Oleh: MUTALIB M.D
KETAKSUBAN melampau terhadap Kerajaan Barisan Nasional menyebabkan ramai pemimpin UMNO Sabah bermusuh dengan saya kerana menimbulkan isu pemberian MyKad untuk ‘Umat Islam’ daripada Filipina, Indonesia, India dan Pakistan; sehingga ada yang sanggup menggelar saya ‘Anti Islam’ atau ‘Teroris’.
Ketika rakyat Malaysia, terutama Umat Kristian di Sabah merayakan ‘Hari Natal’ saya ingin bertanya apakah saya ‘Pro-Kristian’ apabila membongkarkan isu ‘Keislaman Songsang’ yang dijana oleh pemimpin Barisan Nasional?
Saya tidak tahu sama ada kita di Sabah menyambut ‘Merry Krismas’ atau masih ‘Merry Go Round’ dengan masalah bertimpa-timpa melanda Sabah; daripada isu kemiskinan, pendidikan, prasarana sehinggalah kerakyatan songsang yang menyebabkan rakyat asal Sabah semakin menderita, sedangkan di atas kertas Sabah ‘Negara’ yang terkaya di Malaysia!
Pemimpin Sabah yang kaya raya, berumah agam, berkereta mewah dan mempunyai wang berjuta dalam Bank langsung tidak membantu mengurangkan jurang kemiskinan yang menimpa rakyat Sabah akibat ‘salah urus’ dan pembaziran serta ‘Rasuah’ yang menjadi ‘Pemerintah’; apatah lagi untuk mengeluarkan Sabah daripada semua kemelut yang merantai.
Memandangkan Rasulullah s.a.w. sendiri adalah orang yang cintakan bangsa dan tanah airnya, sebagaimana baginda menyeru umat Islam supaya mencintai kedua-duanya seperti dalam hadis Baginda, mafhumnya; “Cintakan tanah air itu sebahagian daripada iman”; maka siapa saya untuk lari daripada perjuangan membela ‘ibu pertiwi’?
Maka, atas dasar apa pemimpin UMNO menuduh saya sebagai ‘Anti Islam’ dan ‘Pro-Kristian’ semata-mata kerana saya memerangi ‘saudara’ seagama daripada Indonesia, Filipina, India dan Pakistan yang mendapat kerakyatan Malaysia melalui jalan songsang dengan menentang pemberian Kad Pengenalan Projek melalui empat buah buku saya iaitu IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah (1999), Pengundi Untuk Di Sewa (1999), IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir? (2006) dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir? (2007), blog saya http://mutalibmd.blogspot.com dan laman web www.sabahkini.net.
Betapa murah dan ceteknya fahaman mereka tentang Islam sehingga menghalalkan tindakan pemimpin UMNO dan BN merekrut ‘Pendatang Asing Tanpa Izin’ (PATI) sebagai ‘Rakyat Malaysia’ yang ‘dilahirkan kali kedua di Sabah’?
Kata Saidina Ali Bin Abi Talib (Karamallah Huwajhu), “Hanya lidah yang mahu berdusta dan berbohong, namun pandangan mata, hayunan kedua belah tangan, langkah kedua belah kaki dan pergerakan tubuh atau seluruh anggota badan akan menafikan apa yang diucapkan oleh lidah.”
Apakah pemimpin UMNO akan jawab di Padang Masyhar nanti ketika Allah bertanya kenapa mereka tidak memerangi kerakyatan songsang sedangkan ‘PATI ISLAM’ tidak mempunyai semangat ‘Islam’ dan hanya menggunakan Islam untuk mendapatkan ‘Suaka Politik’ daripada UMNO?
Jika mereka boleh berkongsi kerakyatan songsang, kenapa tidak boleh berkongsi ‘Isteri’ atau ‘Rumah’ dengan Warga PATI yang mendapat ‘Kerakyatan Songsang’ dan memaksa rakyat Sabah menerima spesis yang terlalu asing budaya dan bahasanya?
Selama enam dekad UMNO wujud di bumi merdeka Malaysia, namun kenapa tergamak melakukan ‘penghapusan etnik’ Bumiputera dan ‘Anak Negeri Sabah’ dengan mewujudkan spesis ‘Bumiputar’ yang lahir di luar negara tetapi ditulenkan sebagai ‘Rakyat Sabah’; bukan rakyat Kedah, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Perlis, Kelantan, Pahang, Trengganu, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan?
