Wednesday, 9 February 2011

RUMAH PENGERUSI JKKK DIJILAT API



HANGUS…Kelihatan Nossil (kanan) bersama Laiji Laikim, melawat rumah Patrick yang hangus dijilat api awal pagi rabu.

Oleh: MAIL MATHEW

RUMAH Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Naluyan, Tenom, Patrick Gentiu, 49, hangus dijilat api dalam satu kebakaran kira-kira jam 1.30 pagi rabu ketika penghuninya sedang nyenyak tidur.

Dalam kejadian tersebut, kerugian dianggarkan lebih kurang hampir RM80,000 yang melibatkan harta benda persendirian termasuk rumah namun Patrick bersyukur kerana kejadian itu tidak melibatkan kehilangan nyawa atau pun kecederaan serius.

Pihak Bomba dan Penyelamat yang diketuai Pegawainya, Jaffar Salleh dan 9 anggota yang lain telah bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengawal api tersebut daripada terus merebak ke kawasan rumah rumah jiran di situ.

MALANG…. Pemandangan selepas rumah Patrick hangus dijilat api.

Bagaimanapun, Pegawai Balai Bomba di sini, Jaffar Salleh, ketika dihubungi masih belum boleh menjelaskan punca kebakaran itu berlaku kerana insiden itu kini masih dalam siasatan bahagian Forensik Bomba Dan Penyelamat.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Tenom, Nossil Basayu ketika melawat tempat kejadian pagi Rabu menegaskan bahawa pihak UMNO akan sedaya upaya membantu mangsa kebakaran dari segi mendapatkan peralatan perkakas binaan rumah untuk membina semula rumah Patrick dengan seberapa segera.

“Selain bantuan UMNO, kita juga mengharapkan agar mangsa mendapat bantuan daripada pihak kerajaan untuk meringankan bebanannya,” jelas Nossil.

Manakala Pegawai Perhubungan Parlimen Tenom, Laiji Laikim yang turut bersama Nossil melawat kebakaran itu memberitahu beliau akan memaklumkan segera kepada Ahli Parlimen Tenom berhubung kejadian itu supaya tindakan lanjut akan dilakukan dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment