Wednesday 17 October 2012

PARLIMEN TAWAU ‘KAWASAN ANAK YATIM’





TAWAU: Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Vui Keong menyifatkan Parlimen Tawau sebagai ‘Kawasan Anak Yatim’ yang kehilangan penjagaan wakil rakyatnya.

Menurutnya, Wakil Rakyat kawasan berkenaan lebih suka mencari publisiti berbanding bekerja atau berkhidmat dengan rakyat sehingga menyebabkan masalah penduduk lebih banyak berbanding pembangunannya.

“Perkembangan ini sememangnya tidak adil kepada rakyat Tawau kerana rakyat telah mengundi kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 tahun 2008, tetapi wakil rakyatnya telah keluar parti,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Tahunan Bersama Bahagian Balung, Apas, Sri Tanjung, dan Merotai di Hotel Emas di sini.

Katanya, tindakan wakil rakyat berkenaan telah membelakangkan rakyat dan mengkhianati kepercayaan mereka yang telah memberi sokongan kepada BN pada PRU tersebut.

Sehubungan itu menurutnya, bagi calon PRU-13 nanti pihaknya telah memastikan bahawa calon yang bertanding akan memenuhi tiga syarat iaitu berintegriti, berkemampuan dan komited.

“Bagi syarat berintegriti, calon tersebut boleh dipercayai tanpa rekod lompat parti dan bagi syarat berkemampuan, calon tersebut perlu berilmu tinggi atau professional yang mampu menyuarakan masalah rakyat di Parlimen.

“Manakala bagi syarat komited pula, calon perlu sudi berkhidmat dengan hati yang ikhlas tanpa mementingkan kepentingan diri,’’ujarnya.

Beliau yang juga merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam pada itu mengulas tindakan akan diambil terhadap individu atau kumpulan yang bertindak mensabotaj parti bagi memastikan kemenangan dapat diperolehi. (NST)

No comments:

Post a Comment