Oleh : AHMAD FADLI KC
EKSKLUSIF! Sekumpulan
ibu-bapa etnik Penan sanggup tinggal dalam reban ayam terbengkalai bagi
membolehkan anak-anak mereka bersekolah. Keadaan menyayat hati itu berlaku
apabila tiada sekolah rendah atau menengah didirikan berdekatan rumah panjang
di kawasan pedalaman gunung-ganang di Murum, Belaga.
Ia memaksa Labang Paneh, 35,
berulang-alik ke Sungai Asap yang terletak sejauh dua jam setengah perjalanan
untuk menyekolahkan anak-anaknya.
Perjalanan pergi balik
hampir lima jam memaksa Labang mengubah gaya hidupnya daripada memburu haiwan
hutan di Murum untuk makanan kepada membuat kerja rencam di Sungai Asap untuk
menjana pendapatan.
Setiap hari apabila habis
bekerja beliau akan menunggu lima anaknya di reban itu sehingga mereka selesai
sesi persekolahan di SK Batu Keling dan SMK Bakun.
Kesungguhan beliau dan
beberapa orang lagi ibu-bapa Penan akhirnya membuka hati pemilik reban untuk
terus membenarkan mereka menetap di situ.
Menurut jurupandu yang
menemani pasukan wartawan Malaysiakini, pemilik reban itu dipercayai adalah
bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Belaga, Datuk Tajang Laing.
"Bila SMK Bakun
(dibina) kita minta tumpang sinilah walaupun sini reban ayam. Memang susah,
jika biar anak kita sendiri sini memang tidak selesai juga.
"Kalau ibu bapa tidak
di sini mereka tidak di sini," kata Paneh sambil menambah bahawa
anak-anaknya kini hanya perlu berjalan kaki sejauh satu kilometer untuk ke
sekolah.
Sehingga kini, rumah panjang
itu hanya diubahsuai dengan sekatan papan lapis nipis untuk membezakan 22 pintu
rumah dan memuatkan 106 orang.
Paling menyedihkan, lantai
rumah itu diperbuat daripada kayu-kayu sebesar dua batang jari dan papan lapis
yang memisahkan pintu rumah juga berlubang-lubang.
"Ini reban ayam tapi
kami tidak peduli apa-apa. Sepatutnya kami berterima kasih kepada Tuhan kerana
memberi tempat tinggal seperti ini," katanya sambil menambah mereka mula
menetap di situ bermula 6 Januari 2006.
Guru gereja sediakan
pendidikan percuma
Sehari sebelumnya, wartawan
Malaysiakini berkesempatan melihat kanak-kanak rumah panjang Long Jaik belajar
membaca dibimbing guru-guru sukarelawan dari gereja.
Guru-guru berkenaan seramai
empat orang wanita datang sejauh dari pekan Sibu dan menghabiskan dua jam masa
perjalanan untuk sampai ke rumah panjang itu.
Kelas yang berlangsung
selama empat jam sehingga pukul 12 tengahari dibuat di ruang bersama rumah panjang.
Ia dimulakan dengan nyanyian
lagu-lagu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan berjaya menarik kira-kira
seramai 15 orang kanak-kanak dari rumah panjang sebanyak 50 buah pintu.
Menariknya, ibu-bapa
kanak-kanak berkenaan yang menemani anak-anak mereka turut kelihatan
'curi-curi' belajar dari bahagian belakang kelas sewaktu sesi berlangsung.
Menurut Laporan Penilaian
Impak Sosial dan Persekitaran Projek Empangan Hidroelektrik, pada tahun 2009
hanya dua peratus daripada populasi Penan belajar di sekolah.
Jumlah itu adalah 33
daripada lebih 1500 orang etnik Penan. Ia terdiri daripada penduduk rumah
panjang Long Wat yang berpindah ke Sungai Asap untuk meyekolahkan anak-anak
mereka.
Jarak ke sekolah, kos
pengangkutan dan kekurangan sokongan menidakkan 593 kanak-kanak Penan mendapat
pendidikan sempurna, kata laporan itu.
No comments:
Post a Comment