YANG Dipertua Dewan Rakyat,
Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegur beberapa menteri dan timbalan menteri
kerana memberi ruang kepada wakil rakyat lain 'mengganggu' sesi penggulungan
perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013.
Sesi penggulungan peringkat
dasar yang bermula kelmarin, beberapa
kali menjadi riuh apabila ramai anggota Parlimen pembangkang kerap mencelah
untuk mengemukakan soalan tambahan di luar isu yang dibahaskan sehingga
menyebabkan perjalanan mesyuarat terganggu dan berlarutan.
Pandikar Amin bertegas tidak
membenarkan menteri dan timbalan menteri yang menggulung perbahasan memberi
laluan kepada anggota Parlimen lain mencelah, serta meminta mereka mempercepat
penggulungan masing-masing.
"Baru sahaja saya tegur
tadi bahawa masa tak mengizinkan (untuk celahan). Kalau ahli-ahli Yang
Berhormat tak dengar lagi, saya akan arahkan timbalan-timbalan saya supaya
setiap kementerian hadkan 20 minit.
"Saya boleh buat begitu
di bawah Peraturan Mesyuarat. Jangan ada yang pertikai itu," katanya
apabila keadaan menjadi kecoh semasa giliran Timbalan Menteri Dalam Negeri
Datuk Abu Seman Yusop menggulung perbahasan.
Bagaimanapun, beberapa
anggota Parlimen termasuk Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) dan N Gobalakrishnan
(Bebas-Padang Serai) masih cuba mencelah dan ini membuatkan Pandikar Amin
hilang sabar.
"Kalau saya tak tegas
macam mana. Saya perlu menguruskan masa. Bila kita ambil tindakan keras, semua
tak senang hati.
"Hati siapa yang dijaga
ni Yang Berhormat. Sekali-sekala jagalah hati orang yang duduk di sini (merujuk
kepada Speaker). Seorang buat hal, semua kena.
"Lain kali jangan buat
hal. Bertimbang rasalah kepada orang lain bila nak bercakap," katanya.
Terdahulu, Timbalan Yang
Dipertua Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut membuat teguran
sama semasa sesi penggulungan oleh Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Senator Heng Seai Kie, yang bertukar kecoh apabila ramai wakil
rakyat pembangkang tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.
Antara ahli Parlimen
tersebut termasuk Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) yang mengulangi isu yang sama
iaitu rasa tidak puas hati dengan ketidakhadiran Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak yang memangku jawatan menteri di kementerian itu serta
mempertikai pelantikan berkenaan.
Bagaimanapun, dakwaan itu
dipatahkan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) ketika mencelah
menyebut tentang laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai ketua Wanita
PKR.
Beliau berkata dalam laporan
akhbar berkenaan yang merujuk kepada anggota Parlimen Ampang itu "She
walks like a man and talk like a man", tetapi kenapa tidak ada komen
mengenai perkara itu.
R Sivarasa (PKR-Subang)
kemudian bangun untuk membela Zuraida dengan mengemukakan peraturan mesyuarat
36(9) yang menyentuh mengenai peribadi seseorang anggota Parlimen.
"Yang Berhormat Pasir
Salak dikatakan melanggar peraturan mesyuarat 36(9) dengan menyentuh peribadi
seseorang di dalam Dewan. Saya tahu Yang Berhormat tidak ada niat jahat
terhadap perkara itu.
"Yang Berhormat sekadar
merujuk kepada siaran akhbar. Walaubagaimanapun, saya rasa pihak Ampang
tersinggung dalam perkara ini," kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk
Ronald Kiandee ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2013
peringkat dasar bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Namun, Tajuddin berkeras
dengan menyatakan beliau hanya memetik siaran akhbar dan enggan menarik balik
mahupun memohon maaf di atas kenyataan yang dibuatnya.
"Saya tidak akan
meminta maaf, tidak akan tarik balik. Yang Berhormat boleh ambil tindakan
terhadap saya, itu saja. Yang Berhormat berdepan dengan salah orang.
"Sebelah sana yang
mengutuk perdana menteri, kutuk Datuk Najib, kutuk orang itu kutuk orang ini,
niat jahat kenapa tidak ada tindakan terhadap mereka Kenapa kamu semua tidak
pernah minta maaf?" katanya.
Timbalan Speaker kemudian
mententeramkan keadaan, dan meminta Heng supaya tidak melayan dan membalas
serangan daripada anggota pembangkang dan meminta beliau meneruskan hujah
penggulungan.
Sekali lagi keadaan kecoh
apabila N Gobalaskrishnan (BEBAS-Padang Serai) mencelah dan mempersoal
kewibawaan Zuraida selaku ahli Parlimen pembangkang wanita yang menyertai
rombongan menaiki jet peribadi dan mendapat layanan mewah.
"Saya minta timbalan
menteri memberikan penjelasan kerana saya tidak mahu berada dalam keadaan
trauma ketika keluar dari dewan yang mulia ini," katanya.
Sementara itu, dalam hujah
penggulungannya, Heng berkata susulan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus
wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat yang dipersetujui
kerajaan pada 26 Jun 2011, kementerian telah menjalankan program pengarah
wanita.
Katanya, bagi tahun 2012,
kementerian menetapkan sasaran untuk melatih seramai 200 orang pengarah wanita
dan setakat Oktober tahun ini, seramai 112 wanita telah menjalani latihan itu.
"Seramai 88 pengarah
lagi akan menjalani latihan itu pada Oktober
hingga Disember 2012. Dan
pada tahun 2013, kementerian menetapkan sasaran untuk melatih 500 orang
pengarah wanita," katanya.
Berhubung perwakilan wanita
dalam Dewan Rakyat, beliau berkata ia bergantung kepada pencalonan parti
politik yang berkaitan.
"Kalau kita bandingkan
peratusan calon wanita yang telah diamanahkan untuk bertanding pada pilihan
raya umum ke-12, didapati bahawa peratusan wanita yang dicalonkan BN adalah
lebih tinggi daripada pakatan pembangkang. Cuma yang menang dan hadir ke dewan
ini, calon wanita dari pakatan pembangkang lebih ramai," katanya.
Beliau berkata cadangan
untuk meningkatkan bilangan perwakilan wanita di dalam Dewan telah diangkat
untuk dibincangkan kepada parti-parti berkenaan dan menunggu pelaksanaannya
pada masa akan datang. (Bernama)
No comments:
Post a Comment