku Menteri Kewangan yang
buat sekian kalinya telah berjaya membimbing dan mengemudi negeri ini ke arah
kejayaan dan kecemerlangan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri
(DUN), di sini, kelmarin.
Tawfiq berkata demikian
ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulabayan, yang bertanyakan
rahsia dan pendekatan yang diambil bagi memperkasa tadbir urus kewangan negeri
sehingga Sabah berjaya mendapat pengiktirafan sedemikian.
Di samping itu Tawfiq
berkata, penyediaan penyata kewangan Kerajaan Negeri yang berpandukan Akta
Acara Kewangan 1957 (Pindaan 1972) sentiasa diselenggara dengan teratur dan
sempurna untuk memberi gambaran yang benar dan saksama terhadap kedudukan
kewangan Kerajaan Negeri.
“Selain itu, usaha-usaha
juga giat dijalankan untuk mempertingkatkan Sistem Perakaunan supaya ianya
‘compatible’ (bersesuaian) dengan perkembangan teknologi IT semasa dan Piawaian
Perakaunan Kerajaan (Public Sector Accounting Standard),” katanya.
Sementara itu, Tawfiq turut
menyangkal segala dakwaan dari pihak pembangkang yang mendakwa tanpa merujuk
fakta bahawa kononnya pengurusan kewangan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan
Barisan Nasional tidak teratur dan sebagainya.
Namun katanya, melalui
perakuan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang sendiri, bukan sahaja
Kerajaan Negeri telah berjaya mengekalkan Sijil Tanpa Teguran selama 12 tahun
berturut-turut, malah beliau juga memperakukan bahawa pengurusan kewangan
Negeri Sabah sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah antara yang terbaik
di seluruh Malaysia.
No comments:
Post a Comment