Oleh : MUTALIB M.D
KELMARIN saya hampir terlupa
telah genap angka 50 atau separuh abad usia saya yang menumpang pada jasad
ciptaan Illahi di tengah kemelut RCI; sehingga ribuan ucapan 'Selamat Ulang
Tahun' daripada rakan taulan dan peminat Sabahkini.net terabai; tetapi terkejut
setelah menerima ucapan paling istimewa daripada keluarga tercinta. Jutaan
terima kasih di atas ingatan, ucapan dan doa kalian.
Saya tidak membuat sebarang
ulasan kelmarin kerana membiarkan usia saya 50 tahun satu hari untuk mensyukuri
nikmat Tuhan yang masih meminjamkan saya nyawa dan jasad; sekalipun tidak mampu
menjaga sebaik amanah Allah.
Walaupun mati itu pasti dan
hidup itu InshaAllah, tetapi saya mengharapkan dapat mencari seorang
'Apprentice' yang akan meneruskan perjuangan saya. Mungkin mudah untuk mencari dua
juta penyanyi di Sabah tetapi sukar untuk mencari walau seorang 'penulis' yang
berbakat dan berani menyerahkan diri kepada Allah.
Setelah 50 tahun berlalu, 41
tahun daripadanya menghirup udara segar Sabah sehingga saya tidak ingat lagi
tanah tumpah darah saya di Kampung Lanai, Mukim Pulai, Baling Kedah. Hanya
masih terbayang di ruang mata ialah saya dan dua rakan disergah Chin Peng dan
gerombolannya (Parti Komunis Malaya) ketika dalam perjalanan balik daripada SK
Lanai ke rumah saya di Parit Panjang.
Sejak menetap di Sabah pada
1972 dan mendapat Taraf Penduduk Tetap Sabah (PR) pada 1974 yang membolehkan
MyKad saya mempunyai huruf 'H'; saya tidak pernah menganggap diri saya 'Orang
Malaya' kerana kesemua keluarga saya adalah Rakyat Sabah menurut Undang-Undang
dan Perlembagaan Persekutuan.
Mujurlah ketika bersekolah
di SK Giram, Mostyn (Kunak); St Stephens Silabukan (Lahad Datu); SMK Agaseh
(Lahad Datu) dan SMK Menggatal (Kini SMK Bandaraya- Kota Kinabalu) saya telah
diterima sebagai 'Anak Negeri Sabah' kerana mengamalkan adat istiadat, budaya
dan 'Style' Sabah.
Semuanya berjalan lancar
sehinggalah saya membongkar isu IC Palsu dan IC Projek di Sabah pada 1995 dan
menulis buku pada 1999 kerana pemimpin dan ahli UMNO menuding jari kepada saya
sebagai 'Orang Malaya' dan tidak berhak bercakap tentang Sabah.
Malangnya mereka yang mengecam
saya 'Orang Malaya' adalah 'Warga Penyu' iaitu warganegara terapung daripada
Filipina, Indonesia, India dan Pakistan yang memasuki Sabah secara haram dan
mendapat IC Projek melalui 'Ops Gembleng' di era Megat Junid Megat Ayub menjadi
'Perdana Menteri Kedua' di zaman pemerintahan 'Mamanda' Dr Mahathir Mohammad.
Rakan sepermainan saya di
Rancangan Silabukan dan Segangan, Lahad Datu terutama kaum Dusun Segama, Idahan, Subpan, Bagahak
dan Sungai tidak pernah menganggap saya 'Orang Malaya' sekalipun Almarhum ayah
saya dipanggil 'Pat Mat Malaya' (kerana ramai yang bernama Mat @ Mohammad).
Malah ketika bersekolah
rendah di SK St Stephens, saya turut menjadi salah seorang pemanjat sarang
burung di Gua Madai, Kunak mengikut rakan karib saya, Abdul Razak Kaharuddin;
sehingga saya boleh bertutur bahasa Idahan dengan fasih (kini banyak sudah
lupa) dan menulis Hikayat Raja Sabah.
Kini setelah 13 tahun
berjuang secara bersendirian memburu hidup di penjuru nasib; menggadai nyawa
yang dipegang Tuhan untuk memerangi kebatilan yang dicetuskan pemimpin UMNO
yang rakus dan Warga Penyu yang menggadai Islam untuk mendapat kerakyatan
songsang; saya bersyukur kerana Perdana Menteri 'Terakhir' mengikut Teori
R.A.H.M.A.N; telah sudi mendengar rayuan rakyat dan pemimpin Sabah untuk
menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI).
Walaupun hanya Najib
(daripada lima Perdana Menteri lalu) yang mempunyai kekuatan dan iltizam yang
tinggi untuk menyelesaikan isu yang menjadi ibu kepada segala masalah di Sabah;
namun tanpa 'Political Will' pemimpin dan rakyat Sabah; Najib akan keseorangan
memperjuangkan isu ini.
Dalam keadaan Jabatan
Imigresen yang pincang, Ketua Menteri Sabah tidak mempunyai kuasa autonomi
untuk menghalang rakyat asing memasuki Sabah kerana undang-undang hanya memberikan
beliau 'Kuasa Eksekutif' ke atas 'Orang Malaya' memasuki Sabah.
