SERAH ….Chin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan makanan sempena TBC.
Oleh: MAIL MATHEW
PERGERAKAN Pemuda Persatuan Hakka Tenom (PHT) yang diketuai Pengerusinya, Chin Su Fook mengadakan lawatan amal terhadap para pesakit Thalassemia di Hospital Tenom sambil menyampaikan sumbangan berupa makanan sempena perayaan Tahun Baru Cina (TBC) yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Rombongan Chin disambut oleh Timbalan Pengerusi Persatuan Thalassemia Tenom, Simon Mamat yang juga mewakili pengurusan Hospital di sini pada Isnin. Simon turut memberikan taklimat ringkas kepada rombongan tersebut berhubung sejarah ringkas penyakit Thalassemia yang kini seramai 38 orang.
Antara lain, Simon turut meminta kerjasama daripada PHT untuk menjelaskan kepada masyarakat sihat di sini supaya tampil menderma darah mereka secara sukarela kerana tanpa sumbangan darah daripada masyarakat sihat, sudah pastilah menyukarkan pihak hospital menangani masalah pesakit Thalassemia dengan lebih teratur.
KENANGAN…. Chin mengabadikan kenangan bersama pesakit Thalassemia.
Dalam pada itu, Chin yang bersimpati dengan penghidap Thalassemia berjanji akan sedaya upaya menyalurkan maklumat yang disampaikan Simon itu kepada ahli-ahlinya tentang masalah yang menghantui pesakit tersebut.
“Memang menjadi matlamat kami untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan, mudah-mudahan kami dapat bantu,” tegas Chin yang juga salah seorang Pegawai RELA di sini.
Penyakit Thalassemia yang berpunca daripada ketidak seimbangan sel darah merah hasil perkahwinan suami isteri yang menyebabkan anak yang dihasilkan menghidap Thalassemia yang kerap kekurangan darah.
Talian hayat seseorang pesakit Thalassemia yang bergantung kepada penambahan darah, sekurang-kurangnya dua minggu sekali jika keadaannya telah menjadi kronik.
No comments:
Post a Comment