Thursday 30 December 2010

UPKO TIDAK PERLU UNDI PATI UNTUK MENANG



Oleh: LESAYA LOPOG SORUDIM

TINDAKAN Encik Azizul Sanarul @ Ajijul, Ketua Cawangan UMNO Tampi-Tampi Darat yang mengatakan bahawa perjuangan YB Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing dalam usaha beliau mendedahkan dalang di sebalik pengeluaran Kad Pengenalan Malaysia sebagai satu usaha sia-sia adalah satu penghinaan terhadap usaha murni Bumburing untuk cuba memerangi kegiatan ini selaku seorang Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.

Tambahan pula, tindakan Azizul dalam suratnya bertajuk, ‘Halalkan Sahaja Ic Projek Milik Pati?’ seterusnya menuduh Bumburing sebagai ‘memerlukan undi PATI untuk memenangi Parlimen Tuaran pada piliharaya akan datang’; merupakan satu tuduhan liar dan tidak berasas sama sekali.

Sebagai salah seorang petugas khas dalam usaha memastikan kemenangan Bumburing dalam pilihanraya umum, saya tidak melihat sebarang keperluan untuk mendapat khidmat ‘Undi PATI’ di kawasan Tuaran, malah semua kawasan yang ditandingi UPKO dimenangi oleh calon-calon mereka bukan kerana atas bantuan ‘Undi PATI.’

Malah kita melihat sebarang usaha menggunakan khidmat ‘Undi PATI’ untuk cuba memenangi mana-mana pilihanraya sebagai satu perbuatan khianat kepada bangsa dan Negara. Kita juga memandang kepada mana-mana parti politik yang menerima sesiapapun dalam kalangan mereka yang memiliki Kad Pengenalan Malaysia yang dikeluarkan tanpa melalui proses undang-undang untuk menjadi ahli parti mereka sebagai satu perbuatan khianat oleh parti tersebut.

Dalam memorandum yang disampaikan oleh Bumburing kepada Menteri Dalam Negeri, terdapat beberapa bukti menunjukkan bahawa ada di antara mereka yang memiliki Kad Pengenalan palsu ini sudah diterima sebagai ahli parti tertentu, termasuklah parti politik yang disertai oleh Azizul.

Setakat ini belum ada bukti didapati yang menunjukkan bahawa terdapat dalam kalangan ahli UPKO orang-orang tertentu yang menjadi ahli parti tersebut dengan menggunakan Kad Pengenalan palsu.

Hakikat ini menunjukkan bahawa UPKO sememangnya mempunyai matlamat murni untuk memohon kepada kerajaan agar Kad Pengenalan yang telah dikeluarkan kepada mereka yang tidak layak menerimanya agar KP tersebut dibatal serta merta sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara sebelum ini.

Sehubungan dengan ini, setiap warga Negara Malaysia tulen yang bermastautin di negeri Sabah haruslah memberi sokongan penuh terhadap usaha Bumburing untuk memerangi perbuatan khianat dalam hal mengeluarkan KP kepada warga asing, lebih-lebih apabila ada pihak tertentu yang melindungi perbuatan khianat ini.

(NOTA: Lesaya Lopog Sorudim merupakan Pegawai Penerangan UPKO Bahagian P170 Tuaran)


No comments:

Post a Comment