Malah secara legislatifnya,
Kuasa Imigresen dipegang Menteri Dalam Negeri; bukannya Ketua Menteri, terutama
setelah Perkara 20 hanya 'Epik Merong Mahawangsa' untuk menjadi penglipur lara
rakyat Sabah.
Lebih memalukan, Ketua
Menteri Sabah tidak berkuasa meluluskan 'Permit Masuk' kepada rakan saya yang
sudah 30 tahun menetap di Sabah dan terpaksa merujuk kepada Kementerian Dalam
Negeri sedangkan mengikut undang-undang beliau berkuasa melakukannya di bawah
Perkara 20.
Kini pilihanraya semakin
hampir dan dijangka Panel RCI akan menyiapkan siasatan (yang belum pun
dimulakan) menjelang Mac 2013; Najib terpaksa mencari formula untuk
'menjinakkan' semangat membara rakyat Sabah yang semakin tidak terkawal kerana
terus dihasut pelbagai penjuru; terutama parti politik yang hidup di atas isu
PATI dan RCI.
Dalam keadaan mereka tidak
bersungguh-sungguh melaksanakan RCI (hanya modal politik); apakah hasil yang
dapat diharapkan daripada Penubuhan RCI setelah Jawatankuasa Pilihan Khas
Parlimen Mengenai Integriti yang dipengerusikan Tan Sri Bernard Giluk Dompok
tidak ubah seperti pintomin dalam Pentarama.
Walaupun saya dan Mantan
Tahanan ISA, Haji Jabbar Khan Napi @ Yasser Arafat berhempas pulas mengemukakan
bukti (termasuk mengemukakan empat buku saya), namun Parlimen dan Kabinet
Malaysia hanya menghabiskan wang elaun rakyat; malah TIDAK MAMPU untuk membeli
222 buah buku saya, 'IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir' yang berharga
RM1,000 untuk bacaan Ahli Parlimen Malaysia.
Mungkin agak mengejutkan
kerana di Parlimen inilah digubal Akta Cetak Rompak; tetapi di Parlimen ini
jugalah mereka mencetak rompak buku saya untuk bacaan AJK Jawatankuasa Khas
Parlimen; yang berakhir dengan perletakan jawatan Pengerusinya, Tan Sri Bernard
Dompok setelah Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
(Tun), yang mungkin kerana 'malu' atau Pak Lah terlebih tidur sehingga tidak
sempat membaca laporan jawatankuasa khas berkenaan.
Tidak keterlaluan jika Aktivis
Masyarakat dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu menyifatkan Panel RCI
saling tak tumpah seperti sekumpulan orang buta dengan seekor gajah; yang bukan
sahaja tidak mengenali gajah, malah akan membuat tafsiran yang berbeza kerana
tidak mampu 'melihat'.
"Kenapa meletakkan
sepatu di kepala? Berikan kepada mereka yang ahli dalam bidangnya; bukan yang
menutup mata kepada larangan dan membuka mata kepada arahan. RCI membawa maruah
DYMM Yang DiPertua Agong. Bukan untuk dipersenda atau dipolitikkan," ujar
Patrick yang menggesa agar Panel RCI ditambah bagi memastikan hasil dapatan
siasatan tidak seperti di era Pak Lah, bak mencurah air ke daun keladi.
Patrick turut menjelaskan
bahawa RCI wajib ditangani dengan sempurna dan bijaksana dan tidak ada gunanya
jika Panel RCI tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mendakwa atau langsung
tidak berwibawa.
"Hasilnya kita mungkin
sudah jangka kerana tidak mungkin Kerajaan Barisan Nasional berani meucutkan
kerakyatan ADUN Sebatik, Abdul Muis Picho; puluhan ribu pegawai kerajaan yang
ibu bapa mereka adalah Warga Penyu dan jutaan pengundi yang menggunakan IC
Projek untuk mengundi BN. Bukankah ini dikatakan sudah terang lagi
bersuluh?" tanya Patrick.
Sehubungan itu, saya
berpendapat, selagi jiwa dikandung badan, tiba masanya Dr Mahathir Mohammad
membuka mulut menyatakan kebenaran tanpa berdolak dalih; kembali kepada
Perlembagaan Persekutuan sekalipun Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris
Salleh pernah berkata;
"Kerajaan Persekutuan
boleh mendaftar mana-mana pendatang dalam masa tiga minit, tiga jam, tiga bulan
atau tiga tahun. Tidak ada undang-undang yang menetapkan tempoh dan jika
kerajaan persekutuan ingin mengubah corak mengundi di Sabah untuk
selama-lamanya, maka ia boleh dilakukan semudah menandatangani dokumen."
Jika inilah hasil RCI,
apakah yang dapat kita harapkan?Jangan hanya selepas bumiputera terakhir Sabah ditemui mati; hanya selepas kampung
tradisi terakhir menjadi setinggan; hanya
selepas peti undi terakhir dikira; hanya selepas ADUN terakhir dilakahkan;
hanya selepas PATI menjadi PADI; hanya selepas itu, barulah kita menyedari
bahawa KEMERDEKAAN tidak memberi makna.
No comments:
Post a Comment