KUALA LUMPUR : Malaysia
positif penghijrahan rakyat dari selatan Filipina ke negara ini khususnya ke
Sabah, mungkin berkurang jika proses keamanan dalam kerangka perjanjian damai
yang dimeterai baru-baru ini berjalan lancar.
Menteri Luar, Datuk Seri
Anifah Aman berkata menerusi perjanjian tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak memberi jaminan antaranya untuk membantu rakyat negara itu dari
aspek pembangunan kapasiti dan latihan vokasional.
"Seperti yang disebut
oleh Yang Berhormat Kota Belud (Datuk Abdul Rahman Dahlan) tadi, pencapaian ini
kita akan terus usahakan kalau 'peace process' ini berkekalan dan ada
'political stability' serta ada peluang ekonomi kepada rakyat Filipina selatan,
maka kita mengharapkan kemungkinan penghijrahan akan berkurangan.
"Itu adalah satu
pencapaian yang membawa kesan kepada negara kita," katanya ketika
menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 peringkat dasar bagi
kementerian itu di Dewan Rakyat di sini, Rabu.
Isnin lepas, kerajaan
Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menandatangani kerangka
perjanjian damai secara rasmi bagi mengakhiri konflik lebih 40 tahun di wilayah
selatan Filipina.
Kerangka perjanjian damai
itu menandakan era baharu dalam proses perdamaian di Mindanao yang menyaksikan
pergolakan selama lebih 40 tahun tersebut meragut hampir 150,000 nyawa.
Malaysia menjadi pengantara
perundingan damai antara kedua-dua pihak itu sejak 2001 sehingga perjanjian
awal untuk perdamaian dicapai di Kuala Lumpur dalam rundingan dari 2 hingga 7
Okt lepas.
Dalam pada itu, Anifah
berkata pada lawatan rasmi Perdana Menteri ke Filipina, Najib membangkitkan
keperluan membuka sebuah konsulat Filipina di Sabah kepada Presiden negara itu
Benigno S. Aquino III.
"Kerajaan Malaysia juga
telah menjelaskan secara terperinci kepada kerajaan Filipina tentang masalah
atau cabaran yang dihadapi di Sabah ekoran ketiadaan perwakilan diplomatik atau
konsular Filipina di Sabah," katanya.
Justeru, beliau berkata
kerajaan berharap agar kerajaan Filipina bersedia dan dapat merealisasikan
pembukaan Konsulat Jeneral Filipina di Sabah.
No comments:
Post a Comment