Oleh: AMBROSE MAIL MATHEW
PERLANTIKAN Setiausaha Agung LDP, Datuk Teo Chee Kang sebagai Pengerusi LPKP Sabah baru-baru ini oleh kerajaan Persekutuan disifatkan LDP Tenom sebagai suatu pengiktirafan bahawa kepimpinan LDP terus diperlukan oleh kepimpinan BN Pusat dalam mengukuhkan pentadbiran BN sebelum menghadapi PRU13 yang kemungkinan akan diadakan dalam masa terdekat ini.
Ketua LDP Tenom, Kapitan Ng Tet Hau berkata demikian ketika memberitahu Sabahkini.net kelmarin berhubung perlantikan itu sekaligus meredakan kesangsian ahli- ahli dan penyokong LDP yang kononnya mereka akan dipinggirkan selepas insiden ketidak sehaluan kepimpinan BN Negeri dengan LDP beberapa bulan lalu.
Tegasnya, beliau dan ahli-ahli LDP di sini amat mengalu-alukan perlantikan itu kerana ia amat bertepatan sekali kerana beliau (Teo) amat memahami keperluan pengguna tempatan khususnya di kawasan pedalaman, terutamanya dalam soal fokus kebertanggung jawapan tugasan baru dari segi perlesenan automotif yang sering menjadi kontroversi.
Datuk Teo Chee Kang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Kapor Kudat, akan menerima perlantikan itu yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2011 daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato’Seri Nazri Abdul Aziz dalam masa terdekat.
Perlantikan itu sebagai menggantikan kekosongan jawatan tersebut selepas mantan Pengerusinya yang juga mantan MP Batu Sapi mendiang Datuk Edmund Chong yang telah meninggal dunia dalam satu kemalangan Oktober lalu.
Ketika ditanya lanjut apakah kepimpinan LDP akan berusaha terus berbaik baik dengan kepimpinan BN Negeri khususnya Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman selaku Pengerusi BN Negeri Kapitan Ng berkata, beliau amat mengharapkan agar akan berlaku sedemikian namun segala-galanya terpulanglah kepada keputusan dan kebijaksanaan pemimpin tertinggi LDP memutuskannya.
“Kita pemimpin di peringkat akar umbi tidak tahu apa-apa soal keputusan pihak atasan LDP. Kami akan ikut arahan mereka (pusat) tetapi mengharapkan agar keadaan (pergeseran) dapat dipulihkan seperti dulu,” tegas Kapitan Ng sambil menolak tanggapan umum sebelum ini yang mendakwa kepimpinan LDP Tenom sudah berbelah bahagi ekoran pergeseran itu adalah karut semata mata.
Dalam pada itu, Kapitan Ng menegaskan bahawa jentera parti LDP di sini sudah mula digerakkan sebagai persiapan untuk menghadapi kemungkinan pilihanraya umum kali ke-13 akan diadakan lebih awal seperti yang diwar-warkan media ketika ini. Jika ianya benar LDP akan menumpukan segala kekuatan parti itu untuk membantu BN tanpa mengira soal calon yang diketengahkan.
No comments:
Post a Comment