Friday 31 December 2010

PBRS, RAKAN TIDAK BERMUSIM BN



PRIHATIN….Ellron bersama barisan pemimpin PBRS Melalap dan Kemabong.

Oleh: MEDIA PBRS

SEMUA Bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) diminta untuk terus mainkan peranan dan tanggungjawab meskipun parti itu tidak mewakili kawasan berkenaan (sebagai wakil rakyat), kerana PBRS adalah komponen Barisan Nasional (BN) yang harus menjaga kebajikan dan membawa perjuangan parti itu.

Timbalan Presiden PBRS, Datuk Ellron Angin berkata, kepimpinan pusat faham masalah yang dihadapi oleh bahagian-bahagian parti berkenan, namun katanya kepimpinan di peringkat bahagian diminta untuk sentiasa memberi kerjasama dan mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin BN di kawasan mereka.

Ellron berkata demikian ketika merasmikan penutupan Mesyuarat Agung Tahunan PBRS Bahagian Kemabong dan Melalap di Keningau. Turut hadir Ketua Pemuda PBRS Pusat yang juga mempengerusikan mesyuarat itu, Vincent Lee dan EXCO Wanita Pusat, Rozie Jumat.

“Kita harus berganding bahu dengan wakil rakyat dan ahli parlimen kita, jalinkan persefahaman yang baik dengan mereka,“ kata Ellron yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Namun Ellron tidak menafikan terdapat ahli PBRS yang tersisih selepas pilihanraya meskipun parti itu telah memainkan peranan mereka sebagai ‘Rakan Tidak Bermusim’ (RTB) kepada BN.

“Jangan jauhkan diri dari ADUN dan Ahli Parlimen, tapi ambillah peranan, jalinkan hubungan yang baik, saya yakin atas kerjasama dan kerja keras kita dalam memantapkan kekuatan BN dan mempejuangkan ahli kita (rakyat) di kawasan ini, kita akan lebih dihargai,” kata Ellron yang juga Wakil Rakyat Sook.

Sebagai contoh kata Ellron, PBRS di Lahad Datu mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin di kawasan itu dan diberi kedudukan yang baik bagi menghargai sumbangan yang diberikan PBRS di kawasan itu meskipun parti itu dianggap kecil.

Menurut Ellron, meskipun parti itu dikatakan kecil namun perjuangan membela nasib rakyat adalah sama bagi mana-mana parti komponen BN.

“Perjuangkan kawasan kita dengan penuh keikhlasan, rakyat tahu menilai. Kita sendiri tidak tahu nasib kita kerana keadaan akan berubah,” ujar Ellron.

No comments:

Post a Comment