Wednesday 3 October 2012

MATI ITU PASTI, HIDUP INSHAALLAH!




Oleh : MUTALIB M.D

KELMARIN saya hampir terlupa telah genap angka 50 atau separuh abad usia saya yang menumpang pada jasad ciptaan Illahi di tengah kemelut RCI; sehingga ribuan ucapan 'Selamat Ulang Tahun' daripada rakan taulan dan peminat Sabahkini.net terabai; tetapi terkejut setelah menerima ucapan paling istimewa daripada keluarga tercinta. Jutaan terima kasih di atas ingatan, ucapan dan doa kalian.

Saya tidak membuat sebarang ulasan kelmarin kerana membiarkan usia saya 50 tahun satu hari untuk mensyukuri nikmat Tuhan yang masih meminjamkan saya nyawa dan jasad; sekalipun tidak mampu menjaga sebaik amanah Allah.

Walaupun mati itu pasti dan hidup itu InshaAllah, tetapi saya mengharapkan dapat mencari seorang 'Apprentice' yang akan meneruskan perjuangan saya. Mungkin mudah untuk mencari dua juta penyanyi di Sabah tetapi sukar untuk mencari walau seorang 'penulis' yang berbakat dan berani menyerahkan diri kepada Allah.

Setelah 50 tahun berlalu, 41 tahun daripadanya menghirup udara segar Sabah sehingga saya tidak ingat lagi tanah tumpah darah saya di Kampung Lanai, Mukim Pulai, Baling Kedah. Hanya masih terbayang di ruang mata ialah saya dan dua rakan disergah Chin Peng dan gerombolannya (Parti Komunis Malaya) ketika dalam perjalanan balik daripada SK Lanai ke rumah saya di Parit Panjang.

Sejak menetap di Sabah pada 1972 dan mendapat Taraf Penduduk Tetap Sabah (PR) pada 1974 yang membolehkan MyKad saya mempunyai huruf 'H'; saya tidak pernah menganggap diri saya 'Orang Malaya' kerana kesemua keluarga saya adalah Rakyat Sabah menurut Undang-Undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Mujurlah ketika bersekolah di SK Giram, Mostyn (Kunak); St Stephens Silabukan (Lahad Datu); SMK Agaseh (Lahad Datu) dan SMK Menggatal (Kini SMK Bandaraya- Kota Kinabalu) saya telah diterima sebagai 'Anak Negeri Sabah' kerana mengamalkan adat istiadat, budaya dan 'Style' Sabah.

Semuanya berjalan lancar sehinggalah saya membongkar isu IC Palsu dan IC Projek di Sabah pada 1995 dan menulis buku pada 1999 kerana pemimpin dan ahli UMNO menuding jari kepada saya sebagai 'Orang Malaya' dan tidak berhak bercakap tentang Sabah.

Malangnya mereka yang mengecam saya 'Orang Malaya' adalah 'Warga Penyu' iaitu warganegara terapung daripada Filipina, Indonesia, India dan Pakistan yang memasuki Sabah secara haram dan mendapat IC Projek melalui 'Ops Gembleng' di era Megat Junid Megat Ayub menjadi 'Perdana Menteri Kedua' di zaman pemerintahan 'Mamanda' Dr Mahathir Mohammad.

Rakan sepermainan saya di Rancangan Silabukan dan Segangan, Lahad Datu terutama  kaum Dusun Segama, Idahan, Subpan, Bagahak dan Sungai tidak pernah menganggap saya 'Orang Malaya' sekalipun Almarhum ayah saya dipanggil 'Pat Mat Malaya' (kerana ramai yang bernama Mat @ Mohammad).

Malah ketika bersekolah rendah di SK St Stephens, saya turut menjadi salah seorang pemanjat sarang burung di Gua Madai, Kunak mengikut rakan karib saya, Abdul Razak Kaharuddin; sehingga saya boleh bertutur bahasa Idahan dengan fasih (kini banyak sudah lupa) dan menulis Hikayat Raja Sabah.

Kini setelah 13 tahun berjuang secara bersendirian memburu hidup di penjuru nasib; menggadai nyawa yang dipegang Tuhan untuk memerangi kebatilan yang dicetuskan pemimpin UMNO yang rakus dan Warga Penyu yang menggadai Islam untuk mendapat kerakyatan songsang; saya bersyukur kerana Perdana Menteri 'Terakhir' mengikut Teori R.A.H.M.A.N; telah sudi mendengar rayuan rakyat dan pemimpin Sabah untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI).

Walaupun hanya Najib (daripada lima Perdana Menteri lalu) yang mempunyai kekuatan dan iltizam yang tinggi untuk menyelesaikan isu yang menjadi ibu kepada segala masalah di Sabah; namun tanpa 'Political Will' pemimpin dan rakyat Sabah; Najib akan keseorangan memperjuangkan isu ini.

Dalam keadaan Jabatan Imigresen yang pincang, Ketua Menteri Sabah tidak mempunyai kuasa autonomi untuk menghalang rakyat asing memasuki Sabah kerana undang-undang hanya memberikan beliau 'Kuasa Eksekutif' ke atas 'Orang Malaya' memasuki Sabah.

