LONGGOKAN
….MDS Gagal memungut sampah yang terlonggok selama 3 hari di Jalan Pekan Baru
Semporna.
Oleh : SHAIMON S JUMADI
SIAPA yang harus di
persalahkan? Adakah Majlis Daerah Semporna (MDS) atau orang ramai yang tidak
mengerti tentang sivik sehingga membuang sampah bertaburan di tengah-tengah
Pekan Semporna? Malang sekali kerana MDS membiarkan timbunan sampah tidak
dikutip sejak tiga hari lalu sehingga Semporna layak menerima Piala 'Juara Sampah'.
"Sejak permulaan puasa
seminggu lalu, sampah sarap di Jalan Pekan Baru ini tidak dibersihkan oleh para
pekerja MDS sehingga begitu menjijikan. Sakit telinga, hidung dan mata kami
melihat senario sampah sarap di pintu 'Syurga Pelancong' ini,“ kata seorang
penduduk, Azrul Dadang yang menghubungi Sabahkini.Net malam tadi melalui
panggilan telefon.
Katanya, ini semua disebabkan
kegagalan MDS sendiri yang tidak menguatkuasakan undang-undang kecil Anti
Sampah sehingga masyarakat terus membuang sampah sarap dengan
sewenang-wenangnya di merata tempat tanpa memikirkan alam sekitar dan imej
Semporna.
“Saya kadang-kadang merasa
malu bila melihat keadaan pekan Semporna yang dalam keadaan kotor sedangkan
sentiasa dikunjungi pelancong asing. Tidak tahu kenapa MDS tidak pernah
memikirkan tentang penjagaan tahap kebersihan di kawasan pekan?” tanya Azrul.
MENJIJIKAN….Sampah
sarap yang dibuang ke bawah Pasar Ikan Semporna.
Anehnya kata Azrul, semua
aduan rakyat diabaikan MDS yang lebih gemar menyalahkan orang ramai sedangkan
mereka patut lebih proaktif menguatkuasa undang-undang demi memastikan Semporna
sentiasa bersih dan bebas sampah.
Dalam hal ini, kara Azrul,
sepatutnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan mengambil berat tentang
masalah yang sedang melanda di Pekan Semporna; bukan saja dari segi penjagaan
tahap kebersihan alam sekeliling, bahkah kerosakan jalan yang semakin serius.
"Jika perlu, pastikan
syarikat konsesi pembersihan dan pembaikan jalan didenda atau perkhidmatan
mereka ditamatkan jika tidak mematuhi kontrak yang dimaterai," kata Azrul
yang kesal dengan kebaculan Pegawai Daerah Semporna dan Pengerusi MDS mengambil
tindakan dan langkah perlu.
No comments:
Post a Comment