Tuesday 2 October 2012

MAKAN KURANG KERJA BANYAK




LEPAS.....  Azizah melepaskan belon sebagai simbolik Pelancaran Senam Cergas Sihat Peringkat Kebangsaan 2012 di Padang Pekan Beaufort.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

BEAUFORT: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa aman mengajak rakyat mengamalkan budaya hidup sihat dan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat dalam usaha menangani isu obesiti di negara ini.

Musa membuata saranan itu pada Majlis Pelancaran Senam Cergas Sihat Peringkat Kebangsaan 2012 di Padang Pekan Beaufort di sini, kelmarin. Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata, statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jelas menunjukkan bahawa isu obesiti kini menjadi satu isu yang serius dan perlu ditangani dengan segera.

“Negara kita sedang menghadapi isu obesiti iaitu isu kegemukan di kalangan masyarakat kita. Oleh yang demikian saya berharap kita dapat mengawal berat badan kita melalui aktiviti riadah di samping mengamalkan pengambilan makanan seimbang dan berkhasiat.

“Kita perlu menghindarkan diri kita daripada budaya makan banyak, kerja kurang dan sebaliknya kita perlu mengamalkan budaya makan kurang, kerja banyak."

Katanya, pihak kerajaan sangat mengalu-alukan pelbagai pihak untuk menganjurkan kegiatan sukan mahupun program kecergasan dari masa ke semasa secara serius dan berterusan.

“Saya juga berharap dan mengajak semua masyarakat untuk bersama-sama melibatkan diri bersama seisi keluarga dalam aktiviti riadah sebagai aktiviti rutin harian kita,” katanya.

Selepas upacara perasmian, Azizah yang mewakili Musa melakukan senamrobik bersama pemimpin dan orang ramai sebelum menyempurnakan pelepasan peserta berjalan Cergas Sihat 2012 sejauh empat kilometer.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena program itu seperti sukaneka, pertandingan meawarna, tarik tari, pameran dan pertandingan karaoke.

No comments:

Post a Comment