Friday 19 October 2012

PERJANJIAN DAMAI FILIPINA-MILF POSITIF





KUALA LUMPUR : Malaysia positif penghijrahan rakyat dari selatan Filipina ke negara ini khususnya ke Sabah, mungkin berkurang jika proses keamanan dalam kerangka perjanjian damai yang dimeterai baru-baru ini berjalan lancar.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata menerusi perjanjian tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan antaranya untuk membantu rakyat negara itu dari aspek pembangunan kapasiti dan latihan vokasional.

"Seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Kota Belud (Datuk Abdul Rahman Dahlan) tadi, pencapaian ini kita akan terus usahakan kalau 'peace process' ini berkekalan dan ada 'political stability' serta ada peluang ekonomi kepada rakyat Filipina selatan, maka kita mengharapkan kemungkinan penghijrahan akan berkurangan.

"Itu adalah satu pencapaian yang membawa kesan kepada negara kita," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Isnin lepas, kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menandatangani kerangka perjanjian damai secara rasmi bagi mengakhiri konflik lebih 40 tahun di wilayah selatan Filipina.

Kerangka perjanjian damai itu menandakan era baharu dalam proses perdamaian di Mindanao yang menyaksikan pergolakan selama lebih 40 tahun tersebut meragut hampir 150,000 nyawa.

Malaysia menjadi pengantara perundingan damai antara kedua-dua pihak itu sejak 2001 sehingga perjanjian awal untuk perdamaian dicapai di Kuala Lumpur dalam rundingan dari 2 hingga 7 Okt lepas.

Dalam pada itu, Anifah berkata pada lawatan rasmi Perdana Menteri ke Filipina, Najib membangkitkan keperluan membuka sebuah konsulat Filipina di Sabah kepada Presiden negara itu Benigno S. Aquino III.

"Kerajaan Malaysia juga telah menjelaskan secara terperinci kepada kerajaan Filipina tentang masalah atau cabaran yang dihadapi di Sabah ekoran ketiadaan perwakilan diplomatik atau konsular Filipina di Sabah," katanya.

Justeru, beliau berkata kerajaan berharap agar kerajaan Filipina bersedia dan dapat merealisasikan pembukaan Konsulat Jeneral Filipina di Sabah.

No comments:

Post a Comment