Tuesday, 6 March 2012

GURU BESAR JADI PENYAMBUT TETAMU?

Oleh : CHANG SHAK HUNG

KEPRIHATINAN pengetua, guru besar dan guru di sekolah telah melangkah ke satu era moden dan mengikut kesesuaian dan kehendak semasa. Tenaga pengajar bukan sahaja dalam mendidik pelajar, malah guru terpaksa melakukan kerja-kerja perkeranian serta pelbagai kerja-kerja sosial dan aktiviti ko-kurikulum serta berpersatuan di dalam sekolah mahupun di luar sekolah.

Surat siaran yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Haji Sufa’at Bin Tumin yang bertarikh 8 Februari 2012 berhubung dengan pelaksanaan Amalan Guru Penyayang, telah mengarahkan kesemua sekolah rendah dan sekolah menengah bagi memperkenalkan guru penyayang, yang membudayakan sikap kasih sayang di sekolah. Ini termasuklah perbuatan dan perlakuan menyayangi, mengasihi dan bersifat belas kasihan serta menghormati orang lain.

Objektif pelaksanaan Amalan Guru Penyayang antaranya termasuk menjiwai amalan penyayang sebagai budaya guru; menginsafi bahawa kehadiran murid merupakan rahmat kepada sekolah; menyedari bahawa setiap murid adalah aset kepada sekolah; dan menghargai sumbangan murid, ibu bapa, komuniti/ mesyarakat kepada sekolah.

Fasa Pertama pelaksanaannya adalah pada bulan Mac tahun ini di mana ia merangkumi tiga aktiviti iaitu mengalu-alukan kehadiran murid, memberi penghargaan kepada murid dan Program Mentor Mentee (pelaksanaan Program Mentor Mentee akan dilaksanakan pada bulan Mei).

Untuk aktiviti mengalu-alukan kehadiran murid, barisan kepimpinan sekolah serta sekumpulan guru akan mengalu-alukan pelajar di pagar sekolah semasa murid memulakan sesi persekolahan baru, datang dan pulang dari sekolah.

Ini termasuklah membuat sapaan seperti “Selamat pagi”, “Selamat Petang”, “Jemput masuk”, “Apa khabar hari ini?”, “Dah makan kah belum?”, “Selamat pulang”, “Jumpa lagi” dan “Jaga diri baik-baik” di samping memberi bimbingan dan tunjuk ajar secara berhemah seperti membetulkan tali leher pelajar.

Nampak macam pelik apabila guru diminta untuk melaksanakannya, ditambah lagi kena berdiri di pagar sekolah untuk menyambut murid.

Bukan itu sahaja, semua guru termasuk pentadbir sekolah perlu memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada murid dengan mengadakan aktiviti seperti hari lahir pelajar, Sambutan Hari Kanak-kanak serta perayaan-perayaan utama mengikut kaum seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya, Hari Natal dan Hari Deepavali di samping perayaan utama di Sabah dan Sarawak.

Kaedah yang digunakan adalah termasuklah pengumuman ucapan selamat melalui pembesar suara sekolah, menyanyikan lagu seperti lagu harijadi dan lagu perayaan utama seperti lagu Tahun Baru Cina dan Hari Raya serta menghantar kad ucapan kepada murid dan pelajar.

Pendekatan adalah berbeza pada zaman 20 tahun yang lalu apabila guru yang masuk ke kelas, pelajar semua akan berdiri dan memberi ucapan “Selamat pagi Cikgu”. Kini, guru pula yang perlu berucap kepada pelajar di pagar sekolah lagi.

Bagaimapun, kesemua ini adalah hasrat murni semua warga pendidik yang ingin melihat para pelajar supaya menjadi insan yang berguna dan dididik dengan sempurna memandangkan mereka inilah yang akan mengubah lanskap pentadbiran negara di samping menjadi pemimpin yang disegani dan dikagumi, dan yang paling penting, bebas dari gejala rasuah!

No comments:

Post a Comment