Sunday 26 December 2010

MUSA AMAN WAJIB BERTAUBAT DEMI BN?



Saudara Pengarang,

DARI sudut hati saya yang penuh keinsafan dan dari akal saya yang masih waras, saya menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya terguran terbuka saya terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menyebabkan ada pihak yang suka mengampu beliau tidak senang hati dan melemparkan tuduhan liar terhadap saya.

Setelah hampir setahun kepingan Patung Mazu bertebaran di tanah, tidak ubah seperti nelayan menjemur ikan masin, tibalah masanya Datuk Musa bertaubat dan memohon ampun daripada seluruh penganut Mazu agar tidak dihukum oleh pengundi pada pilihanraya umum akan datang, sekalipun masih bermegah dengan kemenangan Batu Sapi yang tidak seberapa.

Sebagai Ketua Cawangan UMNO, saya terpaksa membuat teguran, atas nasihat dan restu Perdana Menteri yang meminta semua Ketua Cawangan UMNO menegur pemimpin yang tergelincir daripada landasan dan lupa amanah ahli; apatah lagi bersikap munafik, menghina penganut agama lain dan berperangai seperti Namrud di zaman Arab Jahiliah.

Saya bimbang, senyapnya masyarakat Cina bukan kerana mereka takut kepada kuasa eksekutif Ketua Menteri Sabah, bukan juga kerana simpati kepada Mantan Ketua Menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat atau kerana mulut mereka disumbat dengan projek; namun merupakan dendam kesumat yang sedang menyala dan bakal memuntahkan laharnya pada pilihanraya umum akan datang; lebih hebat daripada letusan Gunung Merapi.

Gelincirnya sokongan kaum Cina akan menggelincirkan BN daripada tampuk kuasa di Sabah dan ramalan Blogger Raja Petra bahawa ‘Parlimen Digantung’ adalah kenyataan yang terpaksa dihadapi sekiranya Musa Aman mengekalkan kedegilan dan kezuhudannya terhadap isu agama ini; sekaligus menyimpang daripada lunas Perlembagaan Persekutuan.

Sewajarnya, perlantikan Datuk Juhar Mahiruddin sebagai TYT yang baru memberikan harapan baru untuk menyelesaikan isu Mazu yang merupakan kezaliman yang ketara Kerajaan BN terhadap penganut Mazu semata-mata kerana sengketa peribadi antara Musa Aman dengan Chong Kah Kiat.

Sebagai Ketua Agama di Sabah, TYT sewajarnya menasihati Ketua Menteri dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan agar tidak mencampuri urusan agama lain bagi memastikan semua amalan agama di Sabah dilaksanakan secara harmoni dan muhibbah.

Yakinlah bahawa ‘Hukum Karma’ tetap berjalan. Sehebat-hebat Firaun, mati oleh seekor nyamuk dan saya amat kesal jika pemimpin Sabah yang menghina agama orang lain ditimpakan nista dan aib yang memalukan; apatah lagi nista paling ketara ialah Sabah yang kaya raya menjadi papa kedana dan rakyatnya termiskin di Malaysia.

Sebelum semua rakyat Sabah mendapat bala, saya menyarankan agar semua yang ‘berdosa’ kerana menghalang pembinaan Patung Dewi Laut Mazu agar bertaubat dan kembali kepada agama Islam yang Syumul dan mengembangkan syiar Islam secara harafiah, holistik dan bersumberkan ilmu akliah yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Saya turut mengambil kesempatan agar Mufti Negeri Sabah meletakkan jawatan jika tidak berani berkata benar sehingga sanggup mengeluarkan fatwa kepada ‘bukan Islam’ terutama berkaitan Patung Mazu.

Kepada Penganut Mazu di seluruh dunia, saya memohon maaf di atas penindasan yang dilakukan kerajaan BN dan berharap agar tidak membalas layanan buruk berkenaan dengan memberikan undi kepada pembangkang kerana masih ada ruang untuk memperbaiki kesilapan pemimpin BN yang lupa diri dan bongkak.

Saya yakin, jika izu Mazu ini diselesaikan dengan baik, ‘Win-Win Situation’, InshaAllah ekonomi Sabah akan pulih kerana lebih 20 juta Penganut Mazu akan melawat Kudat dan melimpahkan rezeki kepada rakyat melalui kegiatan pelancongan; sekaligus membasmi kemiskinan yang mencengkam Sabah selama ini ketika pemimpinnya kaya raya.

Salam 1Malaysia,

AZIZUL SANARUL @ AJIJUL

Ketua Cawangan UMNO Tampi-Tampi Darat Semporna.

(NOTA: Surat terbuka ini adalah pandangan dan sorotan sanubari Azizul yang cintakan keamanan dan mencambah keharmonian kaum dan kesucian agama di Sabah; tidak ada kena mengena dengan pandangan Sabahkini.net. Menurut Azizul surat asal telah dikirim kepada Ketua Menteri Sabah dan disalinkan kepada Perdana Menteri dan TYT Sabah.)

No comments:

Post a Comment