Oleh : ZULKIPLE IBRAHIM
"BAGAIMANA agaknya
kalau negara kita masih diperintah penjajah dan belum merdeka?"
Itulah soalan yang diajukan
penulis kepada seorang teman yang adalah pengamal media pada satu majlis Hari
Raya di sini baru-baru ini.
"Kalau begitu, orang
Melayu akan hanya masih mengerjakan sawah, orang Cina hanya menguruskan kedai
runcit dan orang India terus bekerja di estet getah," jawab pengamal media
itu.
"Perkhidmatan awam pula
dikuasai 'Orang Putih' (penjajah) dan orang macam kita (miskin dan tinggal di
luar bandar) serta anak kita tidak akan ada peluang belajar di
universiti," sambung seorang lagi teman penulis, Dr Faizul Ismail, yang
juga seorang ahli akademik.
Sememangnya mencapai
kemerdekaan adalah begitu bermakna bagi sesebuah negara dan penduduknya.
"Sebelum Merdeka,
penjajah orang putih pernah berkata orang Melayu akan berpuas hati jika mereka
ada beberapa ekar sawah untuk tanam padi (untuk makanan), sungai untuk tangkap
ikan (buat lauk) dan kebun getah untuk dapat duit (dari hasil) jual getah.
"Kita mungkin akan
masih seperti itu jika masih belum bebas daripada dijajah," tambah Dr
Faizul yang mempunyai doktorat dalam bidang sains.
Anak kecil
Malaysia berusia 55 tahun
pada Jumaat, 31 Ogos tahun ini. Satu usia yang agak 'muda' jika dibandingkan
dengan beberapa negara lain di dunia yang telah mencapai kemerdekaan beberapa
tahun lebih awal.
Sebagai sebuah negara yang
muda, Malaysia telah mengambil langkah besar dalam mencapai kemajuan serta
kemakmuran.
"Keadaannya (Malaysia)
sama dengan anak kecil yang sedang belajar tentang kepandaian yang baru.
"Kebebasan bermula
ketika anak kecil itu kecil. Anak itu merangkak dan membesar, (perkembangan)
ini berkesinambungan ke peringkat anak itu meningkat usia, kepada umur belasan
tahun dan seterusnya sehingga mencapai autonomi dan berupaya membuat keputusan
sendiri," jelas seorang teman lain yang juga pensyarah universiti, Dr
Robert Leong.
Menurut Dr Leong,
kanak-kanak belajar dengan cara bermain dan mendapat kepandaian dan keupayaan
baru. Sebab itulah penting bagi menggalakkan mereka buat apa yang mereka mahu
serta mencuba sesuatu benda atau perkara baru.
Keupayaan
"Anak itu mahu tunjuk
apa yang dia boleh buat melalui keupayaan diri mereka sendiri," jelas
beliau, sambil menambah ini adalah penting untuk memberi keyakinan diri mereka
sendiri.
"Apa yang mereka mahu
buat untuk diri mereka, ada kena mengena dengan perkembangan diri anak itu
sendiri," jelas beliau lagi.
Samalah dengan rakyat
Malaysia dalam negara Malaysia yang merdeka serta berdaulat.
Itulah apa yang dilalui
rakyat Malaysia. Kebebasan daripada belenggu penjajah telah memberikan mereka
identiti tersendiri selain daripada kemahuan dan komitmen untuk mencapai
kemajuan.
Malaysia dan rakyatnya telah
mencapai kemajuan yang mendadak dalam hampir semua aspek termasuk dari segi
ekonomi, akademik dan pentadbiran.
Hari Merdeka, Hari Malaysia
Malaysia adalah sebuah
negara yang unik di mana ia mempunyai dua tarikh 'keramat'.
Pada 31 Ogos setiap tahun
semenjak 1957, negara merayakan kebebasan daripada penjajahan dan ini dikenali
sebagai 'Hari Merdeka' manakala 16 September semenjak 1963, ia merayakan ulang
tahun pembentukan Malaysia (kemasukan Sabah dan Sarawak) di mana hari ini
dikenali sebagai 'Hari Malaysia'.
Bagaimanapun masih terdapat
perdebatan daripada golongan pihak-pihak tertentu.
Dakwa golongan ini, kenapa
negara tidak merayakan hanya hari Malaysia sedangkan tarikh 16 September adalah
lebih penting dan relevan kerana pembentukan Malaysia.
Bagaimanapun ramai rakyat
Malaysia tidak bersetuju. Jawapannya adalah mudah.
Menurut para cendekiawan,
golongan akademik dan sejarahwan, contoh yang paling menonjol boleh diambil
dari Amerika Syarikat yang mengagungkan 4 Julai sebagai 'Independece Day'.
Rakyat bersatu
Amerika Syarikat, sebuah
kuasa besar dunia dan pernah dijajah British, merayakan hari kemerdekaannya
pada 4 Julai setiap tahun.
Menurut seorang pensyarah
universiti (yang enggan dinamakan), "Tidak ramai yang tahu bahawa pada
tarikh 4 Julai 1796, hanya ada 13 negeri bekas tanah jajahan British di Amerika
yang mencapai kemerdekaan sebagai sebuah negara.
"Negeri terakhir,
Hawaii, hanya bergabung dengan Amerika Syarikat pada 21 Ogos, 1959
menjadikannya negeri ke-50 dalam Amerika Syarikat.
"Tetapi rakyat Amerika
masih merayakan kemerdekaan mereka pada 4 Julai dan bukannya tarikh 21 Ogos
kan? Begitu juga dengan negara kita, tarikh yang dianggap Merdeka adalah 31
Ogos," kata beliau.
Kebebasan
Penjajahan negara ini
bermula pada tahun 1511 bila Portugis menawan Melaka. Belanda kemudian
mengalahkan Portugis pada 1644 dan meneruskan penjajahan.
Perjanjian Inggeris-Belanda
pada tahun 1824 telah membuka pintu kepada pihak British untuk bertapak di
Tanah Melayu.
Jepun menyerang Tanah Melayu
pada 1941 dan menyerahkannya kembali kepada British pada tahun 1945, di hujung
Perang Dunia Kedua.
Jelas pensyarah itu lagi,
Hari Kemerdekaan Malaysia adalah untuk memperingati hari di mana semua warga
negara ini mencapai kebebasan daripada penjajah.
"Dan ia bukan hanya
kemerdekaan daripada penjajahan British tetapi kesan daripada penjajahan
berkurun lamanya oleh orang asing semenjak zaman penjajahan Portugis, Belanda
dan Jepun.
Bila negara mencapai
kemerdekaan, kita boleh merangka masa depan sendiri berbanding apa yang kita
terpaksa buat menurut arahan penjajah," jelas pensyarah itu lagi.
Tanpa 31 Ogos, akan tiada 16
Sept
Katanya, dengan memberi
kepentingan yang lebih terhadap tarikh 16 September berbanding 31 Ogos, ia akan
'melenyapkan' pengorbanan dan perjuangan serta nilai usaha para pejuang
kebebasan negara.
"Tanpa 31 Ogos, 1957,
tidak akan wujud tarikh 16 September, 1963. Tanpa pengorbanan serta usaha keras
para pejuang kemerdekaan pada masa lampau untuk mencapai kebebasan tahun 1957,
tidak akan ada sebuah persekutuan Malaysia yang dibentuk pada tahun 1963.
"Inilah yang perlu
diberitahu dan diabadikan kepada generasi muda." (Bernama)
No comments:
Post a Comment