KONFLIK.....Bukan
perkara mudah untuk sesebuah negara itu menjadi pemudah cara dalam konflik
sebegini panjang dan Malaysia berjaya dalam hal ini.
Oleh : R RAVICHANDRAN
MANILA: Kepimpinan Malaysia
terserlah di rantau ini kerana negara dapat menyumbang kepada keamanan dan
kesejahteraan terutama bagi Bangsamoro dan kawasan selatan Filipina, kata
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib berkata Perjanjian
Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro yang ditandatangani antara Kerajaan Filipina
dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) semalam, susulan peranan fasilitator
Malaysia sejak 2001 yang berjaya membuka lembaran baru bagi masa depan
Bangsamoro di selatan Filipina, yang turut memberi kesan lebih positif dalam
konteks hubungan dua hala Kuala Lumpur-Manila.
Namun Najib berkata bukanlah
perkara mudah untuk sesebuah negara itu menjadi pemudah cara dalam konflik
sebegini panjang dan Malaysia berjaya dalam hal ini sehingga mendapat pujian
dan penghargaan tinggi dari Presiden Benigno Aquino III dan kerajaan Filipina.
“Kalau dua orang bergaduh
biasanya tak boleh duduk semeja, jika ada dua pihak terbabit dalam konflik,
mereka tidak boleh duduk keliling meja untuk mula bercakap dan
berunding…melainkan ada pihak ketiga untuk memudahkan perkara itu. Pihak ketiga
ini bukan sebarangan, tidak boleh sebarangan orang dan mesti berwibawa.
“Menggunakan istilah Aquino
(Presiden Benigno Aquino III), kita berjaya menjadi ‘honest broker’ (broker
yang jujur) antara kerajaan Filipina dan MILF sehingga kerangka perjanjian yang
ditandatangani di Malacanang jadi realiti,” katanya berucap di Majlis Mesra
Bersama Rakyat Malaysia, di sini, malam tadi.
Najib berkata beliau tidak
fikir Malaysia akan dipilih sebagai fasilitator sekiranya negara ini bukan
sebuah negara harmoni dan yang berjaya dalam pebagai segi walaupun mempunyai
penduduk pelbagai bangsa.
Perdana Menteri berkata
memandangkan negara dalam keadaan aman dan stabil begitu lama, maka rakyat
Malaysia dapat menikmati manfaat daripada keamanan ini.
“Tapi kita dipercayai
sebagai sebuah negara sebab kita berjaya sebagai sebuah negara. Saya tidak
fikir kedua-dua pihak nak kita sebagai fasilitator kalau kita sebuah negara
yang bergolak contohnya. Jika Malaysia dalam konflik, kalau kita bukan contoh
negara harmoni dalam soal kepelbagaian,” katanya.
Masyarakat
yang kompleks
Katanya Malaysia juga
berjaya menguruskan sebuah masyarakat yang kompleks dan menjadikan itu sebagai
satu kelebihan membangunkannya sebagai sebuah negara yang berjaya.
“Saya fikir rakyat
mempercayainya, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di luar Malaysia. Mereka
percaya bahawa satu hari nanti Malaysia akan jadi sebuah negara maju. Saya
fikir itu memberi kita banyak kredibiliti. Orang tahu, Insya-Allah, mereka yang
berada di Filipina…(dan) di luar Malaysia tahu kita berada pada landasan untuk
menjadi sebuah negara maju. Hanya pihak-pihak tertentu yang menafikannya, tapi
majoritinya tahu,” katanya.
Katanya dengan termeterai
perjanjian ini, kerajaan Filipina juga berminat Malaysia memainkan peranan lain
seperti melatih rakyatnya dan membangunkan rancangan tanah seperti Felda di
Malaysia.
Menurutnya Filipina memiliki
seorang presiden yang mempunyai keinginan mencari resolusi secara aman untuk
konflik ini dan ini turut membolehkan perjanjian tersebut menjadi kenyataan.
Perdana Menteri berkata
konflik di selatan Filipina hampir 40 tahun itu telah meragut hampir 150,000
nyawa yang disifatkannya begitu besar dan ini tidak termasuk dari segi
kerosakan harta benda dan kesan dari segi kemunduran.
“Oleh itu, keperitan hidup,
kesengsaraan Bangsamoro begitu besar dan kesan kepada kerajaan Filipina yang
terpaksa berbelanja besar menghadapi konflik itu,” katanya
Pada pengamatan saya, yang
boleh diingat kembali (ketika) lawat Cotabato (di Mindanao) pada 2004, nampak
macam Malaya pada 50-an. Datuk Zahid (Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi) pergi baru-baru ni, dapat gambaran juga. Semua itu memberi kita
satu gambaran bahawa konflik yang begitu lama yang melanda kawasan itu
kesudahannya dapat kita cari titik pertemuan,” katanya.
Majlis itu dihadiri lebih
150 rakyat Malaysia di Filipina, antaranya ahli perniagaan, para pelajar,
petugas kedutaan Malaysia serta anggota keluarga mereka. (Bernama)
No comments:
Post a Comment