Saturday, 8 December 2012

JANGAN PERTARUHKAN MASA DEPAN USIA






Oleh : MOHD FIRDAUS MOHD NOOR

DEWAN Pemuda PAS Negeri Sabah dengan ini merasa terpanggil untuk menyuarakan kebimbangan rakyat negeri ini terutamanya di kalangan mereka yang beragama Islam yang semakin gusar melihat beberapa isu yang menyelubungi sebuah pertubuhan yang cukup dihormati oleh umat Islam di negeri ini.

Harapan Pemuda PAS adalah supaya pihak Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (AMT USIA) tampil membuat penjelasan tentang perkara-perkara yang akan dibangkitkan ini bagi meredakan kebimbangan rakyat.

USIA yang merupakan sebuah badan agama Islam ditubuhkan sejak tahun 1969 itu sering diimpikan kebanyakan ahli-ahlinya supaya menjadi pelindung untuk memayungi umat Islam di Sabah.

Pihak Pemuda PAS Sabah pada asasnya merasa bimbang berhubung tentang isu Ibu Pejabat USIA yang kini berada berdekatan Hypermall 1Borneo terutama berkaitan soal keselamatan.

Pembangunan Hypermall 1Borneo yang dimajukan secara usahasama di antara Warisan Harta Sabah Sdn. Bhd dan Sagajuta (Sabah) Sdn. Bhd., dengan seluas 4.8 juta kaki persegi merupakan yang terbesar di Sabah yang dibina di atas tanah milik USIA seluas 23.3 ekar di Lebuhraya Sulaman, bersebelahan dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Tinjauan singkat Pemuda PAS Sabah mendapati bahawa stesen penjana kuasa elektrik bagi kegunaan 1Borneo telah ditempatkan di dalam bangunan yang sama dengan Ibu Pejabat USIA. Pemuda PAS Sabah difahamkan bahawa, bangunan tersebut adalah milik USIA sepenuhnya, maka adalah menimbulkan persoalan; adakah tindakan penempatan stesen penjana kuasa elektrik tersebut telah mendapat persetujuan AMT USIA atau tidak?

Pemuda PAS Sabah juga merasa bimbang; adakah dengan kedudukan stesen tersebut tidak akan menimbul sebarang implikasi keselamatan dan kesihatan terhadap kakitangan USIA yang setiap hari berkemungkinan mendapat mudarat daripada perkara tersebut?

Adakah para AMT USIA turut diletakkan dalam risiko yang sama kerana mereka kerap berurusan di bangunan tersebut sedangkan mereka itu terdiri daripada tokoh-tokoh penting masyarakat?

Justeru itu, timbul persoalan adakah penempatan stesen penjana kuasa elektrik tersebut telah ditapis perihal keselamatannya oleh pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan kesihatan dan keselamatan?

Persoalan-persoalan lain juga turut dibangkitkan oleh rakyat berkaitan isu ini adalah:

1. Adakah struktur bangunan tersebut mampu menanggung impak haba yang dihasilkan oleh stesen penjana elektrik tersebut?

2. Adakah ada satu pelan atau langkah keselamatan yang kukuh telah diambil sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini di stesen penjana elektrik tersebut seperti kebakaran?



Pada pemerhatian kasar kami, tidak kelihatan ruang disediakan di lot meletak kenderaan untuk di akses oleh Jentera Bomba dan Penyelamat Malaysia sekiranya berlaku kebakaran ataupun kejadian tidak diinigini berlaku di Pejabat USIA kerana semua tempat meletak kenderaan sentiasa penuh hampir setiap hari.

Kesemua ini membawa kepada  persoalan yang besar iaitu:

1.  Adakah bangunan tersebut selamat untuk digunakan?
2. Adakah satu sijil atau perakuan selamat untuk diduduki telah dikeluarkan oleh agensi yang bertanggungjawab?
3. Sekiranya ada, adakah semua persoalan yang diungkapkan di atas telah diambil kira sepenuhnya atau setakat ala kadar sahaja pemeriksaan kelulusannya?

Akhirnya Pemuda PAS Sabah juga berkongsi kebimbangan besar ibu bapa dan keluarga kepada mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang ditempatkan di bangunan tersebut sebagai kolej kediaman.

Satu keraguan timbul, adakah pihak pengurusan UMS telah mengambil kira dengan cermat segala risiko apabila mereka memilih untuk membeli bangunan tersebut atau mereka sekadar mencari penyelesaian mudah kepada masalah penempatan mereka dengan menggadaikan soal keselamatan anak didik mereka?

Pemuda PAS Sabah mengingatkan bahawa yang dipertaruhkan dalam isu ini adalah nyawa insan yang menjadi tenaga kerja USIA dan juga individu-individu penting yang menjadi AMT USIA, bahkan usah dipandang enteng pula tentang nyawa mahasiswa yang menjadi harapan keluarga dan tonggak negeri ini pada masa depan.

Adalah amat tidak wajar sekiranya USIA dan semua pihak yang terlibat membisu dalam isu ini. Justeru, Pemuda PAS Sabah menuntut segala keraguan yang dibangkitkan ini perlulah dijawab dengan kadar yang segera.

No comments:

Post a Comment