Tuesday 28 December 2010

TUKAR SEGERA KETUA POLIS SEMPORNA!



Oleh: RAMLI MOHD ZAIN

KETUA Polis Negara Malaysia, Tan Sri Ismail Omar disaran agar menukarkan segera Ketua Polis Daerah Semporna, ASP Mohd Azim Khan kerana cuai menjalankan tugas memastikan keselamatan Semporna bebas daripada insiden jenayah dan penculikan.

Ketua Cawangan UMNO Tampi-Tampi Kapor, Azizul Sanarul @ Ajijul menyarankan demikian atas kapasiti beliau sebagai pembayar cukai dan aktivis masyarakat yang menerima pelbagai rungutan dan aduan orang awam berhubung sikap Ketua Polis Semporna yang jarang berada di kawasan kerana mempunyai urusan peribadi di Lahad Datu dan sering dilihat di Felda Sahabat.

“Kita kesal kerana Ketua Polis Semporna hanya pandai bercakap dan membuat teori yang mengelirukan berhubung insiden penculikan Terumbu Karang Sebangkat sehingga menyebabkan perairan Semporna dirasakan tidak lagi selamat untuk kegiatan akuakultur selepas kes penculikan berkenaan,” ujar Azizul yang mengulas cadangan UMS Link, Sesama Lautubing untuk menjalinkan kerjasama membangunkan Projek Komersil Rumpai Laut di Terumbu Tubing, Ligitan.

Tegas Azizul, Ketua Polis Negara harus bertanggung jawab jika Ketua Polis Semporna melakukan kesilapan berterusan setelah Insiden Tebusan di Perumahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Lahad Datu yang mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak akibat tindakan tidak professional ASP Mohd Azim ketika itu.

Hasrat UMS Link, kata Azizul disambut baik setelah kegagalan Dynasty Marin Farm apabila dua pekerjanya, Tsen Vui Chung dan Lai Wing Chau diculik oleh Kumpulan Bersenjata daripada Terumbu Karang Sebangkat sebelum dilarikan ke Tawi-Tawi, Filipina dan ditawan selama 317 hari sebelum dibebaskan pada 22 Disember lalu.

“Siapa boleh menjamin perairan Semporna selamat? Ketika dua mangsa diculik pada jam 1.30 pagi 8 Februari 2010, mereka berada di tengah-tengah kawalan pelbagai agensi keselamatan termasuk polis, APMM, Marin, Tentera dan sebagainya. Tetapi dengan mudah mereka diculik tanpa kesedaran pihak berkuasa. Bagaimana nanti kalau penculikan serupa berlaku di Ligitan yang begitu jauh daripada Semporna?” tanya Azizul yang merayu agar UMS Link menangguhkan cadangan mereka sekalipun Pulau Ligitan masih dalam jurisdiksi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sabahkini.net sebentar tadi menerima maklumat bahawa Azim akan dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Memerintah (C.O) di Pasukan Gerak Am di Lahad Datu, namun belum dapat mengesahkan berita berkenaan.

Dalam pada itu, akhbar tempatan melaporkan bahawa UMS Link Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan Sesama Lautubing Sdn Bhd, bersetuju membangunkan kawasan seluas 1,089 hektar di kawasan Terumbu Tubing, Ligitan, untuk projek komersil rumpai laut dan projek berkaitan sumber marin.

Majlis menandatangani dokumen persetujuan kerjasama membangunkan kawasan itu disempurnakan di Kota Kinabalu, kelmarin.

UMS Link diwakili Pengerusinya Datuk K.Y. Mustafa dan Pengarahnya Prof Dr Roselina Ahmad Saufi manakala Sesama Lautubing diwakili pengarahnya, Mohd Amin Ibrahim dan penasihat syarikat itu Ahmad Abdullah.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Senallang Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.

Melalui kerjasama itu, UMS Link Sdn Bhd akan bertanggung jawab terhadap pengurusan, operasi dan penyediaan modal manakala Sesama Lautubing akan menyediakan tapak dan pulangan keuntungan akan dikongsi bersama.

Mustafa berkata projek pengkulturan rumpai laut berkenaan akan dimulakan secara berperingkat-peringkat mulai bulan depan dan hasil pertama projek itu dijangka boleh diperolehi pada hujung tahun depan.

"Pelaburan awal kita terutama untuk menyediakan infrastruktur asas, melatih pekerja dan pembenihan ialah sebanyak RM1.5 juta. Sebagai permulaan, kita akan bangunkan seluas 40.5 hektar dahulu untuk tahun pertama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Oleh kerana cuma 121 hektar daripada keluasan 1,089 hektar kawasan projek itu sahaja yang sesuai untuk pengkulturan rumpai laut maka kawasan selebihnya akan digunakan untuk projek perikanan atau dikekalkan sebagai terumbu karang.

"Hala tuju kita ialah keseluruhan kawasan itu akan menjadi kawasan ladang akuakultur bersepadu. Kita mengutamakan pemuliharaan alam sekitar. Mana-mana yang kita boleh tanam (rumpai laut) kita tanam, mana yang perlu kita pulihara, kita akan pulihara," katanya.

Terdahulu, semasa berucap, Mustafa berkata UMS Link membuat keputusan untuk terlibat dalam projek berkenaan setelah tertarik dengan potensi masa depan industri rumpai laut serta galakan kerajaan seperti yang diumumkan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Katanya melalui ETP 3 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan negeri Sabah telah memperuntukkan seluas 7,500 hektar kawasan baru untuk penanaman rumpai laut di dalam kawasan Zon Industri Akuakultur (ZIA) dan tambahan sebanyak 20,500 hektar lagi akan dikenal pasti menjelang 2020.

"Dalam konteks kelestarian ilmu pada hari ini, adalah wajib bagi tenaga pakar dan pelajar di UMS dibawa keluar dari kepompong institusi pengajian mereka kepada institusi sebenar. Dengan itu, mereka dapat memahami proses persekitaran dan eko-sistem yang lebih realistik," katanya.

Sehubungan itu, kata Mustafa projek berkenaan juga adalah untuk menggunakan kepakaran UMS dalam bidang rumpai laut untuk membangunkan aktiviti huluan produk itu melalui penggunaan teknologi moden yang ditemui hasil penyelidikan universiti itu.

Melalui cara itu, katanya kuantiti dan kualiti pengeluaran rumpai laut dapat dipertingkatkan dan seterusnya memberi impak positif kepada sosio-ekonomi masyarakat setempat serta ekonomi negara.

Projek berkenaan juga mampu menjadikan Semporna sebagai pusat latihan rumpai laut Sabah dengan mewujudkan pusat latihan bukan sahaja di darat tetapi juga di tapak projek itu sendiri iaitu di laut.

"Kawasan ini mampu dijadikan sebagai tapak pelancongan marin akua. UMS Link berpendapat kawasan ini sesuai untuk dijadikan sebagai satu lagi destinasi pelancongan yang berkonsepkan inap ladang iaitu satu inovasi baru dalam pelancongan," katanya.

1 comment:

  1. BUKAN SALAH BELIAU, SALAH ITU ABU SAYYAF MASUK SEMPORNA. SEMUA INI LUAR BIDANG KUASA BELIAU. APA YANG DI AMBIL IALAH PEMBELAJARAN DARI EPISODE INI. SUPAYA TIDAK BERLAKU LAGI DIMASA HADAPAN

    ReplyDelete