Sunday, 11 March 2012

ENGGAN DAFTAR SEBAGAI PEMILIH, SIAPA RUGI?



Oleh : MARKUS LIM

DI MALAYSIA, jumlah sebenar penduduk masyarakat Tionghua hanyalah seramai 6.5 juta orang. Ini bermakna jumlah berkenaan hanya membentuk kira-kira 25 peratus daripada jumlah keseluruhan komposisi penduduk di negara ini.

Jumlah tersebut sebenarnya adalah jauh lebih rendah daripada 45 peratus yang pernah dicatatkan pada 1957. Malah angka terbabit dijangka akan memperlihatkan penurunan yang ketara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Antara faktor pemangkin yang dikenal pasti sebagai penyebabnya termasuklah kadar kelahiran yang rendah dalam komuniti itu selain penghijrahan beramai-ramai masyarakat Tionghua ke seberang laut sama ada untuk mencari nafkah hidup mahupun menetap kekal.

Penurunan populasi masyarakat Tionghua yang makin merudum sudah tentu memberi kesan hebat kepada kekuasaan dan pengaruh parti-parti politik berasaskan kaum Cina seperti MCA dan Gerakan serta perwakilannya dalam kerajaan.

Mahu tidak mahu, masyarakat Tionghua kini terpaksa berhadapan dengan senario semasa ini yang dijangka akan berterusan buat satu tempoh lama. Justeru apabila dilaporkan dalam media tempatan baru-baru ini bahawa seramai 1.1 juta masyarakat Tionghua yang masih belum mendaftar sebagai pengundi, ia mencetuskan pelbagai persoalan mengenai masyarakat Tionghua.

Pertama, adakah mereka ini 'apolitical' yakni tidak berminat dan ambil peduli dengan politik? Kedua, dengan pendirian yang tidak berminat dengan politik itu, apakah itu petanda mereka ini sebenarnya tidak berjiwa patriotik?

Ketiga, adakah kerana faktor-faktor seperti amalan politiking keterlaluan, retorik perkauman yang tidak berkesudahan menyebabkan masyarakat Tionghua hilang minat terhadap perkembangan politik negara? Dan yang keempat, jika mereka hilang minat terhadap perkembangan politik negara, pemimpin dan negaranya, maka kepada siapa lagi mereka akan bergantung harap?

Mengenai persoalan pertama itu, adalah tidak tepat untuk menggambarkan bahawa semua masyarakat Tionghua adalah 'apolitical'. Ini kerana trend pengundian antara masyarakat Tionghua di kawasan luar bandar dan bandar-bandar besar adalah jauh berbeza.

Di kawasan luar bandar umpamanya, masyarakat di sana mungkin tidak terdedah dengan teknologi ICT dan isu-isu yang menjadi perdebatan lebih bersifat lokal. Namun perkara yang sama tidak boleh dikatakan untuk masyarakat Tionghua di bandar yang bersifat global.

Isu-isu semasa seperti rasuah, ketelusan, keadilan sosial dan hak asasi manusia menjadi fokus dalam pertimbangan mereka. Kelazimannya, mereka amat vokal dan tidak teragak-agak untuk mengundi bagi meluahkan ketidakpuasan hati mereka. Fenomena ini cukup terserlah pada PRU 2008 terutamanya di sekitar Lembah Klang dan Selangor yang mana kebanyakan kerusi Parlimen jatuh ke tangan pembangkang.

Untuk melabelkan masyarakat Tionghua sebagai tidak patriotik hanya kerana mereka tidak mendaftar sebagai pemilih juga tidak betul. Malah tindakan melabel itu tidak lebih daripada satu tanggapan liar yang wajar diperbetulkan. Selama ini, masyarakat Tionghua telah memberi banyak sumbangan kepada pembangunan negara; baik dari aspek ekonomi, sosial dan budaya meskipun tergolong dalam kumpulan minoriti.

Sokongan padu masyarakat Tionghua kepada usaha kerajaan ketika itu untuk memulihkan semula ekonomi negara yang terjejas teruk pada 1997 serta sokongan padu kepada kerajaan pada PRU 1995, 1999 dan 2004 merupakan petanda jelas kepada kesetiaan masyarakat Tionghua kepada negara ini.

Sentimen masyarakat Tionghua yang kurang memberangsangkan terhadap kerajaan mutakhir ini tidak harus disalahtafsir sebagai tidak mengenang budi kepada kerajaan. Sudah pasti, ada perkara-perkara tertentu yang menyebabkan mereka berkelakuan sedemikian.

Boleh jadi ia berlaku kerana pendekatan yang digunapakai tidak betul dan faktor sampingan lain. Oleh itu, parti-parti komponen BN seperti MCA dan Gerakan harus bermuhasabah diri dan mencari jalan keluar untuk mengatasi keengganan masyarakat Tionghua untuk mendaftar sebagai pemilih.

Apa yang didedahkan oleh Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha itu sesungguhnya merupakan satu 'pembuka mata' yang wajar dijadikan iktibar oleh semua pihak.

Meskipun bilangan yang tidak mendaftar ini tidak sebanyak berbanding masyarakat Melayu, tetapi ia tetap memberi gambaran bahawa sikap acuh tak acuh mengenai tanggungjawab mengundi masih tinggi merentasi semua kaum. Justeru adalah tidak bijak untuk pihak tertentu mengaitkan isu ini dengan kaum memandangkan perkara tersebut turut berlaku pada masyarakat Melayu.

