Sunday 26 December 2010

HARAPAN BARU KORIDOR PERUBAHAN (EPISOD 1)



Oleh: NASPAZI

SESUNGGUHNYA para genius terbilang pemikir agung dunia dalam lintasan sejarah peradaban bangsa manusia, mereka akan menjadi bukan siapa seluruhnya, tanpa mengikat paradigma mereka di landasan harapan baru yang menjadi koridor perubahan; dan sekaligus pengwujudan tamadun sofistikated bangsa manusia sepanjang zaman.

Justeru, andai kata paradigma saya dianggap, hanya laksana anjing kurap yang menyalak bukit; bukit tidak akan runtuh, tidak mengapa. Sebab, seekor anjing kurap yang menyalak bukit, walaupun mustahil untuk dapat meruntuhkannya, namun sekurang-kurangnya ia telah berjaya menghantar suatu isyarat penting, iaitu tentang kehadirannya di kaki sesebuah bukit.

Lantarannya, dalam siri paradigma saya yang lepas, saya ada menyatakan bahawa, lembayung minda yang memancar menjadi paradigma bertulis tiada kepentingan harapan senget, melainkan harapan yang terbaik demi kelangsungan warga Borneo bermasyarakat dan bernegara di persada Asia, hatta dunia.

Yang demikian, seandainya paradigma saya dianggap, hanya laksana salakkan anjing kurap, dalam meniti arus waktu di persada zaman, adakah kemungkinan atau tidak, bahawa sanya salakkan anjing kurang itu mampu bertahan ribuan tahun, justeru mengesahkan yang ianya memang sahih bukan bacaan umum untuk manfaat generasi masa kini, sebagai amanah yang tertangguh untuk manfaat generasi masa hadapan?.

Betapa nilai seni mukaddas agung sebuah paradigma bukan hanya milik seseorang yang berpangkat tinggi atau saudagar kaya. Bahkan, setiap orang yang mampu berfikir dengan baik dan tulus, tanpa mengira kedudukan pangkat dan kemewahan, pada dasarnya sama-sama berpeluang untuk bermimpi melancarkan paradigma, walau sekilas fatamorgana ke arah mengubah tamadun canggih bangsa manusia dan wajah baru dunia untuk menjadi lebih indah.

Justeru, saya pernah ditanya oleh beberapa orang yang terpelajar; yang berhubung dengan konsep paradigma; untuk mereka bandingkan dengan konsep paradigma yang mereka faham melalui pembacaan buku-buku sarjana Barat. Saya menjelaskan kepada mereka bahawa, saya bersetuju dengan konsep paradigma sarjana Barat yang mereka nyatakan, dengan pemberatan lain tentangnya.

Sehubungan dengannya, konsep paradigma pada pandangan saya adalah, yang merujuk kepada ‘hasil kelainan’ pandangan atau penilaian terhadap sesuatu perkara atau semua benda.

Contohnya, andai kata berkumpul seribu orang pelukis agung dunia di tepi pantai dan serentak melukis ‘lembayung senja’. Nescaya, mereka akan menghasilkan seribu lukisan tentang ‘lembayung senja’ yang berbeza atau tidak serupa sepenuhnya. Demikianlah yang saya maksudkan dengan ungkapan paradigma sebagai hasil kelainan penilaian atau tanggapan terhadap sesuatu perkara atau benda.

Sesungguhnya kebangkitan falsafah bangsa manusia purba, yang berhubung dengan konsep harapan baru sebagai koridor perubahan, sejarah menjadi saksi yang ia dicetuskan atau dipelopori oleh Heraklitos (540-480sm). Gagasan paradigma Heraklitos menanggapi alam semesta dalam dimensi arus perubahan. Contohnya, sesuatu yang sejuk berubah menjadi panas dan sesuatu yang panas berubah menjadi sejuk.

