Monday 27 December 2010

KINI SANDAKAN PULA BANDAR SAMPAH?



Oleh: CHANG SHAK HUNG

APA sudah jadi dengan tahap kebersihan di Sandakan kerana kita sering berhadapan dengan masalah kebersihan yang begitu teruk dan seolah-olah Majlis Perbandaran Sandakan langsung tidak berbuat apa-apa untuk menangani permasalahan yang sering menyakitkan mata memandang.

Walaupun gambar di atas diambil dari Jambatan No. 8, Perkampungan Sim-Sim di Sandakan, namun perlu diingat bahawa sampah-sarap berkenaan tidak semestinya dibuang oleh penghuni di kawasan tersebut. Sampah-sarap tersebut adalah dihanyutkan ke kawasan tersebut dan apabila air surut, longgokan sampah akan tertinggal di tempat berkenaan.

Contohnya di Kampung Muhibbah, Batu 2½ tidak ada tong sampah yang disediakan oleh pihak MPS untuk penduduk kampung tersebut untuk membuang sampah sedangkan penduduk di kampung tersebut adalah padat dengan penduduk dan tidak dapat berbuat apa-apa selain membuangnya ke laut.

Salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Rudy, memberitahu bahawa tidak ada tong sampah yang disediakan oleh pihak MPS bagi memudahkan mereka untuk membuang sampah-sarap.

Semasa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hajiji Haji Noor merasmikan Pelancaran ‘State Level Anti-litterbug Campaign’ pada 6 Disember 2010, beliau memberitahu bahawa setiap pesalah yang membuang sampah di merata-rata tempat boleh dikenakan denda sehingga maksimum RM500.

Namun yang demikian, adakah beliau sedar bahawa selain sikap masyarakat yang suka membuang sampah-sarap secara tidak beretika, punca lain adalah kemudahan tong sampah untuk mereka membuang sampah adalah amat kurang dan tidak terdapat satu biji tong sampah pun di dalam sesetengah kawasan.

Bagaimana pula penduduk di pulau-pulau? Adakah mereka disediakan tong sampah oleh MPS untuk penduduk berkenaan?

Pihak kerajaan yang telah membelanjakan duit yang banyak dalam menyedarkan orang ramai tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran, tidak akan berjaya dengan sepenuhnya sekirannya punca permasalahan tersebut tidak diatasi.

Pihak ADUN dan Ahli Parlimen yang sering mengadakan gotong-royong yang kononnya untuk membersihkan kawasan tersebut, hanyalah menjadi bualan dan sindiran masyarakat kerana peruntukan ADUN dan Ahli Parlimen bolehlah digunakan untuk membeli tong sampah kepada penduduk di kawasan masing-masing.

Oleh yang demikian, pihak berkuasa tempatan tidak seharusnya mencari kesalahan orang lain dan pada masa yang sama tidak mencari punca sebenar bagaimana faktor membuang sampah-sarap terutamanya ke sungai dan laut yang dilakukan oleh pihak penduduk tidak diatasi.

Perlu ada persefahaman antara kerajaan tempatan dengan masyarakat selain bantuan yang harus dikeluarkan oleh pihak ADUN dan MP untuk kawasan masing-masing. Peruntukan ADUN Sabah yang telah ditambah kepada RM1.1 juta setiap ADUN Sabah mulai tahun 2011, sepatutnya tidak menjadi permasalahan kepada masyarakat dalam menikmati kehidupan yang sempurna dan bersih dari kotoran sampah.

No comments:

Post a Comment