Trend itu diserlahkan dengan pendedahan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar baru-baru ini yang mengumumkan seramai 2 juta pengundi Melayu yang masih belum mendaftar sebagai pemilih. Dan daripada jumlah 2 juta itu, 60% daripada mereka berusia di bawah 40 tahun.

Oleh yang demikian, alasan untuk mengatakan kumpulan pengundi-pengundi ini tidak diberikan penjelasan atau tiada sebarang usaha dijalankan oleh SPR untuk mengalakkan rakyat mendaftar adalah tidak berasas sama sekali. Siaran promosi di radio dan televisyen yang ke udara saban hari dengan jelas memberi penerangan kepada rakyat cara-cara untuk mendaftar sebagai pemilih.

Apa yang berlaku mutakhir ini nampaknya lebih berpunca daripada sikap rakyat kita sendiri yang nampaknya mengambil mudah terhadap saranan SPR. Tatkala ada kalangan rakyat di negara-negara berkonflik yang beria-ia ingin membuang undi pun tidak dapat berbuat demikian, rakyat Malaysia disini pula nampaknya mengambil mudah dan bersikap selamba sahaja. Lebih buruk lagi, SPR perlu memujuk dan merayu mereka mendaftar sebagai pemilih.

Bukankah sikap ini keterlaluan? Sekalipun dipermudahkan segala prosedur untuk rakyat mendaftar sebagai pemilih, belum tentu akan kendur segala rungutan. Rungutan akan tetap berbangkit kerana itulah sikap manusia yang sebenar-benarnya. Tetapi saban kali rungutan itu berjaya diselesaikan, ada lagi bermacam alasan untuk menjustifikasikan keengganan mereka untuk mengundi.

Mereka perlu sedar bahawa mengundi merupakan hak semua rakyat. Ia adalah satu 'privilege' untuk mengundi kerana satu undi daripada mereka mampu menentukan jatuh bangun sesebuah rejim pemerintah. Soal sama ada mereka menyokong rejim pemerintah atau pembangkang, itu bukan persoalan pokoknya.

Yang penting ialah mereka mendaftar sebagai pemilih dan menyertai dalam proses pilihan raya. Itulah langkah pertama yang harus diambil terlebih dahulu. Pembabitan mereka dalam proses pilihan raya secara tidak langsung juga merupakan satu kemenangan kepada demokrasi negara.

Apa yang diharap-harapkan selepas ini, jangan pula ada kalangan rakyat kita yang tidak mendaftar sebagai pemilih merungut terhadap dasar-dasar kerajaan yang dilihat tidak memihak kepada mereka. Walhal ketidakpuasan hati itu boleh diluahkan apabila mereka menjadi sebagai seorang pemilih.

Mereka memilih untuk tidak mendaftar dan mereka hanya boleh menyalahkan diri mereka sendiri tatkala peluang untuk mendaftar sebagai pemilih terbentang luas di hadapan mereka. Pada ketika itu, segalanya mungkin sudah terlambat dan tidak berguna lagi.

Selagi sikap dan takuk minda rakyat kita tidak berubah, maka selagi itulah isu bilangan rakyat Malaysia yang tidak mendaftar sebagai pemilih akan terus kedengaran. SPR boleh mengambil berbagai-bagai inisiatif untuk menggalakkan rakyat mendaftar sebagai pemilih tetapi langkah kanan harus dimulakan oleh rakyat sendiri. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Bagi memastikan fenomena sebegini tidak berulang, bukankah lebih baik untuk kerajaan mewajibkan rakyat mendaftar sebagai pemilih seperti yang pernah dilakukan oleh negara-negara lain?

Jika terdapat rakyat Malaysia yang bersikap acuh tak acuh terhadap tanggungjawabnya kepada negara, maka siapa lagi yang boleh dipertanggungjawabkan untuk memacu negara ini ke satu tahap yang lebih gemilang?

Ingat, Malaysia adalah hak milik kita bersama! Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memakmurkan bumi bertuah ini.

10 comments:

  1. It is a shame as well as a waste should they do not exercise their right.

    ReplyDelete
  2. Hopefully in the up coming general election, all eligible citizen will exercise their voting power.

    ReplyDelete
  3. masih ramai lagi rakyat Malaysia yang belum mendaftar sebagai pemilih, sebaiknya daftarlah segera, itu tanggungjawab kita terhdap negara.

    ReplyDelete
  4. Mereka yang tidak mahu mendaftar sebagai pengundi hanya membazirkan hak diri sebagai rakyat negara.

    ReplyDelete
  5. Terdapat lebih kurang 312,000 orang Malaysia yang sudah mencapai umur mengundi tapi masih belum mendaftar sebagai pengundi.

    ReplyDelete
  6. Sendiri juga yang rugi nanti kalau tidak menunaikan tanggungjawab.

    ReplyDelete
  7. Sebagai seorang rakyat M'sia yang layak mengundi harus la berdaftar sebagai pemilik dan menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya.

    ReplyDelete
  8. jika kerajaan mawajibkan rakyat untuk mendaftar sebagai pemilih, lebih baik laksanakan saja pendaftaran secara automatik..

    ReplyDelete
    Replies
    1. setuju..lebih baik gunakan teknologi yang ada untuk mendaftar sebagai pemilih. cara ini lebih mudah dan cepat.

      Delete
  9. ada kemungkinan juga pihak yang tidak mengundi itu berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan dan mereka yakin tanpa undi mereka pun parti pemerintah akan tetap memerintah selepas PRU13..

    ReplyDelete