Sunday 9 December 2012

48 KES PENCEROBOHAN PENCAWANG ELEKTRIK DI TAWAU





TAWAU : Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merekodkan 48 kes pencerobohan pencawang elektrik miliknya di sekitar daerah Tawau tahun ini, kata Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Ahmad Fuad Md Kasim.

Beliau berkata kes terbaru berlaku awal pagi semalam apabila pencawang elektrik agensi itu di Taman Millenium diceroboh beberapa individu tidak dikenali menyebabkan beberapa peralatan penting di dalam pencawang berkenaan hilang dipercayai dicuri.

"Sejurus mendapat laporan dan aduan gangguan elektrik pada 6.45 pagi, sepasukan anggota kerja SESB telah dihantar ke tempat kejadian sebelum mengesahkan beberapa komponen elektrik telah hilang, dipercayai dicuri," katanya dalam kenyataan di sini Sabtu.

Ahmad Fuad berkata bekalan elektrik di beberapa kawasan yang terjejas dipulihkan pada 9.05 pagi, hari yang sama.

Sehubungan itu, Ahmad Fuad berkata SESB secara berterusan akan menggiatkan usaha dan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras pencerobohan dan kecurian seperti itu kerana ia bukan sahaja menyebabkan gangguan bekalan tetapi turut merosakkan peralatan elektrik pengguna. (Bernama)

No comments:

Post a Comment