SANDAKAN: Perdana Menteri,
Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, berkata beliau sangat teruja dengan sambutan
luar biasa yang di- berikan masyarakat majmuk ketika kunjungannya ke daerah
Sandakan pada Ahad lepas.
Presiden Umno yang datang
bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansur sempena dua acara iaitu perasmian
Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Libaran, Sandakan, Kinabatangan, Beluran
dan Batu Sapi secara serentak dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri yang telah
berlangsung meriah di Dewan Serbaguna Sri Libaran.
Menurut pemimpin nombor satu
negara itu, sambutan yang sungguh memberangsangkan ini membuktikan bahawa
kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin mendapat tempat di hati rakyat walau apa
jua dakyah berbentuk hasutan cuba dilemparkan kumpulan pembangkang.
Malahan, katanya, keyakinan
rakyat terhadap BN khususnya di negeri ini adalah atas faktor keikhlasan dan
kesungguhan pemimpinnya diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman
yang menunjukkan mutu perkhidmatan terbaik demi kepentingan semua kaum.
Dalam ucapannya pada majlis
tersebut, Najib mengingatkan ahli-ahli kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu atau Umno supaya memberikan sokongan yang lebih baik dan padu kepada
parti selama ini memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara.
Beliau berkata, perjuangan
parti terbukti berkesan apabila ia mengambil kira kepentingan semua pihak
daripada menyentuh soal kesukuan kerana apa yang lebih penting matlamat asalnya
adalah untuk menyatupadukan masyarakat majmuk di negara ini.
Katanya, Umno tidak mengira
sesiapa asalkan mereka adalah ahli parti maka tiada masalah bagi kepimpinan
parti memilih sebagai seorang pemimpin.
Tambahnya, prinsip
perjuangan parti itu sebenarnya berasas kepada matlamat dan penubuhan Umno yang
lahir atas dasar dan nilai-nilai perjuangan yang suci.
“Kita perlu tahu hakikat ini
kerana Umno bukanlah parti yang lahir di tepi jalan atau ditubuhkan ketika
dalam rusuhan sebaliknya Umno diwujudkan berpaksikan keikhlasan pemimpinnya
yang berjuang atas niat suci selain mahu memerdekakan negara dari belenggu
penjajahan suatu ketika dahulu,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu,
beliau mahu setiap ahli Umno menghayati perjuangan parti serta tidak
mempersoalkan kesukuan kerana ia hanya membawa masalah khususnya kepada orang
Melayu dan Umno.
Menurut beliau, Umno sebagai
sebuah parti keramat sehingga ke hari ini berjaya menyatupadukan semua bangsa
Malaysia kerana perjuangannya yang benar-benar ikhlas sekali gus tidak pernah
menafikan sesiapa pun.
Dalam Umno, Najib berkata
bahawa parti sentiasa menitikberatkan ahli-ahlinya dapat bersatu padu dan
bekerjasama dalam apa jua perkara demi kelangsungan kekuatan parti yang menjadi
tonggak kepada kerajaan BN.
Katanya, sikap perjuangan
yang dilihat mampu menjejaskan perpaduan sesama sendiri hendaklah diketepikan
sebaliknya bersatu atas satu perjuangan demi membela nasib bangsa, agama dan
negara.
Beliau menegaskan parti
tidak akan memberi peluang kepada mana-mana pemimpin yang hanya tahu
mementingkan diri sendiri sehingga lupa tanggungjawab terhadap parti.
“Parti tidak mahu pemimpin
yang hanya tahu memikirkan soal kepentingan diri, kalau ada boleh tinggalkan
Umno,” tegasnya.
Presiden Umno mengajak ahli-ahli
Umno di negeri ini bersatu padu di bawah lambang panji keramat Umno untuk
memastikan parti terus bertambah kukuh terutamanya di peringkat akar umbi.
Selain daripada itu, beliau
berkata, nilai perjuangan yang ikhlas perlu ada dalam diri setiap ahli kerana
dalam sejarah perjuangan, keikhlasan menentukan halatuju dan kejayaan sesebuah
parti.
Ini katanya, sehingga ke
hari ini Umno berjaya dalam segenap aspek kerana ia bukan sahaja mengambil kira
soal keikhlasan dalam perjuangan tetapi juga menitikberatkan perpaduan di
kalangan rakan-rakan komponen BN.
“Kita kena ikhlas berjuang
dan kejayaan parti ini adalah atas faktor nilai-nilai perjuangan yang suci
semenjak Umno lahir kira-kira 66 tahun yang lalu sehingga kita berjaya mewujudkan
suasana hidup harmoni sampai hari ini,” jelasnya.
Perdana Menteri seterusnya
meminta rakyat memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada demi kesinambangun
pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan.
Katanya, negeri ini akan
bertambah maju setapak seiring dengan kemajuan negeri-negeri lain sekiranya
rakyat terus memberikan mandat kepada kerajaan BN menjelang Pilihan Raya Umum
(PRU) Ke-13.
Hadir sama ialah isteri
kepada Ketua Menteri, Datin Seri Hajah Faridah Tussin; Timbalan Ketua Menteri
merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Yahya Hussin;
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur, Tan Sri
Pairin Kitingan; Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Masidi Manjun;
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Peter Pang En Yin; Menteri di Jabatan Ketua
Menteri, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran serta Menteri Pembangunan Masyarakat dan
Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Hajah Azizah Mohd Dun.
Yang lain Ketua Umno
Sandakan, Tan Sri Hj Ampong Puyon; Ketua Umno Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar
Radin; Ketua Umno Beluran, Datuk James Ratib dan Ketua Umno Batu Sapi, Datuk
Samsudin Yahya. (NST)
No comments:
Post a Comment