Dengan ungkapan lain, dimensi kehidupan kosmos walaupun saling berlawanan, namun ianya dalam keselarasan dinamik yang menghasilkan keharmonian sebagai penanda aras kebenaran, laksana gitar yang tidak menghasilkan bunyi tanpa menegangkan dawai antara hujungnya. Yang demikian, Heraklitos membuat kesimpulan bahawa, ‘semua benda berubah’.

Walau bagaimanapun, paradigma Heraklitos telah disangkal oleh Parmenides (525-440sm) dengan gagasan bahawa, perubahan tidak wujud. Contohnya, sejuk hanya bermakna tiada panas, demikian juga dengan gelap yang hanya bermakna tiada cahaya.

Parmenides berhujah lagi bahawa, hakikat kebenaran sesuatu perkara adalah keseluruhan ‘yang satu’, tidak bergerak dan tidak berubah atau tetap. Dengan kata lain, hakikat kebenaran sesuatu perkara hendaklah diukur dengan logik, kerana ukuran kebenaran adalah akal manusia.

Namun begitu, percanggahan paradigma tentang alam semesta, yang dicetuskan oleh Heraklitos dengan kata kunci ‘Semua Benda Berubah’ yang disangkal oleh Parmenides dengan doktrin ‘Semua Benda Tetap’ telah melahirkan sintesis agung Plato (429-347sm) yang menggabungkan antara falsafah tentang alam dengan falsafah tentang kemanusiaan.

Plato berhujah bahawa, paradigma Heraklitos dalam kerangka alam empiris betul, manakala paradigma Parmenides dalam kerangka alam metafizik juga betul. Justeru, jalinan interaksi paradigma keduanya, maka lahirlah sebuah ‘Falsafah Benda-Benda Kemanusiaan - Philosophia Peri Ta Anthropina’ karya agung Plato atau lebih glamour dengan ungkapan Republik Plato yang menjadi rujukan abadi bangsa manusia zaman-berzaman.

Buku Republik Plato meliputi pelbagai bidang disiplin ilmu, termasuklah ontologi, epistemologi, politik, feminisme, sosialisme, etika dan ekonomi. Kesemua bidang tersebut dikaji dengan serius dan mendalam untuk mencari jawapan terhadap sifat adil dan bagaimana sewajarnya bangsa manusia menjalani kehidupan yang terbaik.

Plato menjelaskan bahawa, gagasan paradigma terhadap tatacara kehidupan bangsa manusia bermasyarakat dan bernegara yang terbaik adalah keadilan sebagai instrumen kepada tiga sumber kebaikan utama yang lain, iaitu Kesederhanaan, Kebijaksanaan dan Keberanian.

Yang demikian, bagaimanakah keadilan itu seharusnya dilaksanakan? Jika mengambil kira tafsiran dan pendapat setiap orang tentang keadilan, sudah tentulah tidak terkira jumlah banyaknya.

Justeru, sebagai masyarakat yang beragama; khususnya Malaysia yang mendakwa sebagai ‘Negara Islam’ kononnya, sudah tentulah sewajarnya menurut saranan (al-Quran 4: 58) agar memimpin dan menghakimi manusia dengan adil.

“...Whenever you judge between people, judge with justice...”

Demikian juga dengan Aristotle yang menjelaskan fungsi keadilan dalam bukunya (Politics) bahawa, keadilan adalah simpai yang mengikat manusia dalam masyarakat. Pelaksanaan keadilan, iaitu penentuan hal yang dikatakan adil menjadi prinsip tatacara masyarakat berpolitik.

“...Justice is the bond of men in states, for the administration of justice, which is the determination of what is just, is the principle of order in political society...”

Justeru, keadilan adalah intipati kerukunan bangsa manusia bermasyarakat dan bernegara. Alexis De Tocqueville menjelaskan fungsi keadilan dalam bukunya (Democracy in America) bahawa, hanya ada satu undang-undang sejagat yang disepakati oleh sebilangan besar manusia. Undang-undang itu adalah keadilan. Undang-undang adalah batu penjuru bagi undang-undang setiap negara.

