Oleh : JAILANI HASAN
LABUAN : Pembangunan sektor
pelancongan dan perikanan secara bersepadu mampu mengubah landskap ekonomi
serta merancakkan aktiviti perniagaan di daerah Pitas, selain membuka banyak
peluang pekerjaan.
Ini berdasarkan kedudukan
strategik Pitas berhampiran Teluk Marudu dan perairan luas Kudat yang kaya
dengan sumber marin, selain kekayaan alam yang boleh dimanfaatkan untuk
kegiatan pelancongan.
Anggota Majlis Daerah Pitas
Rudy Awah berkata kelebihan itu wajar diteroka dan usaha bersepadu perlu
dilakukan agensi berkaitan bagi memastikan sumber ekonomi yang tersedia dimanfaatkan
sepenuhnya untuk memajukan daerah ini.
Langkah membangunkan
kedua-dua sektor itu penting bagi mengubah kedudukan sosio-ekonomi penduduk
yang kebanyakannya bergantung kepada kegiatan pertanian dan perikanan sara
diri.
"Pantai yang cantik
jika dimajukan dengan menyediakan prasarana yang baik pasti menarik pelancong
untuk ke daerah ini dan secara tidak langsung mewujudkan banyak peluang ekonomi
kepada penduduk," katanya kepada Bernama selepas majlis angkat sumpah Ahli
Majlis Daerah Pitas 2012 di Labuan baru-baru ini.
"Begitu juga dengan
sektor perikanan, banyak boleh dilakukan untuk memajukannya termasuk menjadikan
daerah ini pusat operasi penangkapan ikan laut dalam selain mewujudkan aktiviti
hiliran hasil laut," katanya.
AKTIVITI PELANCONGAN
Rudy berkata ramai pelancong
dalam dan luar negara menjadikan Kudat sebagai destinasi mereka dengan aktiviti
riadah di Tanjung Simpang Mengayau harus diekpolitasi oleh Pitas.
"Jika kemudahan dan
keperluan yang sesuai diwujudkan, ia bukan saja memberi keselesaan kepada
pengunjung malah menjadikan tempat ini lebih menarik," katanya.
Rudy menunjukkan sistem
perhubungan jalan raya juga semakin baik, khususnya jalan-jalan menghubungkan
Pitas dengan daerah terdekat lain.
"Kalau dulu hanya mampu
dikenali sebagai antara daerah terpinggir dan lebih bergantung kepada hasil
sumber laut dan pertanian, dengan penduduknya berhijrah ke bandar utama untuk
meningkatkan taraf hidup. Tetapi kini semuanya sudah berubah.
"Pitas yang terletak di
bahagian utara Sabah, Kudat, dengan penduduk hampir 40,000 orang kini boleh
berbangga dengan pembangunan infrastruktur.
Komposisi suku kaum etnik
utama di daerah ini adalah Rungus dan Sungai (termasuk Tambanuo). Pitas asalnya
dipanggil sebagai Tupak yang bermaksud "merentasi". Tupak merujuk
kepada kediaman suku Momogun Tombonuvo dan Momogun Rungus pada zaman purba.
Dengan kewujudan pekan
sendiri, sekolah rendah dan menengah selain industri hiliran pertanian dan
perikanan, Pitas sekiranya dipromosi dengan baik akan dapat bersaing dengan
daerah lain.
Rudy berkata Pitas pernah
dikategorikan sebagai antara daerah termiskin di Malaysia tetapi kini Pitas
rancak membangun setanding dengan daerah lain di negeri ini.
MENARIK PELAWAT DENGAN
BAGANG
Sementara itu, Anggota Dewan
Undangan Negeri Pitas Datuk Bolkiah Haji Ismail berkata Pitas memiliki pelbagai
sumber kekayaan asli dan mampu dimajukan.
Bolkiah, yang juga Pembantu
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, antaranya,
Bagang iaitu sejenis platform tradisional yang dibina di laut untuk menangkap
ikan bilis yang popular di Teluk Marudu yang boleh dijadikan produk
pelancongan.
"Kita boleh membawa
pelancong untuk melihat dari dekat proses penangkapan ikan menggunakan Bagang.
Selain itu, kawasan Teluk
Marudu adalah lokasi tempat memancing yang selamat selain perairan yang tenang
ini membolehkannya dijadikan salah satu lagi produk pelancongan memancing untuk
penggemar hobi memancing.
Bagi sektor pelancongan
destinasi yang kita kenalpasti adalah Batu Sipirak, Batu Berunsai dan Batu
Piring di Malubang. Tempat-tempat ini akan lebih mudah dikunjungi apabila jalan
Liu-Malubang siap dibina sepenuhnya kelak.
