Oleh: USTAZ AHMAD FADHLI
SAARI
JIKA diikutkan kepada bentuk
fizikal, Jae-Sang Park atau nama timangannya Psy, bukannya seorang yang kacak.
Bentuk badannya yang agak gempal berbeza dengan syarat ketampanan aktor Korea
iaitu kurus dan kacak. Bahkan jika dilihat sekali imbas kepada Psy, barangkali
tiada yang boleh menarik perhatian ramai. Namun, sebuah video klip yang dimuat
naik ke laman You Tube pada 15 Julai 2012 lalu telah merubah keseluruhan hidup
Psy.
Itulah fenomena Gangnam
Style. Bukanlah niat saya untuk mempromosi tarian yang menjadi kegilaan
anak-anak muda sekarang ini, tetapi sekadar mengambil satu pengajaran,
nampaknya ada perkara yang boleh dikongsikan.
Saya terbaca kata-kata Psy,
“Selama 12 tahun saya berkecimpung dalam arena muzik Korea dan membuat pelbagai
tarian ‘bodoh’, namun peminat tidak sekalipun berpaling kepada saya kerana
secara visual, saya memang kalah dengan selebriti kacak lain yang ada. Saya
cuma dikenali di sana kerana saya tidak terlalu mencuba, tidak dipromosikan
malah tidak pernah terfikir pun hendak tembus ke luar negara. Semua yang
berlaku sekarang pun hanya gara-gara YouTube mahupun twitter dan inilah dia
pembuka periuk nasi sebenar saya…”
Hari ini, 5 September 2012,
klip video Gangnam Style telah ditonton lebih 102 juta umat manusia di seluruh
dunia. Kelihatan sepintas lalu, tarian ini tidak lain hanyalah aksi menunggang
kuda yang dipamerkan melalui gerak kaki yang pelik, tetapi gabungan warna yang
menceriakan persembahan barangkali menarik minat golongan kanak-kanak
sehinggalah dewasa.
Inilah bukti bagaimana You
Tube telah menjadi sebahagian hidup manusia moden pada hari ini. Sebelum Psy,
kita telah mendengar bagaimana kemunculan Justin Beaber yang juga popular
melalui You Tube. Begitu juga beberapa nama di Malaysia seperti Najwa Latiff
serta populariti seumpama Cikgu Shida dan Mat Luthfi juga mencipta nama melalui
You Tube.
Tidak ketinggalan pada
asatizah seperti Ustaz Azhar Idrus yang mulanya dikenali sebagai Ustaz Youtube
yang rakaman kuliahnya dipotong pendek-pendek mengikut persoalan-persoalan yang
diajukan di dalam kuliahnya. Ia agak menarik dan akhirnya mencetuskan fenomena.
Lebih menarik, fenomena
Ustaz Azhar Idrus telah memikat bukan sahaja orang yang biasa berminat dengan
kuliah agama, bahkan anak-anak muda yang kebiasaannya sukar untuk diajak ke
masjid. Ustaz Azhar Idrus mampu melakukannya.
Dalam konteks parti politik,
bagaimana mencetuskan fenomena melalui You Tube? Sekurang-kurangnya menjelang
pilihanraya umum 13 ini, biar satu fenomena hebat terjadi. Adakah perlu belajar
daripada Gangnam Style?
Sila Klik PSY - GANGNAMSTYLE
No comments:
Post a Comment