Thursday, 18 October 2012

UNDURLAH SEBELUM DISINGKIRKAN RAKYAT





Saudara Pengarang,

ZAMAN order lama telah berlalu, sekarang ini adalah zaman orang muda yang bersemangat  serta berfikiran liberal. Ini adalah zaman order baru. Kita percaya pada PRU 13 nanti, kedua-dua belah pihak, sama ada BN atau PR, akan mengetengahkan ramai orang baru untuk menjadi calon parti masing-masing.

Akan tetapi Datuk Joseph Pairin Kitingan, Presiden PBS, serta Adun dan MP paling lama, yang masih bertahan hingga hari ini di Malaysia, telah mengisytiharkan PRU 13 ini adalah yang terakhir untuknya bertanding.

Pengumuman Pairin itu telah mengundang nasihat dari AMANAH Keningau, agar Pairin memberi peluang kepada orang muda dalam parti PBS untuk mengantikan beliau, tanpa perlu bertanding pada PRU-13.

Saranan AMANAH Keningau itu sememangnya mempunyai alasan yang baik dan demi menjaga maruah Huguan Siou Kadazandusun itu daripada dibungkus di tangan rakyat kali ini.

Andainya Pairin ditewaskan dalam PRU 13 ini, maka adalah sesuatu yang malang dan memalukan untuk seseorang yang bergelar Huguan Siou itu kerana dalam Sejarah Sabah, belum ada 'Paramount Leader' yang pernah ditewaskan di tangan rakyat.

Huguan Siou pertama, Tun Mohd Fuad Stephen terkorban di dalam nahas kapal terbang dalam peristiwa 'DOUBLE  SIX' semasa masih menjadi Ketua Menteri Sabah.

Pairin adalah Huguan Siou kedua dan merupakan Ahli Parlimen paling lama, iaitu lebih 30 tahun. Maka saranan AMANAH itu sememangnya tepat dan wajar didengar oleh Pairin dan PBS; demi menjaga nama baik Pairin agar tidak mengalami nasib malang seperti Mantan Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu; Presiden Gerakan, Datuk Seri Koh Tsu Koon; dan pemimpin komponen BN seperti Datuk Kayveas  dan Datuk George Chan.

Sewajarnya Presiden PBS itu mencontohi Tun Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tan Sri Chong Kah Kiat  yang rela bersara awal semasa masih di puncak  kegemilangan daripada ditewaskan di tangan rakyat.

Dengan angin perubahan yang bertiup sebegitu kencang itu di bumi Sabah, persoalan kita di sini adakah mampu lagi Presiden PBS itu bertahan di Dun Tambunan itu dan Parlimen Keningau?

Dalam sejarah politik Sabah, rakyat menjadi hakim dalam pilihanraya; telah terbukti kerana Kerajaan Negeri telah empat kali bertukar tangan dan parti yang tumpas tidak akan bangkit lagi.

Salam Hormat,

MOHD DANIAL ADULLAH

No comments:

Post a Comment