Oleh : ISMAILY BUNGSU
RIBUAN tanah dijadikan milik orang lain. Bumi menghijau, sawit tumbuh sepanjang jalan dan ini bumi milik Allah untuk kita, tetapi kita berputih mata melihat saujana bukan milik kita dan kita hanya duduk di pintu melihat lori mengangkut sawit dan sebelumnya tembaga.
Tanah beribu hektar bukan milik kita lagi dan untuk berumah saja susahnya bukan main; malah suatu waktu tanah untuk kita disemadikan akan sukar jadinya. Terpaksa dibeli berjuta harganya dan lalu bagaimanalah kita ini atau mati dibuang saja ke laut luas lepas?
Sepanjang Ranau, Sandakan, Lahad Datu, Tawau dan masuk ke Kalabakan hijaunya bumi bukan main dan saya kira hanya melihat dengan mata hati penuh lara, duka sukma tidak terdaya. Mahu kata apa kalau demikianlah mahunya penguasa yang penuh slogan, rakyat didahulukan atau poket sendiri diutamakan?
Sesudah tanah jadi mangsa dan anak pribumi dihalau seperti anjing kurap binatang jalang; maka terdengar berita lagi pulau-pulau bakal dijual dan kata yang berkenaan itu pulau hak peribadi dan bisa dijual; lalu rupanya kita ini menumpang di tanah bumi orang lain ditipu sekian bertahun.
Kasihanlah anak bangsa kita bakal sia-sia dan tidak hairan ini akan menjadi sejarah Temasik di riba orang, sedang Parameswara menangis dalam kuburan dan sekarang Akinabalu dan Hominudun sudah lama berlinang air mata sepanjang zaman kerana keadaan yang nyata di bumi yang cantik namanya, Sabah Di Bawah Bayu.
Pantai tidak semanis dulu dan Pantai Manis tentunya tahu duka celaka bakal diterima anak cucu kita. padah jadinya.
No comments:
Post a Comment