PERDANA Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak, kelmarin berjanji untuk memberi dua hadiah besar kepada rakyat
Pulau Pinang iaitu pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik dan perkhidmatan
monorel jika Barisan Nasional (BN)
diberi mandat semula untuk memerintah negeri itu.
Katanya, 10,000 unit rumah
mampu milik itu akan dibina dalam masa terdekat di bawah program Perumahan
Rakyat 1Malaysia (PR1MA); manakala baki 10,000 unit akan dibina oleh
agensi-agensi kerajaan termasuk JKP Sdn Bhd, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau
Pinang (Perda) dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB).
"Rumah-rumah itu akan
dijual di bawah harga pasaran untuk rakyat Pulau Pinang, contohnya jika rumah
itu harga pasarannya RM500,000 kita jual dengan harga RM300,000 sahaja,"
katanya ketika berucap melancarkan Program Jelajah Janji Ditepati di Universiti
Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang.
Lebih 20,000 orang termasuk
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Tan Sri Nor
Mohamed Yakcop dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen menghadiri
majlis itu.
Najib berkata pakatan pembangkang
yang mengambil alih pemerintahan di Pulau Pinang gagal menyelesaikan masalah
rakyat malah tidak membina rumah mampu milik dan rumah kos rendah di negeri
ini.
"Sebagai contohnya isu
Kampung Buah Pala, semua pemimpin pembangkang meletak tangan di atas kepala
seorang penduduk dan berjanji kononnya dalam masa dua minggu mereka akan
menyelesaikan masalah. Tetapi mereka gagal dan akhirnya kerajaan BN juga
menyelesaikan masalah baki 26 penduduk di kampung itu," katanya.
Beliau berkata permohonan untuk
PR1MA boleh dibuat melalui online yang dibuka hari ini dan cabutan (undian
mendapatkan rumah) akan dibuat secara telus.
Najib berkata satu lagi
janji yang akan ditunaikan ialah pembinaan perkhidmatan monorel sebagai langkah
mengatasi kesesakan lalulintas yang semakin serius.
"Kita tahu rakyat Pulau
Pinang dihantui dengan kesesakan lalulintas. Jadi, jika BN menang kita tengok
macam mana nak selesai masalah ini dan akan membina sistem monorel sama seperti
perkhidmatan LRT (transit aliran ringan) yang ada di Kuala Lumpur,"
katanya.
Beliau berkata rakyat Pulau
Pinang layak untuk menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih baik lagi dan
perkara ini akan menjadi kenyataan jika mereka memberi kepercayaan kepada BN.
Perdana menteri itu juga
berkata BN tidak akan membiarkan orang Melayu di negeri ini terpinggir dan
dalam masa yang sama akan terus membela kaum Cina dan India.
Beliau berkata setiap satu
undi untuk BN adalah undi untuk kestabilan dan kemajuan manakala satu undi
untuk PAS adalah untuk perpecahan, satu undi untuk PKR adalah untuk mencapai
perjuangan peribadi seseorang dan satu undi untuk DAP adalah undi untuk masa
depan yang tidak menentu.
Najib juga berkata label BN
'Janji Ditepati' adalah bagi menggambarkan dan meyakinkan rakyat bahawa parti
itu sebuah parti yang boleh diberi kepercayaan dan amanah serta apa sahaja yang
dijanjikan kepada rakyat akan ditunaikan.
"Kalau kita sudah buat
satu janji kita anggap janji itu satu ikatan. Dengan satu ikatan itu rakyat
akan tetapkan kepercayaan dan amanah kepada kita. Kerajaan Barisan Naasional
walau apa-apa pun kita janji, kita akan tunaikan dan tepati," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment