GANTI….Anak padi yang baru diganti selepas dimusnahkan siput itu. Gambar kecil Siput Gondang Emas dan telurnya.
Oleh: MAIL MATHEW
BEBERAPA petani sawah padi di Kg Batu 90, Tenom meminta bantuan daripada Jabatan Pertanian agar membekalkan kepada mereka sejenis racun yang mampu membunuh makhluk perosak tanaman padi, ‘siput gondang emas’ yang sangat berleluasa pada musim ini.
Berbagai cara telah digunakan oleh para pesawah sebelum ini, termasuk menggunakan ramuan ramuan jenis ‘herba’ kampung, namun siput gondang emas ini tetap tidak berganjak, malah terus memusnahkan anak-anak padi yang baru mula tumbuh.
Seorang petani sawah, Rostinah Jar, 56. ketika memberitahu Sabahkini.net pagi tadi bahawa mereka telahpun menggunakan pelbagai jenis racun serangga yang terdapat di kedai kedai menjual bahan tersebut, tetapi tidak juga berupaya memusnahkan siput- siput terbabit.
“Kita sudah bosan dan tertekan dengan keadaan ini kerana kita terpaksa berulangkali melakukan penggantian tanaman yang telah dimusnahkan. (jadi) Kerja-kerja kami senantiasa berulang-ulang bagaikan tiada sistem langsung,” tegas beliau.
Rostinah seterusnya menegaskan, sepatutnya dalam usia padi mereka pada ketika ini adalah musim untuk menabur baja gemuk, tetapi sebaliknya mereka sibuk pula melakukan kerja-kerja pemulihan anak anak padi yang telah dimusnahkan oleh siput tersebut.
“Sebab itu kita minta pihak tertentu seperti pertubuhan peladang atau jabatan pertanian mencari jalan untuk membantu para petani sawah bagaimana caranya untuk memusnahkan siput gondang emas ini dari terus menerus menyusahkan kami,” kata Rostinah yang mengharapkan agar ada cara lain yang boleh memusnahkan siput tersebut.
Sementara itu, seorang lagi petani sawah, Jonas Sebastian, 38, menggesa Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) supaya meletakkan masalah kebajikan para petani sawah sebagai sebahagian daripada tanggung jawab persatuan itu.
Tegasnya lagi, adalah kerana para pesawah sering mengalami pelbagai masalah yang memerlukan bantuan daripada persatuan itu seperti masalah mesin pembajak, mesin menuai, racun serangga dan juga baja yang sepatutnya semua bekalan tersebut boleh diperolehi daripada kedai persatuan itu dengan harga yang berpatutan.
“Dalam keadaan harga bekalan beras yang melambung tinggi ketika ini, maka kerja kerja menanam padi bukan lagi dibuat secara sambilan tetapi ia sudah menjadi pekerjaan tetap. Kita minta kerajaan beri sokongan kepada pesawah,” tegasnya.
Kata Jonas, kalau PPK ada mesin pembajak sendiri yang boleh disewa oleh para petani sawah alangkah baiknya, kerana petani tidak perlu lagi berebut-rebut menyewa pembajak swasta/persendirian mengenakan kadar sewanya sesuka hati ekoran kenaikan harga minyak.
No comments:
Post a Comment