Oleh : MOHD FARHAN DARWIS
KUALA LUMPUR : Pertubuhan
Pribumi Perkasa (Perkasa) menegaskan, sekiranya cadangan pemansuhan duti eksais
kereta dilaksanakan, sepertimana cadangan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini,
Malaysia bakal menyaksikan lebih banyak pengeluaran wang mengalir keluar negara
ekoran rakyat lebih gemar memilih kereta luar berbanding kereta nasional.
Menurut Setiausaha Agung
Perkasa, Syed Hassan Syed Ali, keadaan itu bakal menyaksikan nasib pekerja
Proton umpama telur di hujung tanduk kerana harga pembuat kereta nasional itu
akan setara dengan kereta model antarabangsa.
“Alhamdulillah rakyat akan
dapat membeli kereta dengan harga yang lebih murah ... tapi semurah mana?
“Kereta Proton tiada siapa
nak beli sebab kereta import mewah harganya lebih kurang sama ... (dan) pekerja
Proton pastinya gusar akan diberhentikan.
“Ini bakal menyaksikan wang
negara terus mengalir keluar kerana rakyat akan lebih berminat untuk membeli
kereta import,” katanya kepada The Malaysian Insider semalam.
Bagaimanapun, Syed Hassan
menegaskan, cadangan yang diumumkan oleh Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli
itu juga hanyalah strategi memancing undi, kerana pilihan raya umum (PRU) ke-13
dijangka berlangsung tidak berapa lama lagi sebelum mandat Barisan Nasional
(BN) tamat April depan.
“Ini semua janji adalah
cubaan nak dapatkan undi untuk PRU13. Selama ini kita kenakan cukai tinggi
kepada pembeli kereta import kerana untuk selamatkan industri kereta Nasional
dan menghalang wang negara mengalir keluar ... dan itulah caranya mengenakan
cukai tinggi kepada mereka yang kaya, dan kadang-kadang terlepas dari membayar
cukai pendapatan,” tegasnya.
“Inilah akan jadi bila org
yang tidak tahu menguruskan ekonomi
menerajui kerajaan negara ini nanti,” tambahnya lagi merujuk kepada
kemungkinan penjualan Proton akan merosot jika rancangan itu dilaksanakan.
“Peniaga kereta AP tersenyum
tetapi kerajaan kerugian ratusan juta ringgit dari cukai kereta import.”
Beliau turut menyelar
pemimpin PR yang menurutnya begitu teruja untuk menawan Putrajaya, sehingga
sanggup menjanjikan pelbagai perkara.
“Dulu nak mansuh PTPTN
(Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) ... sekarang cukai eksais kereta
pula.
“Mereka pemimpin Pakatan ini
tak sedar ke negara ni masih status negara membangun? Belum lagi negara maju,”
soalnya.
Malah, beliau turut
mengingatkan rakyat betapa “kerajaan sekarang adalah kerajaan yang telah
berjaya memajukan negara ini, dan oleh sebab itu pemimpin Pakatan nak belanja
sakan bila memerintah.”
Syed Hassan turut mengkritik
pembangkang yang kerap menjanjikan perkara percuma dan tidak mahir dalam
mentadbir ekonomi negara.
“Nak hidup bawah pemimpin
yang tak tahu urus ekonomi negara? Siapa yang akan salah belanja wang negara
sebenarnya kalau semua nak bagi percuma kepada rakyat? ... sedangkan kita belum mencapai status negara
maju lagi,” tegasnya.
“Saya nak tanya Rafizi,
siapa yang buatkan negara banyak duit, seperti yang dia selalu kata banyak duit
negara kerajaan habiskan. Pakatan?” soalnya lagi.
Beliau turut menjelaskan,
dalam kedudukan parti dalam Pakatan Rakyat, hanya PKR yang kerap menabur
janji-janji, sementara PAS dan DAP lebih kerap mengambil tindakan berdiam diri.
“Dalam Pakatan Rakyat, hanya
PKR sahaja yang suka berjanji. PAS ikut sahaja sebab tidak tahu apasal ekonomi,
jika tidak Kelantan pasti sudah maju.
“Bijaknya DAP diam seribu
bahasa berkenaan janji-janji ini ... nanti kalau memerintah mereka (akan) kata
DAP tidak menjanjikan apa-apa.
“Itulah Pakatan Rakyat.
Mereka berpakat untuk menipu rakyat sahaja. Rakyat jangan mudah terpedaya dgn
janji-janji palsu mereka ni,” tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment