Oleh : WILLIE JUDE JUNAIDI
KOTA KINABALU: Setiausaha
Exco, Pergerakan Komulakan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut (UPKO),
Mcmanus Sing mengumumkan keluar daripada UPKO serta meletakkan jawatannya dalam
parti berkenaan mulai kelmarin.
Mcmanus berkata, beliau
membuat keputusan itu selepas hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap
keikhlasan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan isu-isu penting
yang berkaitan dengan keselamatan, kedaulatan dan maruah negeri Sabah.
"Kita memahami
perkara-perkara yang berkaitan dengan pembangunan sosial boleh dikompromi
kerana ini melibatkan pengurusan dan perolehan belanjawan walaupun hakikatnya
negeri ini (Sabah) kaya dengan sumber asli, namun perkara yang berkaitan dengan
keselamatan, kedaulatan dan maruah rakyat sejati Sabah sesuatu yang tidak boleh
dikompromi.
"Mana mungkin dalam
sesaat kita boleh menafikan hal ini dan membiarkannya apabila rakyat asing
dengan sewenang-wenangnya boleh menjadi warganegara dan yang lebih menyedihkan
apabila kita mengetahui bahawa mereka ini dibantu Kerajaan untuk menjadi warganegara
dalam sekelip mata," katanya ketika ditemui.
Mcmanus berkata, walaupun
Kerajaan telah mengambil langkah menubuhkan Suruhanjaya Di Raja (RCI) untuk
menyiasat perkara itu, namun apa yang diharap rakyat Sabah daripada suruhanjaya
berkenaan semakin pudar malahan semakin menimbulkan persoalan.
"Rakyat Sabah
mengharapkan siasatan sepenuhnya terhadap perkara ini namun keinginan mereka
untuk mengetahui dalang di sebalik pengkhianatan ini sesuatu yang mustahil
kerana ini tidak termasuk dalam terma siasatan.
"Dalam hal ini,
pendekatan mereka lebih kepada tidak mahu mengetahui siapa dalangnya daripada
cuba merungkai segala bukti untuk memberi keadilan kepada rakyat Sabah,"
jelasnya.
Tambah beliau, perkara asas
yang perlu dilakukan adalah untuk tidak mensekutukan diri dengan pihak yang
bukan sahaja tidak mahu menyelesaikan hal ini namun sebenarnya juga adalah
dalang di sebaliknya.
Katanya, beliau keputusan
itu kerana situasi tidak lagi berpihak kepada rakyat di negeri ini dan satu
anjakan perubahan perlu dilakukan demi kepentingan generasi kini dan generasi
akan datang.
"Walaupun berat hati
meninggalkan UPKO kerana ia adalah parti pertama yang saya sertai dan mempunyai
banyak kenangan dengan rakan-rakan seperjuangan, terutamanya mereka yang
bersama-sama saya mengasaskan pergerakan komulakan UPKO pada tahun 2005 lalu,
namun saya tegaskan bahawa kita memerlukan perubahan ini demi masa depan dan
hari esok yang lebih baik," katanya.
Tambahnya, setakat ini
beliau masih belum menyertai mana-mana parti politik tetapi tidak menolak
kemungkinan akan menyertai salah satu parti dalam Pakatan Rakyat untuk
meneruskan perjuangan politiknya.
Ketika ditanya jika ada ahli
lain dalam Pergerakan Komulakan UPKO yang akan menyertainya keluar parti,
Mcmanus berkata kebanyakan rakan-rakannya dalam pergerakan itu juga mempunyai
sentimen dan kesedaran sama dan tidak menolak kemungkinan beberapa orang lagi
berbuat demikian.
"Kita tunggu dan lihat
apa yang akan berlaku namun itu semua terpulang kepada mereka. Saya tidak pernah
menyimpan sebarang dendam terhadap UPKO selama ini dan saya juga ingin
mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dalam upko dengan kerjasama yang
diberikan selama ini...selamat maju jaya kepada mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment