Friday 31 December 2010

SAPP PULIHKAN MARUAH RAKYAT SABAH



Oleh: AMBROSE MAIL MATHEW

PEMIMPIN Parti Maju Sabah (SAPP), Saul Salleh menggesa kerajaan BN agar melengkapkan sepenuhnya sesuatu pembangunan yang diberikan kepada rakyat khususnya pembinaan rumah rakyat yang tergolong di dalam skim PPRT supaya ia disiapkan selengkap-lengkapnya, terutama pendawaian elektrik, sebelum diserahkan kepada para penerima.

Tegasnya, beliau kesal dan sedih melihat keadaan sebegini rupa kerana rakyat seolah- olah telah diperlekehkan haknya untuk memiliki pemberian kerajaan walaupun ia suatu pemberian secara percuma.

“Walaupun pemberian itu secara percuma, tetapi haruslah dalam keadaan serba lengkap dan siap sepenuhnya kerana penerima itu adalah di kalangan golongan yang tidak berupaya, malahan dia mengharapkan balas ehsan daripada bantuan kerajaan,” kata beliau dalam satu kenyataan di Kemabong pada Jumaat.

Saul yang juga mantan Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) dan bekas ahli UMNO seterusnya berkata, beliau tidak sama sekali menggunakan kepincangan kerajaan BN dalam membantu rakyat termiskin di situ sebagai modal politiknya untuk meraih sokongan mereka; namun perkara itu adalah satu manifestasi wujud kelemahan pentadbiran kerajaan BN yang ditunjangi UMNO khususnya di kawasan DUN Kemabong.

Dalam pada itu Saul menambah, terdapat beberapa tindakan dari segi pengagehan pembangunan dilakukan secara pilih kasih sebagai contoh yang ketara apabila jalanraya antara Sipitang ke Kemabong yang sepatutnya pada perancangan awal jalanraya itu menembusi kawasan Kuala Tomani supaya kawasan mukim Kuala Tomani mendapat impak daripada cadangan itu; tetapi di saat-saat akhir cadangan itu ditukar menembusi kawasan Kg Bamban dan Paal Batu 10.

“Saya tidak faham langsung halatuju perjuangan BN dan UMNO di Kemabong sama ada untuk kroni-kroninya atau untuk semua rakyat jelata di sini. Cukup dan cukuplah UMNO bertapak di sini selama empat penggal kerana kita juga ada maruah dan harga diri malah SAPP sebuah parti tempatan mampu mentadbir negeri ini jika diberi mandat oleh rakyat pada PRU13 nanti,” tegas Saul lagi.

“Misi dan visi kita setelah menyertai perjuangan SAPP adalah untuk memulihkan maruah kita yang sudah tercalar di mata rakyat sebelum ini, kerana pada tahun 1994 kita seakan-akan dipaksa meninggalkan perjuangan PBS dan menyertai UMNO. Bagaimana pun PBS dan UMNO sekarang ini sudah bersekongkol dalam satu perjuangan BN, maka kami ambil keputusan untuk terus berjuang dalam SAPP,” tambahnya lagi.

Ketika ditanya, apakah langkah beliau lakukan selepas menyertai SAPP beberapa bulan lalu; Saul berkata, beliau bersama beberapa rakan seperjuangan yang lain daripada berbagai mukim telah menjelajah ke pelusuk kampong menjelaskan misi dan visi perjuangan SAPP termasuk isu 20 Perkara, kuasa hak autonomi rakyat Sabah dan insiden kejatuhan kerajaan PBS pada tahun 1994, yang banyak meninggalkan perasaan kekecewaan yang menjatuhkan maruah serta insiden yang memalukan rakyat Sabah hanya kerana melanjutkan ‘survival’ politik pihak tertentu.

Ketika mengulas lanjut berhubung isu hak kuasa autonomi Sabah Saul berkata, beliau sudah menjelaskan definisi isu tersebut kepada seluruh rakyat akar umbi menerusi beberapa jawatankuasa mukim yang telah dilantiknya suapaya mereka faham dengan sejelas jelasnya maksud isu tersebut supaya mereka tidak mudah dikelirukan lagi.

Tegasnya, isu hak kuasa autonomi meskipun tidak dinafikan ada sebahagian perkara yang beransur ditunaikan tetapi masih banyak lagi yang masih tertunggak khususnya kuasa Imigresen, JPN, Tanah, Kewangan, Pendidikan, Sumber galian dan gas.

Persoalannya sekarang tegas Saul, bahawa status Sabah, Sarawak dan Semenanjung adalah sama atau lebih dikenali sebagai ‘equal partnership’ dan mengapa hak kuasa autonomi tiba-tiba hilang begitu sahaja bagi Sabah dan Sarawak, sedangkan status kuasa adalah sama sejak 47 tahun lalu.

No comments:

Post a Comment