Friday 24 December 2010

PEMUDA BN TENOM BERI SUMBANGAN KRISMAS



Oleh: AMBROSE MAIL MATHEW

SERAMAI 96 orang penerima pelbagai sumbangan berupa makanan dan wang tunai dalam satu majlis program sumbangan Krismas di kawasan Tenom dan Kemabong yang disampaikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda BN Tenom, Jamawi Jaafar di Pejabat Perhubungan Pergerakan Pemuda BN Tenom, kelmarin.

Program tersebut merupakan satu satunya amalan tradisi pergerakan itu ketika menjelangnya sesuatu perayaan yang berlangsung setiap musim apabila semua pemimpin pergerakan itu akan turun padang menemui masyarakat di peringkat akar umbi untuk beramah mesra selain turut memeriahkan perayaan mereka.

Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Pusat dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Tenom seterusnya berkata, amalan tradisi program mereka itu adalah selari dengan hasrat Perdana Menteri Dato’Seri Najib Tun Razak yang mahukan semua perayaan yang ada di negara ini sama ada perayaan keagamaan mahupun adat tradisi dirayakan secara muhibbah selaras dengan konsep 1Malaysia.

“Kita mahu melihat bahawa tidak ada satu kaum tersisih atau golongan yang berada dan tidak berada terus berpuak-puak ketika menghadapi sesuatu perayaan malahan kita mahu melihat semua kaum dengan kepelbagaian lapisan masyarakat dapat merayakan sesuatu perayaan itu dengan penuh bererti dan gembira sekali,” tegas Jamawi.

Dalam kesempatan itu, Jamawi dan sekeluarga turut mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada umat Kristian di mana sahaja mereka berada dan berharap perayaan tersebut dapat membaharui azam dan tekad pelbagai kaum untuk terus saling hormat menghormati antara satu dengan lain dalam semangat setiawan dengan penuh muhibbah.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan rakan dan sahabat yang mungkin sibuk berkunjung ke rumah saudara mara atau rakan-rakan mereka ketika musim perayaan Krismas ini agar berhati-hati semasa memandu di jalanraya dengan lebih mementingkan keselamatan sebagai keutamaan.

“Kita tidak mahu mendengar khabar yang bertukar pilu disebalik kegembiraan kerana sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan prihatin kepada keselamatan rakan-rakan senegara, kita tidak rela melihat rakan-rakan kita berada disituasi yang memilukan itu,” kata beliau sambil mengingat satu slogan keselamatan seperti “Pandulah Dengan Cermat, Biar Lambat Asalkan Selamat.”

No comments:

Post a Comment