Tempat-tempat ini mempunyai
lagenda yang menarik. Selain itu, terdapat tiga telaga ajaib di Malubang,
telaga air tawar yang terdapat di dalam laut. Pantai Malubang juga pasirnya
cantik dan putih.
MEMBANGUNKAN DATARAN
BENGKOKA
Rudy juga menyatakan bahawa
kerajaan memperuntukkan sebanyak RM14 juta untuk memajukan Dataran Bengkoka
sebagai kawasan tumpuan pelancongan.
"Kita membina restoran,
espalanade 10 gerai tamu, perpustakaan rakyat, di situ juga kita dirikan stesen
minyak, banglo penginapan dan padang futsal.
"Kita menggalakkan
lebih banyak lagi pengusaha hotel, chalet untuk melabur dalam sektor
pelancongan di Pitas. Ketika ini, jika ada acara atau program besar yang
diadakan di Pitas seperti Pesta Bengkoka yang diadakan pada bulan Mei setiap
tahun, biasanya pengunjung terpaksa mencari penginapan di Kota Marudu.
"Kita juga menggalakkan
masyarakat kampung menceburi industri inap desa untuk meningkatkan ekonomi
serta menampung keperluan pelancongan. Industri inap desa ini boleh dimajukan
di Kampung Rosob, Pinggan-Pinggan dan Malubang.
"Sekarang ini terdapat
inap desa di Sungai Iloi dan beberapa tempat lain dengan ramai peserta tempatan
mengikuti kursus bagi mengembangkan industri inap desa," katanya.
"Selain itu kita mahu
membesarkan pekan Pitas supaya setanding dengan pekan lain di Sabah yang
dilengkapi dengan kemudahan seperti pasaraya dan kemudahan penjana ekonomi setempat.
"Dengan adanya
kemudahan seperti hotel, pejabat pos, pasaraya, bank dan sebagainya, Pitas
mampu membangun dan menjadi tempat persinggahan yang menarik apatah lagi ia
laluan utama Jalan Pitas Paitan.
"Kita juga mahu Majlis
Daerah Pitas memperbanyak gerai, supaya memberi daya saing, kita mahu
mengembalikan kuasa beli dalam kalangan rakyat dan memperbanyakan prasarana
komersial.
"Sebagai sebuah daerah
yang bakal menjadi pengeluar getah terbesar di negeri ini, kita mahu memajukan
industri berasaskan getah seiring dengan hasrat kerajaan satu daerah satu
industri. Satu masa nanti kita boleh mengeluarkan sarung tangan, tayar dan
sebagainya.
GETAH MEMBAWA HARAPAN
Rudy menjelaskan yang
kerajaan telah memperuntukan insentif berjumlah RM30 juta kepada seramai 23,378
pekebun kecil, peneroka Skim Penempatan Getah dan para peserta Ladang Komuniti
Getah di Bengkoka, Pitas.
Insentif pengeluaran getah
ini akan dilaksanakan oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan pembayaran
akan dibuat berdasarkan kepada kandungan getah kering (KGK) mengikut jenis
getah.
"Objektif utama
pemberian insentif ini adalah untuk menseimbangkan harga getah di Sabah dan
Semenanjung," katanya.
Dengan pemberian insentif
ini para pekebun kecil seharusnya mempraktikkan amalan pertanian yang baik
menggunakan baja dan meningkatkan pengeluaran sehektar. Adalah menjadi harapan
Kerajaan agar tahap pengeluaran semasa sebanyak 1,391 kg/hektar dipertingkatkan
kepada 1,600 hingga 1,800 kg sehektar.
Kerajaan Negeri juga
berharap supaya kesemua getah dijual kepada LIGS di mana pada tahun ini LIGS
akan membantu seramai 1,973 pekebun kecil daripada 65 buah kampung merangkumi
19 buah daerah dengan kawasan penanaman getah seluas 6,392 hektar.
AKTIVITI PENDIDIKAN
Universiti Malaysia Sabah
(UMS) baru-baru ini sekali lagi telah menganjurkan satu program turun padang
dengan misi memasarkan pendidikan di kawasan pedalaman.
Program murni sentuhan kasih
UMS ini diadakan di sebuah kampung terpencil dalam daerah Pitas iaitu di
Kampung Malubang.
"Ini untuk membantu
pembangunan pendidikan di Pitas," katanya.
Aktiviti seumpama ini yang
julung kali diadakan di Kampung Malubang berjaya menghimpunkan ratusan orang
yang terdiri daripada penduduk Kampung Malubang, Pansuran dan Kampung Lok
Dangkaan serta murid dan guru daripada 10 buah sekolah berhampiran. (Bernama)
apakah ciri budaya dan ciri fizikal dataran bengkoka?
ReplyDelete