Tuesday 25 September 2012

JADUAL KETAT MENANTI ANIFAH DI NEW YORK




Oleh : MANIK MEHTA

NEW YORK : Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, yang kini berada di sini untuk menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa Bersatu ke-67, mempunyai jadual ketat sepanjang minggu ini, termasuk menghadiri mesyuarat dua hala dan pelbagai hala peringkat tinggi, mulai Isnin.

Perhimpunan agung kali ini akan berbincang tentang Kedaulatan Undang-undang pada 24 Sept. Malaysia berpendirian bahawa semua pihak tertakluk kepada Kedaulatan Undang-undang.

"Kita memerlukan Kedaulatan Undang-undang yang terpakai secara universal," kata wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Hussein Haniff dalam temu bual dengan Bernama di pejabatnya.

Beliau berkata Malaysia melihat PBB sebagai platform penting untuk mempamerkan komitmen teguhnya serta memperkukuh kerjasamanya dalam menangani pelbagai perkara ke arah meningkatkan usaha memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Anifah dijadual berucap pada perhimpunan agung ini dan menegaskan pendirian Malaysia tentang beberapa isu, walaupun perbahasan pada tahun ini tertumpu pada usaha membuat pelarasan atau menyelesaikan sengketa atau keadaan antarabangsa secara aman.

Hussein berkata Anifah akan menghadiri mesyuarat peringkat tinggi tentang Kedaulatan Undang-undang pada Isnin, mesyuarat peringkat tinggi tentang pemupukan keamanan - mencari langkah ke arah mewujudkan keamanan dan keselamatan lestari pada Selasa dan mesyuarat peringkat tinggi mengenai usaha memerangi keganasan nuklear pada Jumaat.

Sementara itu, menjelang berlangsungnya mesyuarat peringkat tinggi perhimpunan agung ini, Setiasuaha Agung PBB Ban Ki-moon menggesa negara anggota badan dunia itu supaya mengukuhkan kedaulatan undang-undang.

Pada 21 Sept, beliau menyeru negara anggota PBB supaya menandatangani, mengesahkan atau menerima pelbagai perjanjian antarabangsa untuk memperkukuh kedaulatan undang-undang di seluruh dunia.

Selain menghadiri perhimpunan agung PBB, Anifah juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari pelbagai negara.






Sehingga Jumaat, pejabat perwakilan Malaysia di sini menerima 24 permohonan untuk mengadakan mesyuarat dua hala, walaupun menteri luar hanya mampu mengadakan 10 hingga 12 mesyuarat.

Namun demikian, sudah menjadi kebiasaan bagi orang kenamaan mengadakan perjumpaan secara di luar jadual dengan rakan sejawatan mereka dari negara lain, yang mereka "temui secara tidak sengaja" pada majlis atau perhimpunan PBB atau yang mempunyai kaitan dengan badan dunia itu.

Rio+20 adalah satu lagi perkara yang menarik minat Malaysia dalam usahanya mencari pendekatan rapi terhadap isu berkenaan.

Bagaimanapun, isu yang paling dekat di hati rakyat Malaysia ialah prospek bagi negara mereka menduduki kerusi tidak tetap bagi 2015 dan 2016 dalam Majlis Keselamatan PBB. Pemilihan anggota tidak tetap majlis itu akan diadakan pada 2014 dan setakat ini, Malaysia mendapat "sokongan kuat" daripada pelbagai negara dan kumpulan, termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Hussein berkata konsep Suara Kesederhanaan yang dianjurkan Malaysia juga mendapat sokongan banyak negara, terutama berikutan perkembangan dan perubahan yang berlaku di pelbagai negara dan bahagian dunia kebelakangan ini.

Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) menerima pakai konsep ini pada mesyuarat lepasnya di Bali.

Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel, OIC dan sebagainya juga menyokong konsep itu. Anifah dijangka menyentuh perkara ini ketika berucap di PBB.

"Suara Kesederhanaan bukan berkisar tentang agama...ia merangkumi pelbagai isu...sebagai contoh, Malaysia boleh membantu membina jambatan ke arah kesederhanaan," kata Hussein.

Sementara itu, para menteri luar Asean juga akan berada di New York sempena Perhimpunan Agung PBB. Para menteri ini dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan mereka dari Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan kumpulan serantau lain, di samping mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon.

Anifah juga dijangka mengadakan perjumpaan dengan masyarakat Malaysia - satu tradisi sempena kunjungan seseorang menteri luar - untuk berinteraksi dengan rakyat Malaysia dan mendapatkan maklum balas tentang masalah dan keperluan mereka.

Di samping itu, sempena kedatangan bekas perdana menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad ke New York untuk menerima Anugerah Peringatan Rafik Hariri PBB-Habitat 2012 pada 28 Sept, usaha sedang dijalankan untuk menganjurkan satu pertemuan antara masyarakat Malaysia bersama Dr Mahathir dan Anifah. (Bernama)

No comments:

Post a Comment