Saturday 20 October 2012

POLIS SABAH RAMPAS 2,041 MESIN JUDI





KOTA KINABALU : Polis Sabah berjaya merampas 2,041 mesin judi dalam 749 serbuan ke atas premis judi siber sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, SAC Omar Mammah berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM118,390 hasil daripada serbuan terhadap kegiatan itu sepanjang tempoh berkenaan.

"Kegiatan ini sebenarnya terkawal dan hanya terdapat peningkatan daripada segi serbuan serta tindakan yang diambil oleh pihak polis terhadap premis-premis judi haram terbabit," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Omar menasihati orang ramai supaya tidak mengunjungi premis perjudian haram kerana "polis akan mengambil tindakan walaupun mereka sekadar berkeliaran di kawasan perjudian terbabit".

Beliau berkata polis melakukan 1,883 serbuan bagi mengesan kegiatan pelacuran di negeri ini sepanjang tempoh itu.

"Dalam serbuan itu, seramai 415 individu termasuk 79 warga asing yang difahamkan berasal dari negara Filipina, China, Indonesia dan Vietnam berjaya ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti pelacuran ," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment