Kelolaan : USTAZ AHMAD ADNAN
FADZIL
SOALAN: Assalamualaikum..saya
ingin bertanya, apakah hukum seorang lelaki dan perempuan yang bukan muhrim
bersentuhan dan bercumbuan pada pertama kali tanpa melakukan zina? Adakah dosa
keterlanjuran ini sangat berat walaupun tidak berlaku zina? Apakah Allah akan
mengampunkan dosanya sekiranya mereka ini telah insaf dan tidak mengulangi perbuatan
ini untuk kali kedua? Saya kurang jelas tentang hal ini.
Jawapan: Perbuatan tersebut
sekalipun belum berzina tetapi ia telah membabitkan pelbagai dosa dan kesalahan
yang ditegah Syariat, iaitu:
Ia menghampiri zina. Firman
Allah (bermaksud); “Dan janganlah kamu menghampiri zina” (Surah Al-Isra’, ayat
32). Berkata Imam Ibnu Kathir; “Dengan ayat ini Allah menegah hamba-hambaNya
dari zina, dari menghampirinya dan dari terlibat dengan segala sebab dan
pendorong kepada zina.” (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir).
Berdua-dua antara lelaki dan
wanita bukan mahram. Sabda Nabi; “Tidak bersunyian (berdua-duaan) seorang
lelaki dan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi yang ketiga antara
mereka.” (Sunan at-Tirmizi).
Menyentuh bukan mahram.
Sabda Nabi; “Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum dari besi,
itu lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal
untuknya.” (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi. Berkata al-Haithami; para
perawi hadis ini adalah perawi hadis soheh.
Berkata al-Munziri; para
perawinya adalah tsiqah Lihat; Faidhal-Qadier, hadis no. 7216). Jika menyentuh
sudah begitu hebat ancamannya, bagaimana dengan saling bersentuhan dan
bercumbuan.
Membuka aurat kepada bukan
mahram. Firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah mereka (perempuan-perempuan
beriman) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali kepada suami mereka,
bapa mereka, bapa mertua mereka, anak-anak lelaki mereka…” (Surah an-Nur, ayat
31).
Di dalam hadis, Rasulullah
bersabda kepada orang lelaki; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu
atau hamba perempuan yang kamu miliki” (HR Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah,
an-Nasai dan at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan. Lihat hadis
ini dalam al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 264)
Tidak menjaga pandangan
mata. Firman Allah; “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki
beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)
dan memelihara kemaluan mereka…. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang
beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan
memelihara kemaluan mereka” (Surah an-Nur, ayat 30-31).
Melepaskan nafsu seks
mengikut jalan yang haram. Di dalam al-Quran Allah menyebutkan di antara sifat
orang beriman ialah; “Mereka yang menjaga kemaluan mereka, kecuali kepada
isteri mereka atau hamba sahaya mereka, maka sesungguhnya mereka tidaklah
tercela.
Maka sesiapa yang mengingini
selain dari yang demikian itu, maka mereka adalah orang-orang yang melampaui
batas” (Surah al-Mukminun, ayat 5-7). Perhatikan Allah menegaskan “sesiapa mengingini
selain dari yang demikian itu” (yakni mencari jalan untuk melepaskan nafsu
selain kepada isteri dan hamba sahaya) mereka adalah orang yang melampau batas.
Dengan ayat ini Imam
as-Syafiie menegaskan; Haram mengeluarkan mani dengan tangan (yakni melakukan
onani) kerana ia termasuk melepaskan nafsu bukan kepada isteri atau hamba
sahaya (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir). Jika melepaskan nafsu secara sendirian
sudah dianggap haram, apatahlagi jika membabitkan pasangan yang bukan mahram,
maka lebih-lebih lagilah haram.
Orang yang melakukan
perbuatan sedemikian wajiblah ia segera bertaubat kepada Allah. Pintu taubat
sentiasa dibuka oleh Allah dengan syarat ia benar-benar bertaubat nasuha iaitu
dengan melaksanakan rukun-rukun taubat berikut;
Meninggalkan maksiat
tersebut sepenuhnya.
Menyesali ketelanjuran lalu
dengan sesungguh hati.
Bertekad tidak akan
mengulangi lagi.
Sebagai bukti kejujuran
taubatnya, ia hendaklah mengubah hidupnya dari suasana maksiat kepada suasana
taat (menjaga ibadah terutamanya solat, menjauhi pergaulan luar batasan antara
lelaki dan wanita, bergaul dengan orang-orang soleh, mendampingi masjid dan
majlis ilmu, menanamkan rasa takut kepada Allah dan balasan di akhirat).
Hanya dengan berada dalam
suasana ketaatan sahaja kita dapat memelihara diri dari terjerumus ke dalam
maksiat. Di dalam hadis, Rasulullah bersabda; “Seseorang manusia itu berada di
atas agama teman rapatnya. Maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan
siapa ia berteman” (HR Imam at-Tirmizi dan Abu Daud dari Abu Hurairah. Menurut
as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4516) Wallahu
a’lam.
No comments:
Post a Comment