Friday 10 December 2010

AGEH PERUNTUKAN KUALA PENYU SECARA ADIL



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

SEORANG pemimpin Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Sabah meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, John Teo Mau Sing supaya memanfaatkan peruntukan Adun berjumlah RM1 juta mulai tahun hadapan bagi membiayai projek-projek pembangunan yang memberi kepentingan semua kaum di kawasan tersebut.

Awang Ramle Mohd Gatie (gambar), ahli jawatankuasa PERKASA Sabah dan juga bekas Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas Sabah (Jasa) mendakwa peruntukan Adun itu sebelum ini hanya memanfaatkan golongan tertentu sahaja, terutama kontraktor yang mempunyai hubungan rapat dengan wakil rakyat tersebut.

Katanya, peruntukan itu seharusnya diageh-agehkan kepada semua tempat tanpa mengira latar belakang rakyat dan kepercayaan mereka di kawasan Kuala Penyu.

"Tetapi apa yang berlaku, kami tidak nampak ke mana peruntukan itu digunakan kerana tidak banyak projek yang dapat dilihat. Kami juga diberitahu bahawa hanya kontraktor tertentu saja yang diberi peluang oleh YB tersebut," kata beliau.

Awang Ramle yang juga bekas Setiausaha Kerja Pemuda Umno Bahagian Kimanis (kini Beaufort) menyelar wakil rakyat Kuala Penyu itu, yang langsung tidak ingin menjalinkan kerjasama dengan pemimpin dan ahli-ahli parti komponen lain seperti dari UMNO dan Parti Bersatu Sabah (PBS); sedangkan jika tanpa sokongan mereka, YB dari UPKO itu tidak mungkin mampu memenangi kerusi kawasan tersebut.

"Pemimpin dan ahli-ahli dari UMNO dan PBS tidak pernah dihargai sumbangan mereka dan ini amat menyedihkan kerana mereka sebenarnya adalah penentu kemenangan Barisan Nasional di kawasan berkenaan," tegas Awang Ramle.

Beliau berkata, jika wakil rakyat itu dicalonkan semula pada pilihan raya negeri akan datang, BN akan bakal menghadapi masalah untuk mempertahankan kerusi itu yang sebelum ini pernah jatuh ke tangan calon Bebas.

"Kita harap kepimpinan UPKO dan juga pucuk pimpinan BN Sabah harus mengambil kira potensi calon untuk mewakili BN di kawasan ini pada masa akan datang dan bukannya memilih calon secara 'tangkap muat' yang terbukti merugikan rakyat," katanya.

Berdasarkan reaksi rakyat di kawasan ini pada masa sekarang, UMNO dan PBS perlu berani menyuarakan pandangan mereka kepada pucuk; pimpinan BN berhubung soal calon kerana ia melibatkan maruah gabungan itu di mata rakyat.

Ramle berkata saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Konvensyen BN baru-baru ini bahawa soal pemilihan calon BN seharusnya daripada kalangan yang disukai dan dapat diterima rakyat haruslah dipraktikkan dengan serius, jika tidak ia akan memudaratkan BN.

"Rakyat kini lebih suka mendiamkan diri tetapi akan menghukum calon yang mereka tidak sukai semasa pilihan raya nanti. Keadaan ini boleh berlaku di kawasan Kuala Penyu kerana rakyat sudah muak dengan wakil rakyat yang ada sekarang," ujar Ramle.

No comments:

Post a Comment