Friday 6 July 2012

TASK FORCE TAHAN 165 PATI DI SEMPORNA




TAWAU : Pasukan Petugas Khas Persekutuan Sabah berjaya menahan 165 pendatang asing tanpa izin (PATI) berumur antara 17 hingga 80 tahun dalam Operasi Tanduk (Ops Tanduk) di Semporna dan Tawau sejak Selasa lepas.

Ketua Bahagian Operasinya ACP Abdul Aziz Alwee berkata dalam operasi di Semporna pada 3 Julai lalu, seramai 221 orang diperiksa dan 60 daripada mereka iaitu 57 warga Filipina dan tiga warga Indonesia ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Dalam operasi di Semporna, kami juga menyelamatkan seramai 12 orang kanak-kanak yang berkeliaran di sekitar kaki lima berumur di bawah 16 tahun," kata Abdul Aziz kepada pemberita di sini Khamis.

Menurutnya dalam operasi serupa di Tawau yang bermula semalam dan masih berterusan sehingga kini, seramai 534 orang telah diperiksa termasuk di kawasan setinggan dan daripada jumlah itu 105 orang ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya daripada 105 berkenaan, 47 orang daripadanya adalah warga Filipina manakala selebihnya 58 orang adalah rakyat Indonesia. (Bernama)

No comments:

Post a Comment