Friday, 14 January 2011

RAKYAT SUKAU LEBIH BERTUAH!



SAYU…Penduduk Pulau Gaya terpaksa mengangkut air dengan menggunakan bot kerana tidak ada bekalan air bersih. Kasim (kanan) sedang memerhati dengan penuh sayu kerana membayangkan para pengundi SAPP yang turut menderita.

Oleh: MEDIA SAPP

PULAU GAYA sebuah pulau yang indah terletak berhadapan Bandaraya Kota Kinabalu, yang jaraknya lebih kurang 5 minit menggunakan bot laju. Dihuni oleh lebih kurang 3,000 orang rakyat tempatan. Mempunyai sekolah menengah dan sekolah rendah Kerajaan dan industri pelancongan yang menjadikan Pulau Gaya sebagai sebuah pulau tumpuan dan diminati oleh pelancong-pelancong asing dan tempatan.

Bukan saja itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sendiri telah mengumumkan rancangan untuk melaksanakan projek resort di Pulau Gaya dengan kos berjumlah RM 75 Juta. Pada kita, ini adalah satu berita baik untuk rakyat Sabah.

Tetapi semua ini tidak ada maknanya jika masalah dan keperluan asas yang dihadapi rakyat setempat tidak dapat diselesaikan walaupun kita sudah mencapai kemerdekaan selama 47 tahun?

Yang menjadi masalah besar penduduk dan pengusaha-pengusaha di Pulau Gaya sekarang adalah ‘Bekalan Air Bersih’! Percaya atau tidak, sehingga ke hari ini penduduk-penduduk Pulau Gaya terpaksa membeli air bersih yang dibawa dengan bot dari Bandaraya Kota Kinabalu dengan harga RM5.00 untuk 100 liter air.

Penduduk-penduduk Pulau Gaya apabila ditemui oleh Pengerusi SAPP Cawangan Sembulan Tengah, Kasim Busok, meluahkan rasa irihati dan mengucapkan syabas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman (BN/UMNO), kerana walaupun baru satu penggal menjadi Wakil Rakyat, telah berjaya melaksanakan 'Projek Salur Air Bawah Tanah Ke Pulau Tg Aru Sukau' yang dijadualkan akan siap dalam pertengahan bulan Jun ini dengan kos RM14.2 juta (rujuk Daily Express 11 Januari 2011).

Rakyat di Pulau Tg Aru, Sukau sudah pastinya berasa bertuah mempunyai Wakil Rakyat yang mengambil berat dan prihatin terhadap masalah mereka dan tidak lama lagi mereka akan menikmati bekalan air bersih melalui sistem pemasangan HDPE.

Menurut Pengerusi Kasim, rata-rata penduduk Pulau Gaya melahirkan perasaan terkilan dan kecewa mengajukan persoalan yang jika di Pulau Tg Aru Sukau, projek salur air bawah laut boleh dilaksanakan oleh Wakil Rakyat Sukau, kenapa ADUN atau Ahli Parlimen N.17 Tg Aru, Datuk Edward Yong dan Ahli Parlimen Putatan, Datuk Marcus Mojigoh hanya berdiam diri dan membiarkan rakyat menderita tanpa air bersih selama ini; sedangkan kawasan Pulau Gaya adalah lebih dekat dari Kota Kinabalu kalau dibandingkan Pulau Tg Aru, Sukau ke Bandar Sandakan.

No comments:

Post a Comment