KOTA KINABALU: Timbalan
Ketua Umno Bahagian Putatan, Arsit Sedi @ Sidik didenda RM5, 000 atau lima
bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana gagal mematuhi peraturan
penyingkiran di bawah Akta Koperasi 1993.
Hakim Caroline Bee Majanil
menjatuhkan hukuman denda itu selepas Arsit didapati bersalah terhadap dakwaan
itu.
Arsit, 58, yang dilucutkan
jawatan dari Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Kakitangan Kerajaan Negeri Sabah
Bhd (Kopeks) di bawah Seksyen 69 (6) Akta Koperasi 1993 pada 12 Jan 2006,
didakwa gagal mematuhi arahan itu dengan memegang jawatan sebagai ahli Lembaga
Pengarah Lembaga Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad
pada 21 Nov 2009.
Beliau melakukan kesalahan
itu di Rafflesia Ballroom 1, Promenade Hotel, No.4, Lorong Api-Api 3, Api-Api
Centre di sini pada 21 Nov 2009.
Arsit didapati bersalah di
bawah Seksyen 70 Akta Koperasi 1993 yang boleh membawa hukuman denda tidak
melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.
Di bawah undang-undang itu,
jika seorang pegawai koperasi sudah disingkirkan melalui arahan suruhanjaya,
pegawai itu tidak boleh dilantik sebagai ahli lembaga pengarah atau mana-mana
jawatankuasa koperasi atau diambil semula oleh mana-mana koperasi untuk tempoh
lima tahun dari tarikh penyingkirannya.
Dalam rayuannya, peguam
Datuk Norbert Chin yang mewakili Arsit memohon hukuman denda minimum dikenakan
oleh mahkamah dan tidak ada hukuman penjara dijatuhkan.
Sementara itu pendakwaan
meminta dikenakan hukuman maksimum sebagai pengajaran kerana kesalahan yang
dilakukan oleh tertuduh mempunyai kepentingan awam.
Arsit buat kali pertama
didakwa pada Februari tahun ini dan mahkamah membenarkannya dibebaskan dengan
ikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin tempatan sehingga kesnya selesai
dibicarakan.
No comments:
Post a Comment