“...There is one universal law that has been formed by the majority of mankind. That law is justice. Justice forms the cornerstone of each nation’s law...”

Oleh sebab itu, ungkapan keadilan bukan sahaja sewajarnya indah dan lunak kedengaran dalam madah dan seloka, yang akhirnya menjadi pidato retorik politik, bahkan wajib kelihatan diamalkan untuk dilaksanakan dalam multi dimensi kehidupan bermasyarakat dan bernegara, sebagaimana yang disarankan atau ditegaskan oleh sumber yang autentik seperti Al-Quran, Aristotle dan Alexis De Tocqueville yang begitu menekankan tentang keutamaan atau kewajipan mempertahankan prinsip keadilan, yang andai kata diabaikan nescaya konsep undang-undang tidak bermakna sama sekali.

Abad ini merupakan era keemasan bagi demokrasi, lantaran sebahagian besar sistem pemerintahan di dunia, disandarkan kepada fahaman demokrasi sebagai asas pembentukan kerajaan yang paling adil atau yang terbaik bagi rakyat atau masyarakat seluruhnya. Demokrasi dianggap begitu baik dan adil kerana, masyarakat menjadi pusat bagi wadah kuasa dalam usaha membentuk pasukan pimpinan negara atau sesebuah kerajaan, yang dalam konteks Malaysia masa kini seramai (222 orang) ahli parlimen yang membentuk kerajaan.

Konsep demokrasi dari sudut etimologi terdiri dari dua suku kata bahasa Yunani, iaitu ‘Demos dan Cratein’, demos bermaksud rakyat atau warganegara sesebuah negara, contohnya pribumi North Borneo dalam konteks Sabah. Manakala, cratein pula bermaksud kekuasaan atau kedaulatan, contohnya kuasa undi rakyat dalam konteks pilihanraya.

Abraham Lincoln (1809-1865) mentakrifkan demokrasi sebagai “Government of people, by the people, for the people”.

Konsep demokrasi dari sudut terminologi pula bermaksud, bahawa sanya kuasa beberapa orang yang membentuk kerajaan sesebuah negara demokrasi adalah ehsan bersama rakyat. Dengan kata lain, kuasa tertinggi negara adalah keputusan bersama rakyat.

Justeru, sebarang kezaliman oleh kerajaan BN (Barisan Nasional) dalam konteks Malaysia yang mendakwa demokrasi, adalah pantulan dari citra kuasa yang dicapai oleh kerajaan melalui propaganda penipuan dan pembohongan atas nama demokrasi, lantaran kegagalan masyarakat atau rakyat memahami hakikat demokrasi dengan cara yang betul.

Yang demikian, banyak negara yang mendakwa demokrasi termasuklah Malaysia, tetapi menunjukkan tingkah laku bahawa, yang berdaulat adalah elit politik dan para saudagar kaya, yang hanya menjadikan masyarakat atau rakyat bagaikan bidak catur demi kelangsungan pongah dan tamak mereka.

Oleh itu, betapa kerajaan demokrasi yang bertukar menjadi zalim, secara benarnya memang dibangunkan di atas prinsip politik propaganda atau retorik, sebagaimana yang dijelaskan oleh Sun Tzu dalam karyanya ‘The Art of War’ bahawa, “semua perang berdasarkan penipuan. Justeru, ketika mampu menyerang, wajar kelihatan lemah, ketika menggunakan kekuatan, wajar kelihatan mengalah, ketika dekat, wajar meyakinkan jauh, ketika jauh, wajar meyakinkan dekat. Tahan musuh, munculkan kekacauan dan serang mereka.”

Lantarannya, maka akan lahirlah sebuah kerajaan yang dibangunkan di atas nama demokrasi oleh penghalallan bohong mulia yang akhirnya menjanjikan mimpi buruk kepada masyarakat atau rakyat.

No comments:

Post a Comment