Oleh : PEWARIS ANAK BANGSA
PENGANALISIS politik
tempatan, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein menyelar pihak yang menganggap bahawa
manifesto bukanlah satu perjanjian dengan menekankan bahawa manifesto adalah
azam dan cita-cita di hati yang hendak direalisasikan dengan kesungguhan dan
tekad yang mendalam.
“Dalam politik manifesto
adalah janji politik yang akan ditunaikan dan sekiranya manifesto ini tidak
dilaksanakan maka bermakna mereka tidak menunaikan janji yang dibuat,” katanya
kepada UMNO-Online.
Beliau berkata demikian
dalam mengulas berkaitan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
yang memberikan jawapan ‘manifesto bukan satu perjanjian’ apabila diasak dengan
persoalan mengenai kegagalan kerajaan pimpinannya untuk menunaikan janji
bekalan air kegunaan domestik percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan
kepada semua rakyat di negeri tersebut.
“Jika manifesto bukan janji
jadi apakah manifesto itu sedangkan ia sebenarnya adalah sesuatu yang lebih
baik, lebih tulus, lebih murni dan lebih dalam maknanya daripada janji itu
sendiri.
“Dalam politik, manifesto
ini adalah janji-janji yang akan dilaksanakan kalau tidak ada halangan dan mesti
dimanifestasikan sebagaimana dilafazkan kepada rakyat.”
Jelasnya yang juga pensyarah
di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), inilah
natijahnya apabila terlalu banyak berjanji sehinggakan menawarkan sesuatu yang
tidak logik dan di luar dari kemampuan mereka sendiri.
“Pakatan pembangkang terlalu
bercita-cita tinggi sehinggakan mengutarakan janji-janji yang keterlaluan dan
apabila mereka berkerajaan maka tentulah rakyat akan menagih apa yang telah
dinyatakan, malangnya ia gagal dilaksanakan sehingga mengatakan bahawa
manifesto bukan janji.
“Jika secara terang mereka
menolak janji-janji dalam manifesto yang dinyatakan maka bagaimana pula
realitinya untuk Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang kerana dikatakan ia
akan lebih ‘teruk’ memandangkan pakatan pembangkang akan menggunakan apa saja
cara termasuklah antaranya menjanjikan sesuatu yang mustahil,” ujarnya.
Katanya, sepanjang PRU
dilaksanakan, BN telah terserlah sentiasa menepati dan melaksanakan setiap
manifesto yang dipaparkan biarpun ada beberapa agenda yang lambat dilaksanakan
tetapi akhirnya ia direalitikan untuk rakyat.
“Hasil pengkajian saya ke
atas 12 kali PRU yang berlangsung, dilihat bahawa 11 PRU yang awal tidak pernah
menyatakan secara detail dan terperinci berkaitan apa yang mahu dilakukan
khususnya oleh BN tetapi pada PRU ke-12, ia dilihat lebih fokus dan mendalam
misalnya perincian dalam ekonomi, pendidikan dan sosial.
“Namun demikian, manifesto
pakatan pembangkang bukanlah bersifat realiti sebaliknya cuba menandingi dengan
menokok tambah apa yang dilakukan oleh BN tanpa mengambil kira terhadap
persekitaran dan suasana semasa yang turut memberi faktor.
“Isu air adalah antara
janji-janji yang tidak dilunaskan termasuklah kononnya mahu menurunkan harga
minyak sedangkan ia bukan ditentukan oleh kerajaan sebaliknya ia mengikut harga
pasaran di peringkat antarabangsa.”
Tambah beliau lagi, pakatan
pembangkang akan menggunakan apa jua taktik untuk menumbangkan BN sebagai
kerajaan sehinggakan tidak ada lagi pertimbangan-pertimbangan atas kewarasan
akal fikiran digunakan.
“Pakatan pembangkang sanggup
membuat pelbagai janji biarpun dalam masa yang sama ia membelakangkan
kepentingan agama dan bangsa yang terkandung dalam Perlembagaan atau
mengecilkan hati masyarakat tetapi atas nama kuasa ianya dikesampingkan.”
Beliau turut menyorot
bagaimana Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein yang berjanji mahu membina
jambatan Pulau Pinang sekiranya BN mendapat mandat pada tahun 1974 tetapi ia
tidak sempat ditunaikan ekoran kematiannya.
“Janji tersebut juga masih
tidak dapat diteruskan ketika zaman pentadbiran Tun Husseion Onn lantaran
kemelesetan ekonomi dunia yang berlaku ketika itu sehingga akhirnya Tun Dr.
Mahathir merealisasikan apa yang dijanjikan, biarpun lambat BN telah terbukti
tetap menunaikan janji,” tegasnya.
Ujar beliau lagi, malangnya
pakatan pembangkang gagal mensyukuri apa yang ada biarpun mereka merasai nikmat
dan kesejahteraan pentadbiran hasil daripada manifesto yang dibuat oleh BN.
“Di persada antarabangsa
Malaysia telah diiktiraf hasil daripada kerajaan yang mantap dan cekap
sehinggakan kedudukan ekonomi dunia berada di kedudukan terbaik dan berkembang
sehingga 5.4 peratus dikala negara-negara lain merasai keperitannya.
“Barangkali ada baiknya jika
pakatan pembangkang melakukan lawatan ke negara-negara mundur atau jika tidak
pun cukuplah jika ke Pakistan atau Bangladesh saja agar mereka tahu apa makna
aman dan sejahtera yang sebenar.” (MediaUMNO)
No comments:
Post a Comment