Malah secara legislatifnya, Kuasa Imigresen dipegang Menteri Dalam Negeri; bukannya Ketua Menteri, terutama setelah Perkara 20 hanya 'Epik Merong Mahawangsa' untuk menjadi penglipur lara rakyat Sabah.

Lebih memalukan, Ketua Menteri Sabah tidak berkuasa meluluskan 'Permit Masuk' kepada rakan saya yang sudah 30 tahun menetap di Sabah dan terpaksa merujuk kepada Kementerian Dalam Negeri sedangkan mengikut undang-undang beliau berkuasa melakukannya di bawah Perkara 20.

Kini pilihanraya semakin hampir dan dijangka Panel RCI akan menyiapkan siasatan (yang belum pun dimulakan) menjelang Mac 2013; Najib terpaksa mencari formula untuk 'menjinakkan' semangat membara rakyat Sabah yang semakin tidak terkawal kerana terus dihasut pelbagai penjuru; terutama parti politik yang hidup di atas isu PATI dan RCI.

Dalam keadaan mereka tidak bersungguh-sungguh melaksanakan RCI (hanya modal politik); apakah hasil yang dapat diharapkan daripada Penubuhan RCI setelah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti yang dipengerusikan Tan Sri Bernard Giluk Dompok tidak ubah seperti pintomin dalam Pentarama.

Walaupun saya dan Mantan Tahanan ISA, Haji Jabbar Khan Napi @ Yasser Arafat berhempas pulas mengemukakan bukti (termasuk mengemukakan empat buku saya), namun Parlimen dan Kabinet Malaysia hanya menghabiskan wang elaun rakyat; malah TIDAK MAMPU untuk membeli 222 buah buku saya, 'IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir' yang berharga RM1,000 untuk bacaan Ahli Parlimen Malaysia.

Mungkin agak mengejutkan kerana di Parlimen inilah digubal Akta Cetak Rompak; tetapi di Parlimen ini jugalah mereka mencetak rompak buku saya untuk bacaan AJK Jawatankuasa Khas Parlimen; yang berakhir dengan perletakan jawatan Pengerusinya, Tan Sri Bernard Dompok setelah Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Tun), yang mungkin kerana 'malu' atau Pak Lah terlebih tidur sehingga tidak sempat membaca laporan jawatankuasa khas berkenaan.

Tidak keterlaluan jika Aktivis Masyarakat dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu menyifatkan Panel RCI saling tak tumpah seperti sekumpulan orang buta dengan seekor gajah; yang bukan sahaja tidak mengenali gajah, malah akan membuat tafsiran yang berbeza kerana tidak mampu 'melihat'.

"Kenapa meletakkan sepatu di kepala? Berikan kepada mereka yang ahli dalam bidangnya; bukan yang menutup mata kepada larangan dan membuka mata kepada arahan. RCI membawa maruah DYMM Yang DiPertua Agong. Bukan untuk dipersenda atau dipolitikkan," ujar Patrick yang menggesa agar Panel RCI ditambah bagi memastikan hasil dapatan siasatan tidak seperti di era Pak Lah, bak mencurah air ke daun keladi.

Patrick turut menjelaskan bahawa RCI wajib ditangani dengan sempurna dan bijaksana dan tidak ada gunanya jika Panel RCI tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mendakwa atau langsung tidak berwibawa.

"Hasilnya kita mungkin sudah jangka kerana tidak mungkin Kerajaan Barisan Nasional berani meucutkan kerakyatan ADUN Sebatik, Abdul Muis Picho; puluhan ribu pegawai kerajaan yang ibu bapa mereka adalah Warga Penyu dan jutaan pengundi yang menggunakan IC Projek untuk mengundi BN. Bukankah ini dikatakan sudah terang lagi bersuluh?" tanya Patrick.

Sehubungan itu, saya berpendapat, selagi jiwa dikandung badan, tiba masanya Dr Mahathir Mohammad membuka mulut menyatakan kebenaran tanpa berdolak dalih; kembali kepada Perlembagaan Persekutuan sekalipun Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh pernah berkata;

"Kerajaan Persekutuan boleh mendaftar mana-mana pendatang dalam masa tiga minit, tiga jam, tiga bulan atau tiga tahun. Tidak ada undang-undang yang menetapkan tempoh dan jika kerajaan persekutuan ingin mengubah corak mengundi di Sabah untuk selama-lamanya, maka ia boleh dilakukan semudah menandatangani dokumen." 

Jika inilah hasil RCI, apakah yang dapat kita harapkan?Jangan hanya selepas bumiputera terakhir  Sabah ditemui mati; hanya selepas kampung tradisi terakhir menjadi setinggan;  hanya selepas peti undi terakhir dikira; hanya selepas ADUN terakhir dilakahkan; hanya selepas PATI menjadi PADI; hanya selepas itu, barulah kita menyedari bahawa KEMERDEKAAN tidak memberi makna.

No comments:

Post a Comment