Oleh: KREW SABAHKINI.NET
MENTERI Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Haji Hajiji Haji Noor sewajarnya juga dipersalahkan kerana gagal memantau kebersihan Daerah Semporna yang dilabelkan sebagai Pekan Terkotor di Sabah, sehingga mengakibatkan kekecohan memalukan berlaku di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah baru-baru ini.
Sekiranya Hajiji menghayati slogan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu "Rakyat Didahulukan, Pencapaian di utamakan",sudah tentu beliau akan berjaya mengatasi isu ini dengan tuntas.
Apalah gunanya membuang masa menganjurkan kempen anti pembuangan sampah tahun demi tahun yang mencakupi seluruh negeri termasuk di semua bandar di bawah Majlis Daerah, Majlis perbandaran dan Bandaraya Kota Kinabalu; jika menteri yang bertanggungjawab hanya mengharapkan pegawai PBT semata-mata, sedangkan beliau tidak turun ke bawah untuk membuat lawatan secara mengejut ke seluruh daerah bagi menentukan tahap kebersihan adalah memuaskan.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERKASA Sabah, Awang Ramli Mohd Gati yang menyesali kekecohan memalukan di antara beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri dari Daerah Semporna dengan Menteri Pembangunan Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun di Persidangan Dewan Undangan Negeri tidak akan berlaku seandainya Hajiji memantau kebersihan Majlis Daerah Semporna (MDS) dengan memberi arahan walaupun bukan pada musim kempen kebersihan.
Beliau memuji Menteri pembangunan Pelancongan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun yang bersedia menerima teguran semua ADUN dari Semporna yang lantas dan segera memutuskan untuk membantu menjaga kebersihan Pekan Semporna yang disedarinya menjadi persinggahan utama pelancong ke destinasi terkenal, Pulau Sipadan.
"Bukankah tanggungjawab menjaga kebersihan itu terletak di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah? Alangkah baiknya jika peruntukan membersihkan Pekan Semporna boleh diberikan lebih banyak supaya kebersihan pekan terkenal dapat dijayakan dan tidak akan memalukan tempat kita di mata pelancong terutamanya dari luar negara," kata Awang Ramli.
Awang Ramli menegaskan, Pekan Semporna memerlukan segera perubahan wajah baru dan Hajiji harus menjadikan ia satu agenda utama agar kementeriannya memberikan peruntukan lebih banyak kerana pekan ini merupakan pintu masuk ke pulau-pulau peranginan di Sabah.
Pekan Lahad Datu adalah juga satu lagi pekan yang dikritik oleh Masidi disebabkan kotor dan tidak teratur. Selain itu lain-lain pekan di Sabah seperti Kuala Penyu juga didapati kotor dan beberapa kemudahan seperti tong-tong sampah tidak terusus termasuklah lampu limpahnya terputus dan tidak teratur.
"Selaku penduduk asal Kuala Penyu, saya mencabar Hajiji selaku menteri yang bertanggungjawab agar membuat lawatan mengejut ke daerah ini. Seingat saya selama menjadi menteri berkenaan Hajiji hanya datang ke Kuala Penyu semasa menghadiri Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Kuala Penyu sahaja," Awang Ramli berharap Hajiji akan menjadikan lawatan mengejut sebagai langkah untuk memantau kebersihan di seluruh Sabah.
No comments:
Post a Comment