KUANTAN : Tindakan tegas
akan diambil terhadap mana-mana pemimpin atau anggota Umno yang cuba mensabotaj
parti dengan membocorkan maklumat mengenai calon serta jentera parti menjelang
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kepada parti pembangkang.
Naib Presiden Umno Datuk
Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kali ini Umno tidak akan berkompromi dengan
golongan berkenaan dan jika mereka didapati bersalah, Jawatankuasa Disiplin
akan mengambil tindakan terhadap pihak yang bersekongkol dengan pembangkang.
"Sebelum ini, tindakan
telah diambil selepas PRU-12 lalu dan kali ini Jawatankuasa Disiplin akan
melakukan kaedah sama tetapi sebelum pilihan raya umum diadakan.
"Sudah tentunya amaran
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno dan Pengerusi
Barisan Nasional (BN) ialah mengingatkan supaya tidak ada mana-mana individu
menjual maklumat atau membocorkan rahsia dan bersekongkol dengan mereka
(pembangkang), dan jika ia dilakukan, mereka harus membayar dengan harga yang
mahal," katanya.
Beliau berkata demikian
kepada pemberita selepas lawatan bersama pengamal media ke Pangkalan Tentera
Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan di sini hari ini.
Mengenai persiapan menjelang
pilihan raya, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau bersama
dua lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein turut membantu Perdana Menteri dalam memberikan input mengenai
calon yang akan bertanding.
"Kami juga diminta
membantu meneliti calon di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)
dengan memberi maklumat mengenai mereka kepada Perdana Menteri.
"Bagaimanapun hak
mutlak siapakah calon yang layak bertanding ditentukan oleh Perdana Menteri
sendiri," katanya sambil menyeru semua pemimpin dan anggota Umno serta
parti komponen BN supaya akur dengan keputusan yang ditentukan nanti. (Bernama)
No comments:
Post a Comment