Kenapa pilih Sabah untuk merancang ‘Rampasan Kuasa Rakyat’ melalui ‘Skandal X-Files’ dan bukannya Seluruh Malaysia? Apakah pemimpin Sabah terlalu bacul ketika itu sehingga tidak berani menentang niat jahat pemimpin UMNO yang tamak kuasa melalui pemberian Kad Pengenalan sedangkan Perkara 6 dan 10 daripada 20 Perkara yang menjadi asas pembentukan Malaysia jelas menunjukkan bahawa Ketua Menteri Sabah mempunyai kuasa untuk menghalang segala bentuk petualangan berkenaan?
Sebagai ahli UMNO, saya menyayangi UMNO lebih daripada diri saya sendiri, namun sebagai ‘Hamba Allah’ yang ditakdirkan lahir di Kedah dan menjadi rakyat Sabah melalui kuatkuasa undang-undang, saya terpaksa berjuang bersendirian untuk memerangi segala ‘kemaksiatan’ dan tindakan pemimpin Sabah dan UMNO ‘menjual’ agama Islam yang syumul semata-mata untuk menghalalkan pengkhianatan mereka memberi ‘Kerakyatan Songsang’ kepada PATI yang kini telah menjadi PADI (Pendatang Asing Dengan Izin).
Anehnya, saya yang dilahirkan di bumi Malaysia dipandang serong oleh ‘rakyat Sabah’ sendiri dengan menggelarkan saya ‘Orang Malaya’ sedangkan semua tembuni anak-anak dan isteri saya ditanam di Sabah dan saya tidak mempunyai hubungan lagi dengan ‘Malaya’? Tetapi warga PATI dan PADI dijulang begitu mulia sehingga ada yang telah menjadi YB?
Ramai pemimpin UMNO dan BN Sabah yang sebelum ini menggunakan isu IC PALSU dan menjaja buku saya sebagai modal politik, namun setelah memperoleh kuasa, mereka bukan saya tidak menyokong perjuangan saya, malah tidak pernah menghulur walau ‘satu sen dibelah 14’ untuk membantu saya memperjuangkan isu pengkhianatan luar biasa di zaman modern ini.
Terkadang kala saya memikirkan tiba masanya untuk saya berundur dan hidup bahagia bersama keluarga daripada menerima cemuhan rakyat Sabah yang bukan sahaja enggan menghulurkan derma untuk menjayakan ‘misi suci’, malah memusuhi saya dengan tidak menghulur derma atau memberikan sokongan moral; namun amanat Almarhum ayah saya membuatkan saya meneruskan perjuangan tanpa sokongan ini.
Mungkin saya terpaksa menghentikan laman web ‘www.sabahkini.net’ yang memerlukan dana lebih daripada RM10,000 sebulan untuk diselenggara kerana tabungan saya sudah hampir habis dan dalam masa yang sama sumbangan rakyat Sabah pada tahap ‘ZERO’.
Namun teringatkan pesanan Prof. Dr. Hamka, tidak bererti eksklusif daripada kehidupan duniawi kerana Islam menganjurkan semangat berjuang, berkorban dan bekerja keras. Kekayaan hakiki ialah mencukupkan apa yang ada, sudi menerima walaupun banyak, sebab ia nikmat Allah dan tidak pula kecewa jika jumlahnya berkurang, sebab ia semua daripada Allah.
Kata Hamka lagi, jika kekayaan melimpah untuk diri, ia perlu digunakan untuk membantu dalam perkara kebajikan dan membina keteguhan hati beribadah kepada Allah. Harta tidak dicintai kerana dia harta. Harta hanya dicintai sebab ia adalah pemberian Allah. Terlampau menumpahkan cinta kepada harta benda semata-mata, menyebabkan buta daripada pertimbangan, sehingga hilang cinta kepada bangsa, tanah air, agama dan Allah sendiri.
Saya mungkin terpaksa bertahan buat sementara waktu sehingga tabungan saya habis dan hanya mengendalikan blog saya ala kadar melainkan rakyat Sabah sedar dan kembali bersama saya dengan menyumbang sumber dana dan sokongan berterusan. Mungkinkah?
No comments:
Post a Comment